Thursday, 31 March 2016

Sasterawan Sayang Muhyiddin?

[Walaupun Muhyiddin dikatakan banyak membantu golongan penulis, tentu ada sebab mengapa tiada yang tampil membelanya kini.]

Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Menteri Pendidikan pada 28 Julai 2015, beberapa pihak tampil melahirkan rasa sedih kerana beliau dikatakan sangat prihatin terhadap masalah golongan penulis.

Puji-pujian itu segera mengingatkan saya kepada insiden tahun 2011 di mana beberapa penulis merayu campur tangan Muhyiddin selepas mereka dinafikan hak menerima royalti bagi karya mereka yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) – BACA DI SINI.

Sehingga tarikh Muhyiddin digugurkan daripada senarai kabinet, tidak ada sebarang hasil daripada surat rayuan berkenaan. Para penulis yang menjadi mangsa sudah pun putus asa dan sedar kerajaan tidak akan membela mereka.

Saya sendiri pernah dilantik oleh Muhyiddin untuk menganggotai panel khas yang ditubuhkan bagi meminda novel Interlok: Edisi Murid (2010) selepas teks Komsas itu menimbulkan kontroversi – BACA DI SINI.

Maka, saya berpeluang melihat dan mengalami sendiri keperibadian Muhyiddin yang pada Mac 2010 berbangga mengisytiharkan dirinya “Malay First”. Saya sudah bimbang membayangkan nasib rakyat apabila beliau menjadi Perdana Menteri (PM).

Dalam pada itu, kegagalan Muhyiddin mengekalkan kerusi TPM khabarnya menimbulkan kesedihan dalam kalangan penggiat sastera dan industri penerbitan buku.

Mengikut kisah yang tersebar menerusi media sosial, Muhyiddin disifatkan sebagai penggerak pelbagai aktiviti sastera; termasuk mengaktifkan semula Anugerah Sastera Negara. Hadiah Sastera Perdana Malaysia juga dikatakan mendapat suntikan daripada TPM.

Dana penerbitan dengan peruntukan RM5 juta setahun juga dimulakan oleh Muhyiddin. Maka, sekumpulan penulis yang berkongsi rasa sedih atas pengguguran Muhyiddin daripada jawatan TPM melahirkan harapan agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai TPM dapat meneruskan kesinambungan itu demi mengekalkan tradisi ilmu dan penerbitan.

Kuasa Politik dan Tekad Politik

Ternyata rasa taksub dan perbuatan mengagung-agungkan seseorang membuatkan para pengikut hilang pertimbangan dan kemampuan berfikir secara rasional. Malah, dalam Islam, boleh membawa kepada amalan syirik; tetapi itu topik lain.

Secara paling asas, segala sumbangan Muhyiddin dalam bidang sastera dan penerbitan (seperti yang dinyatakan itu) bukan dilakukan atas kapasiti sebagai TPM. Sebaliknya, sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab seorang Menteri Pendidikan.

Maka, sekiranya puak pentaksub Muhyiddin mahukan tradisi pemberian dana diteruskan, maka janganlah minta pada Ahmad Zahid. Sebaliknya, mintalah pada Datuk Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan.

Mungkin sahaja ada pihak yang mahu menegakkan benang yang basah dengan berkata, kedudukan Muhyiddin sebagai TPM yang telah memungkinkannya melakukan pelbagai “keajaiban” sebagai Menteri Pendidikan.

Untuk rekod, Muhyiddin dilantik menjadi TPM dan Menteri Pendidikan pada 2009. Mungkin kerana beliau memegang dua jawatan sekali gus, para penyokong tidak dapat membezakan portfolio kedua-dua jawatan.

Kita ambil contoh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau dilantik menjadi Menteri Pelajaran (Pendidikan) pada 1986; sebelum diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan pada 1991 dan kemudian dilantik menjadi TPM pada 1993.

Sebagai Menteri Pelajaran, Anwar menggerakkan serta menjayakan Hadiah Cerpen Maybank-DBP yang melahirkan ramai penulis Bukan Melayu; serta mengiktiraf karya-karya yang tersiar dalam majalah Dewan Budaya dan Dewan Sastera.

Contoh di atas membuktikan bahawa seseorang tidak perlu menjadi TPM untuk mampu ada kuasa politik dan tekad politik (political power and political will) bagi menyemarakkan bidang penulisan, sastera dan penerbitan buku.

Pada penelitian saya, Muhyiddin turut melakukan kesilapan dengan menghina intelektualiti golongan sasterawan (penulis) pada Januari 2014 – BACA DI SINI.

Menurut berita yang disiarkan di media, Muhyiddin dilaporkan berkata, “Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (pembangkang), manakala pemimpin negara berada di haluan sini (kerajaan), itu adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali.”

Sasterawan Perlu Ada Jati Diti

Pada pendirian saya, sasterawan dan penulis perlu berani bersuara mewakili rakyat. Kedudukan sasterawan adalah bersama-sama rakyat; bukan bersama-sama kuasawan, politikus dan kerajaan/pembangkang. Sasterawan adalah kelompok intelektual terpilih.

Maka, amat mengecewakan dan memalukan apabila Muhyiddin menghina sasterawan dengan menganggap mereka sentiasa berpihak kepada kerajaan (Umno dan Barisan Nasional).

Pada April 2015, Muhyiddin tampil pula menggesa golongan sasterawan terus menggalas amanah berkata benar walaupun ia menyakitkan. Tentu sahaja pendiriannya pada kali ini amat berbeza dengan pandangan pada tahun sebelumnya.

“Saya berharap agar para penulis akan terus menyatakan painful truth (kebenaran yang pedih) untuk memandu masyarakat ke arah kebenaran dan bukannya beautiful lie (pembohongan yang indah) yang boleh melekakan mereka,” katanya semasa berucap di kediaman rasminya di Putrajaya pada waktu itu.

Apabila Anwar dipecat pada 1998, ramai sasterawan yang tampil bersuara lantang dan mengkritik kezaliman yang berlaku. Anehnya, apabila Muhyiddin digugurkan daripada jawatan pada Julai 2015, tidak kedengaran pula suara sasterawan mempertahankannya.

Apa yang berlaku hanyalah suara keluhan penggiat bidang penulisan dan penerbitan yang sedih kerana terhutang budi kepada Muhyiddin yang menyalurkan pelbagai dana semasa menjadi TPM dan Menteri Pendidikan.

Mereka ini bukannya mahu membela Muhyiddin atau memperjuangkan nasib seorang pemimpin yang teraniaya. Sebaliknya mereka seolah-olah hanya berharap pengganti yang mengambil alih kerusi TPM dan Menteri Pendidikan terus menghulurkan dana, habuan dan “derma”.

Memang ada penulis dan persatuan penulis yang menjadi “boneka” kerajaan. Mereka juga pasti tidak akan tampil untuk bersama-sama Muhyiddin kerana mereka mahu terus menjadi “boneka” kerajaan.

Sejak tiada jawatan dalam kerajaan, Muhyiddin kini tiba-tiba mula berjiwa rakyat. Namun, golongan sasterawan yang ada jati diri ternyata tetap tidak mahu bersuara bagi memperjuangkan nasibnya.

[Makalah ini ditulis pada 4 Ogos 2015 dan disiarkan di Roketkini pada 8 Ogos 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]