24 Jan 2021

Covid-19 Serlah Kehebatan Wanita


Sama ada disedari atau tidak, tahun 2020 yang diselubungi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyerlah kehebatan kaum wanita sebagai adiwira yang amat wajar diraikan.

Umum mengetahui dan kita melihat sendiri bagaimana golongan wanita dalam hidup kita mempamerkan sikap positif dalam meneruskan perjuangan sepanjang hayat. Kita tentu pernah mendengar kisah perjuangan dan pengorbanan nenek-moyang.

Suasana sepanjang tahun lalu, khususnya sejak PKP diumum pada Mac 2020, membantu orang ramai melihat dan menghargai pengorbanan, kehebatan dan semangat juang yang dimiliki kaum wanita, khususnya golongan ibu.

Kaum ibu yang dimaksudkan termasuk suri rumah sepenuh masa, ibu tunggal, wanita berkerjaya, dan wanita yang belum berkahwin. Mereka hadir dalam kehidupan seharian kita dan catatan ini sekadar bertujuan membantu kita menyedari kehebatan mereka.

Pandemik Covid-19 dan PKP tiba-tiba mengubah cara hidup masyarakat dunia. Tiba-tiba, ramai pula penduduk Malaysia yang hilang sumber pendapatan. Dalam situasi genting ini, golongan wanita tampil menunjukkan kehebatan unik yang seolah-olah sudah sebati dalam DNA mereka.

Kita tidak perlu merujuk kepada mana-mana kes secara khusus kerana saya percaya kisah ketabahan kaum wanita mengharung hidup di kala Covid-19 bukan kes terpencil. Sebaliknya, kita semua pasti mengenali sekurang-kurangnya seorang wirawati yang tidak didendangkan.

Sebagai contoh, apabila si suami tiba-tiba diberhentikan kerja atau tidak ada sumber pendapatan, si isteri (suri rumah) tetap tidak patah hati. Entah bagaimana mereka masih mampu memastikan segala keperluan setiap ahli keluarga terjaga dan terpelihara.

Mungkin sahaja segala persiapan yang dibuat si ibu dalam contoh di atas tidak cukup mewah tetapi tetap memenuhi keperluan asas. Tidak ada mana-mana anggota keluarga yang terlepas peluang.

Hal ini mungkin melibatkan makan-minum, keperluan asas, urusan rumah dan sebagainya yang selama ini kita ambil mudah. Si ibu tetap memastikan seluruh keluarga mampu menikmati kehidupan selesa, walaupun dalam situasi terpaksa berjimat dan mengurangkan pelbagai perbelanjaan.

Golongan suami dan bapa yang kini tiba-tiba terpaksa meluangkan lebih banyak masa di rumah pasti tergamam apabila menyaksikan sendiri “sentuhan” magis isteri dan ibu yang entah dari mana mampu memastikan semua keperluan keluarga terjaga dan terpelihara.

Walaupun dunia luar sedang bergolak dan setiap pihak sedang berdepan masalah akibat Covid-19, kaum wanita masih boleh mempamerkan wajah tenang dan melakukan perancangan teliti bagi memastikan kapal keluarga berlayar tenang.

Golongan suri rumah (termasuk ibu tunggal) yang mungkin tidak berpendidikan tinggi pun mampu membuat perancangan secara strategik dan sistematik dalam usaha memastikan sumber kewangan yang terhad masih boleh digunakan untuk memenuhi keperluan setiap anggota keluarga.

Hal-hal ini tentu telah kita perhatikan dalam keluarga masing-masing. Dalam diam, kita terasa kagum dengan kehebatan golongan wanita menangani segala situasi sambil mempamerkan wajah yang amat tenang.

Tidak terkecuali juga golongan wanita yang terlibat dalam profesion perguruan. Memanglah pernah ada suara-suara sumbang yang merungut dan mempersoalkan rasional gaji golongan guru masih berjalan seperti biasa walaupun sekolah ditutup.

Sebenarnya, mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan seperti itu tidak menyedari hakikat dan realiti. Golongan guru sebenarnya terbeban dengan tugas, kerja, dan tanggungjawab berlipat kali ganda sejak PKP dilaksanakan.

Golongan ini terpaksa belajar, mempersiapkan diri, dan malaksanakan pelajaran secara dalam talian. Kita tentu menyedari pelbagai masalah yang wujud dalam kalangan pelajar dan ibu bapa sendiri apabila kelas dikendalikan secara maya.

Selain daripada kerja mengajar, golongan guru terpaksa memikul banyak lagi kerja yang tiba-tiba diletakkan pada pundak mereka. Kita akan memahami hal ini jika ada guru dalam keluarga.

Golongan guru terpaksa bekerja 24 jam sehari; walaupun sering dituduh hanya bekerja separuh hari. Pada setiap masa, sama ada pagi, petang, siang, atau malam, akan ada arahan kerja yang datang dari atas. Sama ada daripada guru besar/pengetua atau dari pejabat pendidikan daerah (PPD) yang meminta laporan itu dan ini.

Sekarang, bayangkan guru itu seorang wanita! Tugas dan tanggungjawab mereka bertambah berat. Mereka menjadi “ibu” kepada pelajar di alam maya, sambil menguruskan anak-anak di rumah. Situasi sama dihadapi kesemua wanita tanpa mengira profesion dan status sosial.

Golongan lelaki (suami/bapa) mungkin melihat PKP sebagai peluang untuk “berehat” di rumah bersama-sama keluarga. Akan tetapi, tidak ada istilah “rehat” dalam hidup golongan wanita. Merek sebenarnya terpaksa “kerja lebih masa” sepanjang PKP.

Tidak hairanlah nenek-moyang kita berkata, tangan yang mengayun buaian mampu menggoncang dunia. Kita menyedari kebenaran kata-kata itu dengan melihat contoh dari luar. Kini, kita diberi peluang untuk melihatnya di depan mata, iaitu dalam keluarga sendiri.

Apa kata pada tahun baharu ini, kita sama-sama menyematkan azam untuk lebih menghargai kehebatan golongan wanita dalam keluarga.


[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 31 Disember 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 2 Januari 2021. © Uthaya Sankar SB] [Baca juga — Rencana Julai-Disember 2020]