Neil Hall dari Universiti Liverpool berkata, kejayaan ini akan membantu saintis mencari jalan ke arah menghasilkan baka gandum yang lebih bermutu dan berkhasiat sebagai sumber makanan.
“Kod genetik yang baru sahaja berjaya ditafsirkan hasil kajian bertahun-tahun lamanya akan kami paparkan di Internet supaya boleh diakses para petani moden di seluruh dunia sebagai panduan untuk meningkatkan mutu tuaian,” katanya di Liverpool pada 27 Ogos 2010.
Kejayaan mentafsir urutan kod genetik gandum dilihat sebagai kejayaan besar dan sumber rujukan penting dalam usaha menggabungkan kepakaran terkini sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan masa depan.
“Misalnya, petani boleh mendapatkan maklumat mengenai cara-cara mengenal pasti variasi gandum mengikut genetik yang berbeza supaya kebal pada penyakit, sesuai dengan cuaca kering dan memberikan lebih banyak hasil,” kata Hall dengan penuh harapan.
Beliau mengakui bahawa maklumat urutan kod genetik yang dipaparkan di Internet sejak kelmarin masih pada peringkat draf awal tetapi akan dikemas kini dari semasa ke semasa berdasarkan pelbagai kajian lanjut yang sedang dan akan dilakukan pakar sains di Universiti Liverpool.
“Kesan positif yang dibawakan hasil kajian ini akan jelas kelihatan dalam masa terdekat. Misalnya, harga lebih murah bagi makanan daripada tepung gandum dan jaminan bekalan makanan seluruh dunia dalam masa lima tahun lagi,” katanya.
Kod genetik padi berjaya ditafsirkan oleh saintis pada 2005, jagung pada 2009 dan kacang soya pada awal tahun ini.