“Saya perlukan seorang
ibu.”
Demikian dia mengumumkan
kepada orang ramai pada suatu pagi. Waktu itu, para penduduk Siru Kambam sedang
berkumpul di tebing sungai untuk menyaksikan seorang pemuda kampung yang
berusaha menyelam di dalam air selama dua puluh dua jam tanpa menyedut udara. —
“Arkitek Keluarga” (Metro Ahad, 23
Februari 2003)
Kumpulan cerpen Rudra Avatara (2008) diterima oleh saya
di mana ia diselitkan bersama buku Malaiur Manikam (2015) sewaktu saya
membelinya daripada Uthaya Sankar SB, hampir lima tahun lalu. Saya kurang meminati cerpen mahupun novel pada
waktu itu. Malahan, Rudra Avatara
merupakan kumpulan cerpen pertama yang saya miliki. Saya tidak membacanya
mengikut urutan kandungan tetapi mengikut tajuk yang menarik perhatian saya. “Arkitek Keluarga” merupakan cerpen pertama yang saya baca daripada kesemua cerpen
yang termuat di dalam buku ini.
“Arkitek Keluarga” bukanlah
sebuah cerpen yang berat, menggunakan kosa kata yang rumit, atau mengelirukan
pembaca untuk memahami pembawaan dan jalan cerita. Ia begitu mudah untuk
difahami, tetapi pastinya pembaca wajib terfikir dan merenung plot yang dibawa.
Malah, saya merasakan cerpen ini bersifat separuh eksperimental dan bukan biasa-biasa.
Uthaya sememangnya banyak
menggunakan latar tempat Siru Kambam dan menggunakan watak India-Hindu dalam kebanyakan cerpennya.
Begitu juga dalam cerpen ini. Tindakan ini sebenarnya menguatkan lagi cerpen
yang ditulis Uthaya kerana saya nampak kejujuran, keikhlasan dan pengalaman
serta pemerhatian penulis sendiri.
Cerpen “Arkitek Keluarga”
menarik minat saya kerana hanya pada waktu membacanya, saya sedar cerpen
mahupun novel boleh juga ditulis begitu — iaitu menggunakan unsur yang menguji
pemikiran serta mengundang pertanyaan dan persoalan dalam diri pembaca. Dahulu,
saya menganggap cerpen wajib merangkumi plot cerita yang tersusun dan wajib
mengandungi sebuah pengajaran atau teladan yang tersurat. Selepas ‘menikmati’ cerpen
“Arkitek Keluarga”, saya sedar bahawa mesej tersirat juga boleh dibawa oleh sebuah
cerpen.
Antara aspek yang paling
saya kagum dalam cerpen ini adalah bahasa yang digunakan; begitu mudah dan kosa
katan tidak bersifat kompleks. Ia membawa maksud bahawa karya sastera tidak
semestinya menggunakan bahasa yang tinggi, kosa kata yang berbunga dan berbelit,
mahupun kurang difahami oleh masyarakat. Saya sedar bahawa mesej yang
disampaikan atau pembawaan cerpen yang akan menentukan sama ada cerpen itu
sebuah karya yang baik atau sebaliknya.
Seterusnya, aspek lain yang
saya anggap unik dalam “Arkitek Keluarga” adalah bilamana penulis tidak sekadar
membawa sebuah plot yang biasa yang kita —permulaan, perkembangan, klimaks, peleraian
— sebaliknya penulis berjaya membawa pembaca untuk berfikir apakah jalan cerita
yang bakal berlaku kerana pembaca tidak boleh menentukannya.
Watak utama juga agak unik
di mana pemuda itu ingin membawa sebuah reformasi mengikut acuannya tersendiri
melalui sebuah keluarga bahagia. Saya sebagai pembaca tidak dapat mengesan
motif sebenar watak ini, tetapi di situlah saya percaya penulis berjaya membawa
keseluruhan cerpen ini.
Jikalau saya ingin menyentuh
kelemahan cerpen ini, kemungkinan besar saya akan kata, alangkah baik sekiranya
penulis memberi sedikit petunjuk iaitu mengapa watak utama terlalu inginkan
sebuah pembaharuan dan mahu memulakan sebuah kehidupan baharu. Tetapi saya
menganggap ia disengajakan oleh penulis, kerana di situlah kita memainkan
peranan sebagai pembaca — kita memiliki kuasa untuk berimaginasi dan menentukan
sendiri mengikut corak dan pemahaman masing-masing.
[Ulasan
ini ditulis oleh Jaymani Sevanathan bagi Pertandingan Menulis Ulasan Cerpen yang
dikendalikan oleh Uthaya Sankar SB semasa Perintah
Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara.
Pengulas memilih Surat Dari Madras dan Siru Kambam sebagai hadiah. Baca juga — Ulasan Anuradha Chelliah]