5 Apr 2016

Dari SJKT ke Sekolah Kebangsaan


Apabila sejumlah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mengambil keputusan memboikot Program Memartabatkan Bahasa Malaysia anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) selaku pelaksana program menemui jalan baharu untuk meneruskan usaha murni memupuk semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan generasi muda kaum India.

Insiden SJKT memboikot program ini berlaku berikutan hasutan yang dilakukan seorang guru bermasalah dari SJKT Taman Melawati, Yogesvaran Monogaram (M. Navin) menerusi laman Vallinam dan Yaal pada Januari 2016.

Kempen bermotif jahat itu turut menerima sokongan pekerja Perpustakaan Universiti Malaya, Vijayalatchumy MJ, dan setiausaha eksekutif Pemuda MIC Kebangsaan, Thiagaseelan Ganesan yang mengugut dan mengancam saya menerusi laman sosial.


Semuanya bermula apabila akhbar Tamil Nesan pada 13 Januari 2016 menyiarkan kandungan makalah saya yang dimanipulasi dengan niat menimbulkan kemarahan dan kebencian orang Tamil terhadap saya. – BACA KISAH PENUH DI SINI

Susulan daripada kempen-kempen berniat jahat yang turut dilakukan akhbar Malaysia Nanban (19 Januari 2016), beberapa SJKT yang pada asalnya memohon kepada Kavyan supaya Program Memartabatkan Bahasa Malaysia dijalankan di sekolah mereka telah membatalkannya tanpa sebarang makluman.

Kavyan yang diasaskan pada 22 Ogos 1999 sebenarnya mempunyai pengalaman luas mengendalikan pelbagai program bahasa dan sastera di SJKT seluruh negara.

Misalnya, Bengkel Penulisan Kreatif dimulakan pada April 2000 dengan lokasi pertama di SJKT Batu Arang, Rawang. Bengkel Karyawan Muda pernah diadakan di SJKT Fletcher, Kuala Lumpur pada Jun 2001. Apresiasi Sastera Kanak-kanak pula dimulakan pada April 2004 dengan menjadikan SJKT Hicom, Shah Alam sebagai lokasi pertama. – BACA DI SINI

Program Memartabatkan Bahasa Malaysia pula dijalankan secara lebih terancang di beberapa SJKT mulai 2014 [SENARAI DI SINI] sebagai susulan kepada siri Bengkel Cereka UPSR yang dikendalikan sejak 2004.

Program ini mendapat sokongan pelbagai pihak; seperti DBP, DHRRA Malaysia dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Apabila SJKT sudah memboikot Program Memartabatkan Bahasa Malaysia dengan alasan – antara lain – program ini tidak sejajar usaha memartabatkan bahasa ibunda (Tamil), maka Kavyan mengubah kumpulan sasaran.

Segala dana dan peruntukan – serta tenaga dan kepakaran – dialihkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) yang menunjukkan minat serta menyokong Program Memartabatkan Bahasa Malaysia.

Pihak DBP juga berpuas hati kerana SK yang dipilih mempunyai ramai murid kaum India. Misalnya, SK Convent Aulong, Taiping mempunyai majoriti murid kaum India. Program Memartabatkan Bahasa Malaysia berjaya dilaksanakan di sekolah berkenaan pada 14-16 Mac 2016. – BACA DI SINI

Pada 30-31 Mei 2016, program sama akan dilaksanakan di SK Guru Kalgidhar, Ipoh. Apa yang menarik, hampir kesemua murid sekolah berkenaan adalah kanak-kanak kaum India. – BACA DI SINI

Pelaksanaan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SK memberikan pengalaman baharu kepada Kavyan. Sebelum ini, atas permintaan DBP supaya mensasarkan murid-murid kaum India, program dijalankan di SJKT.

Kini, Kavyan dan DBP sedar bahawa khalayak kaum India – dan Bukan Melayu – di SK juga boleh dijadikan khalayak sasaran ke arah memupuk kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

Apabila program sudah mula dijalankan di SK dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), semakin banyak pihak menunjukkan minat untuk menghulurkan bantuan dana, bahan bacaan dan tenaga.

Maka, keputusan SJKT memboikot Program Memartabatkan Bahasa Malaysia atas apa alasan sekalipun tidak sedikit pun menjejaskan perjuangan Kavyan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Salah satu daripada objektif Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil (PTST) adalah menggalakkan SJKT bersetuju untuk menukar kedudukan daripada Sekolah Bantuan Modal kepada Sekolah Bantuan Penuh. Hakikat ini diakui PTST semasa Perjumpaan Bersama Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Kuala Lumpur di SJKT Sentul pada 31 Mac 2016; kononnya demi kepentingan masa depan SJKT!

Mungkin apabila sebahagian besar daripada 525 buah SJKT sudah menjadi Sekolah Bantuan Penuh – serta dengan mudah boleh ditukar status oleh kerajaan menjadi SK – Kavyan akan diundang mengendalikan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah berkenaan kerana program itu tidak lagi dituduh sebagai “tidak sejajar usaha memartabatkan bahasa ibunda (Tamil)”.

Apa yang pasti, Kavyan akan meneruskan perjuangan memartabatkan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Layari www.kavyan.blogspot.my dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat terkini aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya anjuran Kavyan. 

Atau hubungi Uthaya Sankar SB menerusi WhatsApp 011-11411952.