Pesta pada malam ini penuh dengan warna, bunyi, dan haruman yang memabukkan.
Di tengah-tengah kawasan luas yang dihiasi bunga raya dan lampu berwarna emas, kelihatan ratusan pengikut kultus Prashamsaneeji yang berpakaian serba putih, mengangkat tangan ke langit sambil memuji nama Guruji dengan penuh khusyuk.
Bunyi gendang dholak, mardala, mridangam, tabla, urumi, chenda, dollu, dan thavil, serta suara pujian yang bersahut-sahutan melantun di udara, mencipta suasana seakan-akan membius minda.
Di sebalik kemeriahan itu, tersimpan sesuatu yang lebih gelap. Sesuatu yang tidak terlihat dan tidak disedari oleh kebanyakan orang yang hadir untuk berpesta.
Di sudut yang jauh, Mukundan, ketua gengster yang dikenali dengan sikap kejam dan berpengaruh luas, berdiri dengan tenang. Dia memandang ke arah Guruji yang sedang berdoa di pentas, sambil matanya tajam memerhatikan gerak-geri para pengikut yang datang dan pergi.
Mukundan tahu, di sebalik upacara keagamaan ini ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku. Sesuatu yang melibatkan pengubahan wang haram, keganasan, dan percaturan politik. Dan satu nyawa yang wajib dikorbankan.
Beberapa bulan lalu, Mukundan yang mempunyai hubungan rapat dengan beberapa ahli politik serta berpengaruh dalam dunia jenayah diundang berjumpa dengan Guruji.
Ketika itu, Guruji baru sahaja mendirikan pusat ajaran Prashamsaneeji yang semakin berkembang pesat serta berjaya menarik perhatian ramai orang, terutama golongan muda yang terpedaya dengan kata-kata hikmah dan ajaran kultus berkenaan.
“Guruji, saya sedia bekerjasama. Tapi saya perlu tahu apa yang saya akan dapat sebagai balasan,” Mukundan berterus-terang dengan suara penuh sindiran.
Guruji tersenyum lembut. Namun ada suatu kengerian tersembunyi dalam senyuman itu. Di sebalik persona dan penampilan diri sebagai tokoh pemimpin spiritual, tidak ramai yang tahu wajah sebenar penunggang agama itu.
“Mukundan, kamu dan saya tahu bahawa dunia ini berputar atas wang. Kamu ada sumber tenaga dan jaringan yang luas. Saya punya pengikut yang setia membabi buta. Kita boleh sama-sama membangunkan kuasa politik tak terhingga. Saya tidak minta banyak. Sekadar sokongan untuk meluaskan lagi ajaran kultus Prashamsaneeji dalam kalangan kaum India.”
“Dan bagaimana saya harus membantu dan mendapatkan balasan setimpal?” Mukundan mengerutkan dahi. “Saya tidak berminat menjadi macai politik atau macai kultus ajaran sesat. Saya ketua penjenayah yang mahukan keuntungan.”
Guruji memandang Mukundan dengan serius. Hanya mereka berdua berada di pejabat Guruji pada waktu itu. Maka, tidak timbul keperluan untuk berselindung dan berteka-teki.
“Kita akan menggunakan wang dari pelbagai aktiviti haram yang kamu jalankan, Mukundan. Kita akan mengubahnya menjadi sumber kewangan yang sah menerusi akaun bank rasmi. Wang itu akan disalurkan kononnya untuk membiayai upacara keagamaan dalam kultus Prashamsaneeji. Tetapi sebenarnya akan digunakan untuk menarik lebih ramai orang India menyertai kultus ini dan kumpulan gengster, sekali gus melindungi segala aktiviti jenayah kamu tanpa sebarang masalah.”
Mukundan terdiam memikirkan tawaran itu. Sejak ada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, operasi kedai karpet miliknya juga sedikit terjejas. Semakin sukar untuk menutup mulut pihak berkuasa yang sentiasa mengharapkan habuan lebih besar.
“Pengubahan wang haram? Apa yang Guruji mahukan daripada saya?”
“Kerjasama pintar; smart partnership. Jangan risau, kamu akan mendapat keuntungan lumayan. Kuasa gengsterisme kamu diperlukan untuk memastikan pihak berkuasa tidak mengganggu operasi kultus ini,” jawab Guruji dengan tenang. (bersambung)
Baca reaksi pembaca beta — [di sini]
Berikut reaksi
pembaca beta sebelum ini: [Mukundan Sudah Mati] – [Guruji dari Jaisalmer] – [Anak Bunian] – [Darurat di Pulau Cinta] – [Kumpulan
Fiksyen Putaria] – [Siapa Bunuh Mukundan?] – [Raman dan Kultus Guruji] – [Rahasya di Pulau Cinta] – [Cinta Maya Arjuna]