Saturday, 28 May 2016

Pendedahan Pentadbir The Patriots

Pada 25 Mei 2016, sewaktu sedang hangat isu pihak tertentu mahukan buku-buku terbitan DuBook Press diharamkan, Daniyal Kadir menyatakan pandangannya menerusi Facebook.


“Semalam saya terbaca beberapa catatan di Facebook yang meminta supaya kempen digerakkan untuk mengharamkan buku-buku terbitan DuBook Press, namun yang menghairankan saya, buku Membedah P. Ramlee, Amuk Malam Merdeka, Republik Sungai Golok, Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi, Terima Kasih Si Babi Hutan dan sebagainya pun diterbitkan oleh DuBook Press dan tiada sebarang kata makian atau carutan di dalamnya. Adakah buku-buku ini juga harus kita haramkan? Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu kita bakar, tuan. Sikap generalisasi ini, tuan perlu jauhkan dan buku, tulisan, sastera atau apa-apa yang berkenaan bukan milik sesiapa, tetapi milik kita yang membikin.” – Daniyal Kadir, 25 Mei 2016, 9:17 pagi.

Apabila membaca kata-kata itu, saya segera teringat akan usaha pihak tertentu yang melenting dan mendesak buku Malaiur Manikam (2015) diharamkan sebelum ini.


“Penyokong The Patriots sejak 22 November 2015 memulakan kempen mendesak KDN (Kementerian Dalam Negeri) mengharamkan Malaiur Manikam (terbikan DuBook). Tapi kempen syok sendiri di Facebook sahaja. Sampai sekarang belum diharamkan!” – Uthaya Sankar SB, 25 Mei 2016, 9:22 pagi.

Pada petang itu, barulah muncul reaksi daripada Khairul Ashraf Muhamad yang mendakwa dirinya wakil pentadbir (admin) The Patriots.


“Dakwaan anda tidak berasas, tuan. Selaku wakil admin, dan memang saya tidak setuju dengan apa yang tuan tulis dalam buku tuan, prinsip kami jelas, tegas dan ikhlas. Kami melawan dengan buku. Dan jauh sekali, kami tidak berbuat cerita menipu.” – Khairul Ashraf Muhamad, 25 Mei 2016, 3:11 petang

“Kami di TP (The Patriots) tidak pernah terlibat dalam sebarang apa jua dakwaan tuan Uthaya Sankar ini. Sekali lagi diulang, memang kami di TP tidak pernah bersetuju dengan isi dan kandungan dalam buku beliau tetapi untuk menggunakan itu sebagai alasan untuk kami berbuat seperti didakwa, itu adalah tuduhan tidak berasas, menipu dan sekadar mahu mempromosikan tulisannya semata-mata. Di TP, kami melawan dengan buku, bukan dengan kuku.” – Khairul Ashraf Muhamad, 25 Mei 2016, 3:20 petang

Khairul Ashraf Muhamad selaku wakil pentadbir The Patriots turut menyelitkan dua nama iaitu Helmi Effendy dan Al Semantani Jones yang mungkin juga pentadbir The Patriots.

Saya menyelitkan tulisan di blog bertajuk “Dungu Macam Patriots” untuk memudahkan Khairul Ashraf Muhamad membaca sendiri segala pertuduhan dan ancaman yang pernah diketengahkan oleh penyokong The Patriots di laman rasmi kumpulan itu.


Malangnya, Khairul Ashraf Muhamad seolah-olah tidak tahu membaca! Atau tidak mahu membaca. Saya berikan pautan blog pada pukul 3:36 petang, dan beliau sudah membalas dalam masa 3 minit. Ternyata beliau tidak melihat segala petikan kata-kata penyokong The Patriots yang dimuatkan di pautan berkenaan!

“Tulisan yang masih tidak menjawab tuduhan tuan seperti di atas. Menipu untuk populariti mungkin cara tuan, tetapi tidak menjadi cara kami. Terima kasih kerana membantu mempromosikan page The Patriots, dalam masa yang sama turut mempromosikan tulisan tuan. Selamat maju jaya.” – Khairul Ashraf Muhamad, 25 Mei 2016, 3:39 petang

“Jika tuan mahu teruskan dengan pembohongan ini, sila buka wall di Facebook anda sendiri Uthaya Sankar SB, dan jangan kita sama-sama semakkan wall rakan saya ini. Dan tolong, jangan blok rakan admin TP yang lain, kami mahu menjawab. Beri kami peluang mahu menjawab tuduhan tidak berasas anda. Gentleman lah sikit, tuan.” – Khairul Ashraf Muhamad, 25 Mei 2016, 3:43 petang

Tentu sahaja saya juga tidak beminat mahu memanjangkan perdebatan dengan individu yang bersikap “sudah terang, lagi bersuluh”. Saya sudahi dengan satu komen terakhir.


“Bukan tuduhan, tetapi fakta bahawa penyokong The Patriots mahu buku Malaiur Manikam diharamkan. Teruskanlah hidup dalam penafian, jika itulah pilihan anda. Terima kasih.” – Uthaya Sankar SB, 25 Mei 2016, 3:53 petang

Ternyata Khairul Ashraf Muhamad mahu terus dengan sikap “Dungu Macam Patriots”. Akibat gagal mengawal emosi, pecah rahsia bahawa The Patriots memang rasa terancam dengan segala tulisan saya! Dan bahawa The Patriots amat mendambakan promosi dan publisiti murahan.


“Jadi, mana buktinya? Tuduhan tanpa bukti? Beginilah, saya salah seorang admin The Patriots. Kami memang tidak bersetuju dengan tulisan kamu tuan, tetapi untuk jalan pintas menggunakan kuku KDN, bukan cara kami. Begitu juga dengan tulisan-tulisan kamu yang akan datang, jika ada. Teruskan menulis, kembangkan idea dan hujah kamu. Kami tetap ada dan akan wujud untuk terus melawan dengan buku kami. Nyatakan bukti yang kami menggunakan saluran KDN seperti yang tuan dakwa. Jika tiada, bermakna kamu menipu, tuan. Tuan boleh terus hidup dalam delusi dan bayangan tuan. Terima kasih kembali. Jangan lupa selitkan kebencian kamu kepada kami, ia membantu mempromosikan buku dan tulisan kami juga.” – Khairul Ashraf Muhamad, 25 Mei 2016, 3:58 petang

Semuanya sudah jelas sekarang. The Patriots rasa terancam oleh tulisan-tulisan saya! Bukan hanya “penyokong” tetapi juga “pentadbir” – seperti diakui sendiri oleh Khairul Ashraf Muhamad.


“Itu penyokong, tuan. Bukan admin-admin TP. Jngn tabur fitnah. Dh la sejarah kte Nk spin. Aku agama Islam tetapi Aku bkn arab.” – Johari Ramli, 26 Mei 2016, 12:55 malam


Mujurlah akhirnya ada seorang individu yang memahami beza antara “penyokong” dan “pentadbir”. Memanglah ada beberapa individu (yang hanya berani berselindung di sebalik nama samaran) mengaku wakil admin The Patriots dan mengutuk segala tulisan saya di dinding The Patriots. Saya membiarkan sahaja segala salakan itu.


Untuk berlaku adil, ada juga tulisan The Patriots yang setelah dimurnikan (dari blog) dan kemudian dibukukan, menarik untuk dibaca. Misalnya, Membongkar Rahsia Dunia Melayu (2014). Baca juga: Wajah Sebenar Puak Dungu Macam Patriots

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!