Monday, 6 June 2016

Latihan Kepimpinan di Taiping

Pengenalan
Susulan perbincangan bersama-sama sekitar 100 individu yang menyertai Hari Keluarga Komuniti India di Dewan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama pada 3 Jun 2016, keputusan diambil untuk mengadakan program bulanan di Aulong Lama, Taiping bagi khalayak kanak-kanak, remaja, belia, wanita, dewasa dan warga emas. Aktiviti pertama yang dipersetujui adalah Program Latihan Kepimpinan (Leadership Training Program) dengan mengkhusus kepada aspek penguasaan Bahasa Inggeris.

Program Latihan Kepimpinan
Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama mengakui keperluan program latihan seumpama ini bagi membina, memperkukuh dan memantapkan ciri-ciri kepimpinan dalam kalangan pemimpin komuniti di Aulong dan Aulong Lama. Keperluan sama dipersetujui Kelab Bell Belia Tamil Taiping.

Kemahiran Komunikasi Bahasa Inggeris
Aspek kemahiran komunikasi Bahasa Inggeris (English Communication Skills) dilihat sebagai salah satu kemahiran insaniah (soft skills) yang boleh membantu meningkatkan motivasi, keyakinan diri dan semangat kepimpinan dalam kalangan belia yang menjadi pemimpin komuniti. Walaupun Bahasa Malaysia dan Tamil turut digunakan dalam urusan seharian, golongan belia dan pemimpin komuniti ini pasti mendapat manfaat tambahan sekiranya diberi latihan khusus dalam menguasai kemahiran komunikasi Bahasa Inggeris.

Penganjur
Program Latihan Kepimpinan ini dianjurkan oleh Pusat Latihan DHRRA Malaysia di bawah DHRRA Malaysia, dengan kerjasama Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya, serta Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama. Bengkel dikendalikan oleh Uthaya Sankar SB yang merupakan jurulatih bertauliah dan diiktiraf Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF). Keluarga Kavyan terlibat sebagai sukarelawan dalam merancang dan melaksanakan program ini.

Tarikh
17 Julai 2016 (Ahad)

Masa
9:00 pagi – 1:00 petang [Bengkel]

Tempat
Dewan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama
285 Lorong K, Aulong Lama, 34000 Taiping, Perak.

Peserta
Penyertaan terbuka kepada AJK Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama, AJK Kelab Bell Belia Tamil Taiping, serta golongan belia berumur 18-45 tahun di sekitar Aulong dan Aulong Lama. Hal ini penting bagi memastikan pemimpin komuniti yang dilatih merupakan kelompok yang ada kaitan dengan masyarakat akar umbi di Aulong dan Aulong Lama. Jumlah peserta adalah 20 (minimum) hingga 30 (maksimum). Penyertaan ditutup pada 30 Jun 2016

Syarat Penyertaan
Individu yang mahu menyertai bengkel kemahiran komunikasi ini perlu mengisi borang penyertaan rasmi. Individu yang mengisi borang tetapi tidak hadir (atas apa-apa alasan) tidak dibenarkan menyertai program pada masa hadapan. Hanya individu yang benar-benar komited perlu menjadi peserta. Peserta wajib menyertai bengkel sepenuhnya sebelum layak diberikan sijil. Peserta tidak dibenarkan menggunakan telefon dan internet sepanjang bengkel.

Skop Latihan
Program Latihan Kepimpinan pada 17 Julai 2016 mengkhusus kepada topik Kemahiran Komunikasi Bahasa Inggeris. Antara topik yang diberikan tumpuan adalah pengucapan awam (public speaking), panduan menguasai Bahasa Inggeris, kemahiran media sosial, dan panduan menulis surat secara berkesan. Peserta perlu membuat latihan penulisan dan pembentangan ringkas semasa bengkel sebelum layak menerima sijil penyertaan. Kemahiran yang dipelajari ini boleh juga diterapkan apabila peserta menggunakan medium komunikasi Bahasa Malaysia dan Tamil.

Bantuan Bagi Penduduk Miskin
Setiap peserta bengkel pada 17 Julai 2016 diberikan peluang mencadangkan sebuah keluarga miskin untuk menerima bantuan barangan keperluan harian. Sumbangan bagi bantuan ini akan diusahakan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Peserta perlu mencatatkan nama ketua keluarga penerima bantuan pada Borang Penyertaan semasa mendaftar. Keluarga miskin ini mestilah penduduk di Aulong atau Aulong Lama; serta benar-benar memerlukan bantuan. Sebaik-baiknya keluarga yang berminat menyertai program Kavyan-DHRRA pada masa hadapan. Ketua keluarga terbabit perlu hadir pada pukul 1:00 petang, 17 Julai 2016 untuk menerima bantuan barangan keperluan harian. Wakil tidak dibenarkan. Pertukaran/perubahan nama penerima bantuan tidak dibenarkan. Jika peserta gagal hadir (atas apa-apa alasan), pemberian bantuan kepada keluarga terbabit dibatalkan. Tambahan senarai penerima bantuan tidak dibenarkan. Cadangan nama penerima bantuan ditutup pada 30 Jun 2016.


Penyumbang Budiman
Para penyumbang yang menghulurkan wang secara ikhlas (sehingga 30 Jun 2016) bagi membeli barangan makanan (seperti beras, gula, biskut, tepung gandum, bihun, susu tin, dan sardin) ialah Chua Kok Yee, Evelyn Chua, Ghanthimathi, Gunasilan Ayyappan Kutty, Jasonkumar Ramakrishnan, Meganathan, Murugan Alimuthu, Shyamala Dhoraisingam, Sivanesan Subramaniam, Sumathi Muniandy, Susan Philip, Unny Sankar, Vicky Achuthan, dan Yummiliyah Yaacob. Kavyan merakamkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang budiman. Semoga mereka sentiasa diberkati dan dimurahkan rezeki. Kos makan tengah hari ditaja oleh DHRRA Malaysia. 


Atur Cara
Rangka atur cara adalah seperti berikut:

8:30 pagi
Pengesahan kehadiran oleh peserta yang sudah mendaftar.

9:00 pagi [Waktu Kavyan]
Pendaftaran ditutup. Peserta yang lewat dianggap “tidak hadir”.
Bengkel English Communication Skills.
(Waktu rehat 5 minit pada setiap jam)

12:30 tengah hari
Ketibaan penerima bantuan barangan keperluan harian.

1:00 petang
Makan tengah hari (untuk peserta dan penerima bantuan).
Ucapan wakil peserta bengkel English Communication Skills.
Ucapan wakil Keluarga Kavyan, Encik Sivasankar Narayanan.
Penyampaian sijil penyertaan.
Penyampaian bantuan barangan keperluan harian.
Sesi fotografi berkumpulan.

Maklumat Lanjut
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my [jangan tertinggal .my] atau 016-3288142 sebelum 10 Julai 2016.

Penutup
Program ini dijangka mampu memberikan kemahiran asas kepada pemimpin komuniti dan golongan belia di Aulong Lama dan Aulong. Sekiranya mendapat sambutan dan terdapat komitmen tinggi daripada masyarakat akar umbi, maka program susulan meliputi pelbagai aktiviti lain yang bertujuan memperkasa (empower) komuniti akan diatur pada masa hadapan bagi khalayak kanak-kanak, remaja, belia, dewasa, wanita dan warga emas.