8 Sept 2010

Spektrometer Teroka Angkasa

FLORIDA - Salah satu peralatan saintifik angkasa lepas yang paling kompleks pernah dibina kini sudah dibawa ke Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Cape Canaveral, Florida sebelum bakal dihantar ke Pusat Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Februari 2011.
.

Peralatan antijirim Alpha Magnetic Spectrometer (AMS-02) dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Geneva, Switzerland menggunakan pesawat kargo C-5 Galaxy milik Angkatan Tentera Amerika Syarikat pada 26 Ogos 2010.

.

AMS-02 adalah peralatan saintifik paling besar yang akan dipasang pada ISS dan berjaya dihasilkan dengan kerjasama pelbagai negara pada peringkat antarabangsa.

.

Walaupun hanya akan dilancarkan dalam masa enam bulan lagi, AMS-02 sudah diiktiraf sebagai kejayaan besar kepada usaha gigih sejak lebih sedekad lalu.

.

Peralatan serba canggih dan berteknologi tinggi ini dihasilkan dengan kerjasama 56 institut dari 16 negara dan diketuai penerima Hadiah Nobel, Samuel Ting dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT).

.

AMS-02 memiliki kekuatan magnetik 4,000 kali lebih kuat daripada kekuatan magnetik di Bumi dan mampu memeriksa setiap jirim yang melaluinya menggunakan program khas yang dimuatkan padanya.

.

Saintis berharap dapat menggunakan peralatan ini untuk lebih memahami isu-isu yang paling asas tetapi amat penting mengenai kelahiran dan struktur alam semesta melalui penelitian terhadap antijirim iaitu jirim yang proton, elektron dan zarah-zarahnya mempunyai cas berlawanan dengan yang biasa dipunyainya.

.

AMS-02 juga mampu mengumpul maklumat tambahan berkaitan sumber penyinaran kosmos di bintang-bintang dan galaksi lain yang terletak jutaan tahun cahaya dari Bumi.

.

Peralatan berkenaan akan kekal di ISS selama sekurang-kurangnya sepuluh tahun dan tidak akan kembali ke Bumi apabila tamat tempoh hayatnya nanti.

.

(Skrip ini dihasilkan dengan bahan dari pelbagai sumber dan disiarkan di halaman Sains Global akhbar Sinar Harian pada 29 Ogos 2010)