27 Jan 2021

Bhagavad Gita dan Jurang Wibawa


Dalam kehidupan seharian, sudah menjadi kebiasaan untuk kita menerima maklumat dan berita dari pelbagai sumber. Lazimnya, kita menerima sahaja kisah atau berita yang disampaikan tanpa memikirkan kesahihan dan ketepatan fakta.

Situasi ini sentiasa berlaku dalam perkongsian, penyebaran, dan penularan maklumat menerusi media sosial dan telefon pintar. Sering kali kita turut berkongsi kisah dan berita yang diterima tanpa berfikir.

Budaya, amalan, dan keghairahan ini sebenarnya menunjukkan kejahilan. Kita mungkin sudah terbiasa untuk menerima sahaja apa-apa arahan atau berita yang datang daripada individu atau pihak tertentu.

Misalnya, apa-apa maklumat yang diterima daripada rakan-rakan, guru, majikan, atau pemimpin masyarakat. Kita sudah terbiasa menerima sahaja perkongsian maklumat daripada pihak “atasan” tanpa memikirkan kesahihan dan ketepatan fakta.

Malah, dalam kebanyakan situasi, kita terlupa untuk berfikir tentang jurang komunikasi dan perubahan fakta yang mungkin telah berlaku apabila berita dan cerita disampaikan daripada orang pertama kepada orang kedua, dan seterusnya kepada orang ketiga dan orang keempat.

Saya mahu bersikap agak ekstrim dengan menyentuh kisah dalam Bhagavad Gita yang terkenal dalam kalangan penganut agama Hindu. Bhagavad Gita merupakan sebahagian daripada epik Mahabharata yang turut terkenal di Nusantara sebagai Hikayat Pandava Lima atau Hikayat Pandawa Jaya.

Rujukan Bhagavad Gita di sini bukan sebagai sebuah teks agama atau kitab suci. Sebaliknya, sekadar untuk melihat aspek komunikasi yang menjadi tunjang cerita.


Bhagavad Gita terdiri daripada 18 bab yang mengandungi 700 sloka iaitu puisi tradisional dalam bahasa Sanskrit. Umum mengetahui bahawa Mahabharata (termasuk Bhagavad Gita) dikarang oleh Vyasa, seorang pendeta dan penyair agung dalam tradisi Hindu. Selain daripada Vyasa, ada empat watak lain yang berperanan menggerakkan cerita.

Pertama, Arjuna iaitu salah seorang daripada lima adik-beradik yang dikenali sebagai Pandava. Dia sedang berada di medan perang Kurukshetra melibatkan tentera Pandava dan Kaurava.

Baca sepenuhnya dalam kumpulan esei Kisah Sasterawan Kavyan (2022).


[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 7 Januari 2021 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 16 Januari 2021 dengan judul “Jahil Punca Kongsi Berita Palsu”. © Uthaya Sankar SB]