28 Apr 2021

Diperlukan: “Tuhan” dalam Karya Penulis Bukan Islam

Kita masih berdepan isu umat Bukan Islam dinafikan hak menggunakan kata “Tuhan” (huruf besar) dalam penulisan. Kononnya, “Tuhan” hanya merujuk kepada Allah dan hanya boleh digunakan oleh penulis Islam. [rujuk di sini]

Berkat ketegasan saya sejak mula, dalam kesemua karya saya, “Tuhan” sentiasa ditulis dengan huruf besar tanpa mengira agama dan kaum watak terbabit. Malangnya, ramai penulis Bukan Islam tidak berpeluang berbuat demikian.

Antara alasan yang nampaknya digunakan untuk menidakkan hak orang Bukan Islam menggunakan “Tuhan” (huruf besar) adalah dengan mengatakan tuhan (huruf kecil) itulah “kelaziman penggunaan oleh penulis Bukan Islam”.

Dalam antologi Meredah Kabus (2021), kata “Tuhan” (huruf besar) oleh penulis Bukan Islam ditukar kepada “tuhan” (huruf kecil) tanpa izin penulis. Saya sudah mendapatkan pengesahan daripada penulis terbabit.

Kini, saya sedang mengumpulkan bahan bukti bahawa umat Bukan Islam memang menggunakan “Tuhan” (huruf besar) dalam penulisan Bahasa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Bahan bukti itu akan dijadikan sebahagian data untuk menunjukkan “kelaziman penggunaan oleh penulis Bukan Islam”, sekali gus hak penggunaan “Tuhan” (huruf besar) oleh umat Bukan Islam tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Tentu sahaja saya tidak mampu melakukannya seorang diri. Saya perlukan bantuan orang ramai.

Maklumat yang diperlukan:

1. Tajuk karya/buku/majalah/akhbar/jurnal dll

2. Nama penulis (Bukan Islam)

3. Tarikh terbitan (lengkap)

4. Nama penerbit

5. Nombor halaman

6. Foto petikan halaman berkenaan

Kirim kepada saya menerusi WhatsApp 011-11411952 atau e-mel uthayasb@gmail.com selewat-lewatnya pada 2 Mei 2021 (Ahad), pukul 5:00 petang.

Kalau seorang mengirim satu bahan pun sudah mencukupi. Sila nyatakan dalam mesej jika anda tidak mahu nama anda didedahkan.

Maklumat ini akan dikumpul untuk dijadikan bahan bukti bagi memperjuangkan hak umat Bukan Islam menggunakan “Tuhan” (huruf besar) dalam penulisan formal, tidak formal, akademik, dan kreatif.

Ingat: Melawan dengan bukti dan data lebih baik berbanding melawan dengan suara dan emosi semata-mata.