17 Aug 2010

Manusia, senjata batu, piramid, angkasa dan Marikh

Selama ini manusia purba dipercayai mula menggunakan senjata yang diperbuat daripada batu hanya hampir 2.6 juta tahun lalu, tetapi penemuan terbaru membuktikan Zaman Batu bermula 800,000 tahun lebih awal.
.

Dua tulang binatang purba yang ditemui di Ethiopia, Afrika disahkan berusia lebih 3.4 juta tahun dan kedua-duanya mempunyai tanda-tanda dikerat menggunakan senjata tajam yang diperbuat daripada batu.

.

Pengkaji dari Akademi Sains California, Zeresenay Alemseged berkata, tulang yang ditemui itu membuktikan bahawa manusia purba menggunakan batu tajam untuk memotong daging serta memecahkan tulang binatang dengan batu untuk memakan sumsum.

.

“Kami menemui tulang rusuk binatang yang dipercayai sebesar lembu dan tulang kaki binatang yang dipercayai sebesar kambing. Malangnya, kami tidak menemui senjata batu yang digunakan manusia zaman itu,” katanya dalam hasil penemuan yang disiarkan dalam jurnal Nature pada 12 Ogos 2010.

.

Pada 1974, fosil manusia purba, Australopithecus genus, berusia 3.2 juta tahun ditemui di Ethiopia tetapi tiada bukti mengenai penggunaan senjata yang diperbuat daripada batu.

.

Manusia purba, Australopithecus genus, tinggal di bahagian timur Benua Afrika sejak sekitar 4 juta tahun lalu tetapi didapati pupus hampir 2 juta tahun lalu.

.

Senjata batu yang ditemui sebelum ini disahkan berusia 2.6 juta tahun tetapi tidak diketahui kelompok manusia purba mana yang menggunakannya.

.

Sementara itu, Tasik Diamante di kawah Gunung Berapi Galan, bahagian barat laut Argentina mungkin mampu memberi jawapan kepada pertanyaan saintis mengenai evolusi kehidupan awal di Bumi dan kemungkinan terdapat hidupan di Marikh.

.

Tasik yang terletak 4,700 meter di atas paras laut itu menjadi habitat kepada jutaan bakteria polyextremophiles yang mampu hidup di kawasan dengan bekalan oksigen amat rendah serta mempunyai tahap arsenik dan alkali tinggi.

.

Maria Eugenia Farias dari Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknikal Kebangsaan berkata, tempat kehidupan bakteria itu sama seperti habitan pada tahap awal evolusi hidupan di Bumi.

.

“Tahap arsenik di tasik ini adalah 20,000 kali lebih tinggi daripada tahap yang dibenarkan dalam air minuman. Air yang lima kali lebih masin daripada air laut membuatkan salji tidak terbentuk di sini walaupun berada di bawah paras beku,” katanya.

.

Menurut Farias, kajian lanjut di Tasik Diamante boleh membantu pengkaji astrobiologi, iaitu bidang kajian hidupan di planet-planet lain.

.

“DNA bakteria polyextremophiles ini mampu bermutasi untuk menyesuaikan diri dengan radiasi ultra-violet dan bekalan oksigen terlalu rendah. Proses yang sama mungkin berlaku di permukaan planet Marikh,” katanya.

.

Dalam pada itu, sebuah robot akan memulakan misi meneroka lebih jauh ke dalam Piramid Giza dalam cubaan membongkar misteri piramid tertua dan terbesar yang juga satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia.

.

Projek Djedi yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu dijangka akan berjaya memasuki ruang paling dalam piramid berusia lebih 4,500 tahun itu yang gagal ditembusi dua robot sebelum ini.

.

Robot terbaru ini dicipta hasil kerjasama bersepadu pakar dari Universiti Leeds, Britain; syarikat penerbangan Dessault dari Perancis, dan syarikat robotik Scoutek di Britain.

.

Projek Djedi menampilkan robot canggih yang dilengkapi kamera serat optik dan boleh membolosi lubang berdiameter 1.75 sentimeter.

.

Rodanya pula diperbuat daripada nilon dan serat karbon yang tidak merosakkan permukaan batu-bata purba di dalam piramid yang diteroka.

.

Pengurus misi, Shaun Whitehead berkata, teknologi robotik paling canggih digunakan untuk menghasilkan robot terbaik yang boleh mengatasi sebarang rintangan dalam misi.

.

Robot ini akan memasuki Makam Ratu yang mempunyai terowong yang pergi lebih jauh ke dalam piramid berkenaan; berbanding Makam Raja yang mempunyai terowong menghala keluar.

.

Dalam perkembangan lain, pakar astrofizik yang disegani, Stephen Hawking, memberi amaran bahawa satu-satunya cara untuk manusia meneruskan kehidupan di alam ini adalah dengan meneroka planet-planet lain atau memulakan penempatan baru di angkasa lepas.

.

Saintis itu berkata, hanya itulah cara yang ada sekiranya manusia terus terlibat dalam pelbagai aktiviti yang menghancurkan dunia.

.

“Krisis perang nuklear yang hampir tercetus antara Amerika Syarikat dan Rusia pada 1962 harus menjadi pengajaran kepada kita bahawa manusia pada suatu hari mungkin menyebabkan Bumi tidak boleh didiami,” katanya di laman sesawang Big Think yang menjadi forum beberapa pakar mengutarakan pandangan.

.

Katanya, kecanggihan teknologi boleh digunakan untuk membina kehidupan lebih baik, atau memusnahkan segala yang ada.

.

“Jadi, manusia perlu meneroka angkasa lepas sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

..

(Skrip ini ditulis berdasarkan pelbagai sumber dan disiarkan di halaman Sains Global akhbar Sinar Harian pada 15 Ogos 2010.)