Nampaknya “isu-isu terpencil” yang berlaku di beberapa Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) semakin membimbangkan, dan perlu diberikan
perhatian serius sebelum nasi menjadi
bubur.
Saya menyeru guru-guru, bekas guru, murid-murid, bekas murid, serta ibu bapa yang menghantar anak-anak ke SJKT tampil mendedahkan kelemahan supaya penyakit yang sedang merebak dapat diubati.
Langkah segera perlu diambil demi menyelamatkan SJKT dan
memastikan sekolah aliran Tamil terus unggul di Malaysia; selaras kempen “SJKT
Pilihan Kita” yang giat dipromosikan sejak beberapa tahun lalu.
Baru-baru ini, portal Vanakkam
Malaysia (30 Julai 2016) melaporkan bahawa seorang guru SJKT cuba membunuh diri. Akhbar The Star (31 Julai 2016) memberikan maklumat lebih lanjut mengenai kes itu
yang berlaku di Klang, Selangor. Berita ini turut dilaporkan di Free Malaysia Today (1 Ogos 2016).
Saya pernah menulis artikel “Guru SJKT dan Bunuh Diri” (The Malay Mail Online, 9 dan 10 Februari
2015) untuk mendedahkan isu penderaan mental oleh guru besar yang menyebabkan
ramai guru SJKT memikirkan untuk membunuh diri.
Portal Free Malaysia
Today (2 Ogos 2016) menyiarkan berita ibu bapa yang hilang kepercayaan terhadap guru besar
sebuah SJKT di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pelbagai isu berkaitan SJKT telah saya dedahkan menerusi
beberapa artikel – BACA DI SINI dan BACA
DI SINI – sehingga akhbar Tamil Nesan (13 Januari 2016) melabel saya sebagai “pengkhianat”
yang perlu dihadapkan ke mahkamah. Akhbar itu turut “menyeru
pencinta Bahasa Tamil di seluruh negara membuat laporan polis terhadap pengkhianat
ini.”
Akhbar Malaysia Nanban
(19 Januari 2016) pula menjatuhkan hukuman bahawa saya tidak layak mengkritik kelemahan SJKT kerana saya bukan keturunan
Tamil, bahasa ibunda saya bukan Tamil, dan saya bukan bekas murid SJKT.
Sehingga kini, tidak ada walau satu laporan polis dibuat
oleh sesiapa terhadap saya berhubung pelbagai pendedahan yang saya lakukan.
Tentu semua pihak tahu bahawa pendedahan yang saya lakukan adalah berdasarkan
fakta dan bukti, serta bertujuan menyelamatkan
SJKT sebelum dihancurkan oleh orang dalam.
[Lihat juga - SK Jadi Lubuk Perkauman?]
Apabila membaca dan mendengar mengenai pelbagai isu SJKT
sejak belakangan ini, saya sedar bahawa saya tidak boleh berdiam diri walaupun
saya bukan keturunan Tamil, bahasa ibunda saya bukan Tamil, dan saya
bukan bekas murid SJKT (Malaysia Nanban, 19 Januari 2016).
Tentu ramai yang mahu menyuarakan rasa tidak puas hati
berhubung pelbagai kepincangan yang nyata wujud di SJKT, tetapi tiada saluran
untuk bersuara. Politik di SJKT membuatkan banyak pihak terpaksa makan hati berulam jantung.
Maklumlah, daripada pengalaman saya sendiri, apabila artikel
“Persoalan
Kempen SJKT Pilihan Kita” tersiar, Penyelaras Pelan
Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil, Dr N. Rajendran bertanya, “Apakah
Uthaya tidak tahu tentang kejayaan murid-murid SJKT?” (Malaysia Nanban, 14 Januari 2016); manakala Timbalan Menteri
Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan menegakkan
benang yang basah dengan berkata, “tidak ada satu pun kes seumpama itu berlaku di SJKT.”
Kini, peluang dibuka kepada individu yang prihatin dan
berani untuk tampil menyuarakan pandangan dan komen terhadap isu-isu yang
benar-benar wujud di SJKT.
Saya memberi jaminan bahawa maklumat peribadi setiap
individu terbabit akan dirahsiakan sepenuhnya. Maklumat peribadi tidak akan
didedahkan kepada sesiapa.
Murid SJKT, bekas murid, ibu/bapa/penjaga kepada murid atau
bekas murid SJKT, guru dan bekas guru SJKT yang berani sahaja dipelawa mengisi borang dalam talian ini.
[Lihat juga - SK Jadi Lubuk Perkauman?]
Maklumat yang disalurkan akan digunakan untuk menulis
artikel di blog dan portal berita. Isu-isu yang memerlukan perhatian juga akan
disalurkan terus kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.
(Tentulah Kamalanathan dan Rajendran mungkin menafikan apa-apa masalah dan isu yang didedahkan mengenai
SJKT. Maka, saya akan membawakan terus segala isu itu kepada perhatian media
dan pegawai-pegawai kementerian yang boleh membantu.)