26 May 2010

Rekaan Semata-mata

Semasa menyunting berita bagi halaman Jenayah, Mahkamah dan Bisnes di Sinar Harian pada petang 24 Mei 2010, saya terbaca satu skrip berita mengenai insiden dua remaja berumur 18 tahun yang berlaku pada 20 Oktober 2009.

Ringkasan kisah itu saya paparkan pada ruangan status Facebook pada hari yang sama:


Dua remaja (18 tahun) makan malam di kedai. Mereka menunggang motosikal untuk pulang lalu dikejar tiga motosikal ditunggang tiga lelaki berpakaian biasa. Remaja ketakutan dan mula memecut. Tembakan membunuh seorang remaja. Rupa-rupanya tiga lelaki itu polis! Boleh dijadikan cerpen? Sudut penceritaan remaja yang terselamat. [LAGI]


Seorang rakan (bekas pelajar saya) segera memberi reaksi bahawa ia “satu plot cerita yang amat menarik” sementara seorang lagi rakan (penulis) mengatakan bahawa dia “risau akan border line pihak editorial yang terikat dengan norma-norma penerbitan arus perdana”.


Segera pula saya terkenang akan cerpen “Politik Baru YB J” (Mingguan Malaysia, 12 Oktober 2008) yang disifatkan oleh penulisnya, Datuk Chamil Wariya, sebagai “hanya rekaan semata-mata. Watak-wataknya adalah rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati”. [LAGI]


Persatuan Penulis Nasional (Pena) juga tampil menyokong tindakan itu atas alasan “hak penulis untuk berkreatif” seperti dilaporkan secara amat objektif oleh Jimadie Shah Othman di Malaysiakini pada 17 Oktober 2008. [LAGI]


Kesimpulannya amat mudah: tidak salah jika sesiapa (khususnya “penulis karya kreatif”) muncul dengan siri kisah kreatif mengenai anggota polis yang menembak remaja, tokoh politik yang mengarah individu tertentu dibunuh, pegawai kerajaan yang meminta rasuah, individu ditolak dari bangunan semasa disiasat, polis trafik yang meminta rasuah atau calon pilihan raya yang merasuah pengundi secara terang-terangan.


Kalau dipertikaikan orang, salin dan tampal alasan ini: “hanya rekaan semata-mata. Watak-wataknya adalah rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati” dan "hak penulis untuk berkreatif".


Sementara itu, saya akan terus menulis cerpen berciri faksyen iaitu kisah-kisah berdasarkan insiden dan watak sebenar; kecuali dapat dibuktikan sebaliknya!