Buku
berjudul Kathakali (2009) memuatkan 16 buah
cerpen yang ditulis dengan menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah difahami
oleh pembaca daripada pelbagai lapisan umur.
Saya menggalakkan
peminat buku supaya membaca cerpen-cerpen dalam buku ini kerana bahasa yang
digunakan sangat mudah dan boleh difahami dengan cepat. Cerpen-cerpen ini juga
mungkin ada kaitan dengan kisah hidup para pembaca. Ia sesuai dibaca oleh penggemar
cerpen dan mereka yang minat membaca. “Kathkali” juga merupakan judul salah sebuah
cerpen dalam buku ini. Namun, bagi saya, cerpen berjudul “Anjing” lebih
menyentuh hati.
Saya
membaca cerpen “Anjing” mungkin dua atau tiga tahun yang lalu apabila saya
mendapatkan buku ini daripada penulis, tetapi ia masih jelas dalam ingatan
saya. Lagipun, saya pernah mendengar audio cerpen ini yang telah dikirim
kepada saya oleh penulis. Ini membuatkan cerpen berjudul “Anjing” menjadi
kegemaran saya.
Ia
berkisar tentang seorang ketua keluarga yang tegas dan telah menetapkan
undang-undang bagi keluarganya. Undang-undang yang ditetapkan oleh ketua
keluarga jarang mendapat tentangan daripada ahli keluarga. Sungguhpun begitu,
undang-undang tersebut boleh diubah dengan kelembutan hati orang yang
menetapkan peraturan-peraturan tersebut.
Dalam
cerpen ini, ketua keluarga yang tegas menjadi lembut dan mula akur dengan
kehendak anak bongsu. Namun, dia masih tegas terhadap permintaan anak sulung.
Anak sulung biasanya menjadi anak yang paling disayangi oleh ayah dan selalu
terpaksa mengikut kehendak ayah. Biasanya anak bongsu akan dapat melembutkan
hati ayah kerana usia ketua keluarga yang semakin lanjut.
Ketua
keluarga dalam cerpen ini mula berjinak dengan haiwan peliharaan yang pada mulanya
dia benci dan tidak suka. Dia juga sanggup menendang dan berkelakuan kurang
baik terhadap haiwan yang dibawa ke rumah oleh anak bongsu. Tapi, akhirnya,
dialah yang menjadi insan yang paling rapat dengan haiwan tersebut. Dialah yang
mula menguruskan segala-galanya bagi haiwan itu. Ternyata, setegas manapun
seseorang, akhirnya akan ada sesuatu yang akan melembutkan jiwanya.
[Lihat — Senarai Buku Uthaya]
Saya gemar
dengan cara penyampaian cerita ini. Sememangnya, cerita ini menjadi seronok
apabila pembaca menjadi salah satu watak dalam kisah tersebut. Dengan
menjadikan diri sebagai watak, kisah ini seperti berlaku pada diri sendiri.
Cerpen “Anjing”
mempunyai gaya penulisan dan laras bahasa yang sesuai dengan plot. Setiap unsur
diceritakan dengan jelas dan dapat ditafsir dengan mudah oleh pembaca.
Pemilihan situasi dan dialog yang digunakan membuatkan para pembaca tidak bosan
dengan jalan cerita.
Dialog
yang berlegar dalam kepala watak juga disampaikan dengan penuh emosi. Dialog
antara suami dan isteri disampaikan secara selamba dan menggambarkan situasi
yang biasa berlaku dalam kehidupan berkeluarga. Begitu juga dengan perbualan
antara anak-anak dan ibu bapa.
Pengakhiran
cerita juga agak berbeza. Ia mempunyai keunikan tersendiri yang pasti akan
kekal dalam hati para pembaca.
[Ulasan
ini ditulis oleh Anuradha Chelliah bagi Pertandingan Menulis Ulasan Cerpen yang
dikendalikan oleh Uthaya Sankar SB semasa Perintah
Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara.
Pengulas memilih Surat Dari Madras dan Siru Kambam sebagai hadiah. Baca juga — Ulasan Jaymani Sevanathan]