25 Jan 2025

Menyampaikan Budaya India-Hindu kepada Komuniti Cina

Peribahasa Tamil mengatakan bahawa sebutir nasi di dalam periuk menjadi wakil kepada keseluruhan nasi di dalam periuk itu. Jika sebutir nasi sedap, maka tentulah semuanya sedap.

Begitulah juga Tang Ah Chai menjadi bukti kepada minat kaum Cina mengenali, memahami, dan menghayati budaya kaum India dan agama Hindu. Malah, beliau bukan setakat seorang peminat tetapi sudah menjadi seorang pengkaji dan pakar yang mampu menyampaikan maklumat tentang budaya India-Hindu kepada komunitinya.

Sebagai seorang pengkaji dan penulis, saya juga banyak menulis mengenai budaya India-Hindu dalam Bahasa Malaysia. Pada masa saya, saya akui hakikat bahawa penguasaan bahasa kebangsaan masih menjadi kekangan kepada kebanyakan masyarakat Cina untuk membaca dan menghayati tulisan saya.

Jadi, apabila saya bertemu Tang Ah Chai yang menulis pelbagai hal berkaitan budaya India-Hindu dalam bahasa Cina, saya amat gembira. Usaha beliau berjaya mengatasi masalah bahasa yang menjadi penghalang untuk komuniti Cina di Malaysia mengenali budaya India-Hindu secara lebih mendalam. (Baca juga tulisan saya mengenai beliau bertajuk “Duta Perpaduan Cina-India” dalam buku Dewi Pertiwi.)

Apabila Tang Ah Chai berkongsi maklumat di media sosial seperti Facebook, saya perhatikan ada banyak reaksi positif daripada orang ramai. Ada juga yang mengemukakan pertanyaan lanjut dan beliau dengan tenang menjawab segala soalan itu. Situasi positif ini amat membantu usaha memperkenalkan budaya India-Hindu kepada kaum Cina yang memang benar-benar berminat untuk mengambil tahu.

Saya sangat gembira apabila Tang Ah Chai membuat keputusan mengumpul dan menerbitkan tulisan beliau dalam bentuk buku. Dengan cara ini, orang ramai dapat menikmati tulisan beliau secara lebih menyeluruh. Buku The Gorgeous Temple: Anthology of Hinduism and Hindu Temples in Malaysia juga bakal menjadi bahan rujukan dan dokumentasi berguna untuk generasi akan datang.

Kesemua topik yang dibincangkan dalam buku ini amat menarik minat saya. Saya yakin bahawa para pembaca akan dapat menimba ilmu dan pengetahuan yang sangat berguna menerusi buku ini. Malah, saya berani katakan bahawa maklumat di dalam buku ini lebih lengkap berbanding maklumat yang diketahui orang awam daripada kalangan orang India-Hindu di Malaysia.

Bahagian Satu dimulakan dengan perbincangan tentang sejarah dan mitos Hindu. Ini memang satu cara baik untuk menarik minat pembaca. Malah, kita akan menyedari betapa ada persamaan dalam beberapa mitos dan cerita dongeng dalam Tamadun India, Tamadun China, dan Tamadun Greek. Misalnya, mitos tentang bagaimana Bumi terhasil. Kisah dewa-dewi pula pasti menarik minat pembaca kaum Cina kerana ada kaitan dengan dewa-dewi dalam budaya Cina juga.

Kisah dewa-dewi yang berkepala binatang pula satu lagi topik menarik yang kurang dibincangkan dalam kalangan masyarakat. Kalau diperhatikan, hampir semua binatang dipaparkan sebagai dewa-dewi dalam budaya Hindu. Saya gembira kerana Tang Ah Chai tulis menulis mengenai topik ini. Kisah Sun Wu Kong dan Hanuman pasti menarik minat pembaca untuk melihat kaitan dengan penyebaran agama Buddha. Konsep naga dalam budaya India dan Cina ada perbezaan tetapi menarik untuk dibincangkan.

Perbincangan mengenai kedudukan lembu dalam budaya masyarakat India-Hindu sangat penting, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Masih ramai orang (khususnya orang Melayu) tidak memahami sebab sebenar orang Hindu tidak makan daging lembu. Apabila saya menulis topik ini dalam Bahasa Malaysia dahulu, sambutan amat baik diterima daripada pembaca Melayu. Saya amat yakin bahawa huraian Tang Ah Chai di dalam buku ini akan membantu pembaca kaum Cina memahami kedudukan suci lembu dalam budaya India-Hindu.

Sesungguhnya, ajaran Hinduisme atau Sanatana Dharma amat kompleks kerana merupakan agama yang paling awal muncul di muka Bumi. Ia bermula sebagai ajaran yang disampaikan secara lisan dari generasi ke generasi selama beribu-ribu tahun. Hanya kemudian ajaran Hindu mula dicatat menggunakan bahasa Prakrit dan Sanskrit.

Memang tidak mudah untuk memahami ajaran Hindu secara sepenuhnya. Maka, kandungan buku tulisan Tang Ah Chai merupakan satu cara yang sangat penting untuk memahami pelbagai aspek agama Hindu secara mudah. Perkara ini dapat diteliti menerusi esei-esei yang termuat dalam Bahagian Kedua buku ini.

Kitab-kitab Hindu menggunakan bahasa Sanskrit yang tidak difahami oleh semua. Di negara India, terjemahan sudah dilakukan dalam pelbagai bahasa. Bagi kaum India di Malaysia, terjemahan bahasa Tamil dan Inggeris amat membantu. Saya pula sering menulis dalam Bahasa Malaysia supaya segala ajaran Hindu boleh difahami orang awam.

Penerbit di negara China dan Taiwan juga rajin menerbitkan terjemahan karya epik Hindu. Misalnya, Ramayana dan Mahabharata dikenali pembaca di sana. Kini, menerusi buku ini, Tang Ah Chai membantu pembaca kaum Cina di Malaysia memahami kitab-kitab Hindu secara lebih dekat.

Topik-topik yang disentuh juga amat unik. Misalnya, selain daripada menghuraikan mengenai kitab Hindu, dewa-dewi, dan epik Ramayana, Tang Ah Chai turut menyentuh topik kurang popular seperti transgender dalam agama Hindu serta dewa cinta yang digelar Kama. Pembaca mungkin sediki terkejut apabila mengetahui sikap terbuka tamadun India-Hindu terhadap hal-hal seksualiti dan seks.

Huraian tentang perbezaan antara mazhab Shaivisme dan Vaishnavisme juga menarik untuk diketahui; walaupun penganut Hindu di Malaysia semakin tidak menghiraukan perbezaan mazhab dalam kehidupan seharian. Konsep avatara, khususnya berhubung sepuluh avatara Dewa Vishnu amat menarik dan berjaya diterangkan oleh Tang Ah Chai dengan gaya yang mudah difahami.

Sekali lagi, apabila membaca tentang dewa-dewi Hindu, pembaca kaum Cina akan dapat mengaitkan pula dengan amalan hampir sama dalam budaya Cina, khasnya agama Buddha. Kisah Dewa Murugan yang membunuh Surapadman serta kisah di sebalik perayaan Navarathri juga sangat unik dan wajar diketahui orang ramai. Kisah mitos, legenda, dan purana ini wajar diketahui kerana ia membentuk sebahagian identiti dan jati diri kaum India-Hindu.

Apabila pembaca buku ini sudah menimba ilmu dan pengetahuan, maka mereka akan lebih memahami amalan budaya orang India-Hindu. Pembaca juga akan lebih menghormati dan bertolak-ansur apabila melihat orang Hindu melakukan sesuatu ritual semasa perayaan keagamaan. Semua ini merupakan asas kepada perpaduan dan pembinaan Bangsa Malaysia yang saling memahami, menghormati, dan meraikan perbezaan.

Bahagian Ketiga koleksi esei ini menumpukan kepada topik berkaitan perayaan dan kuil Hindu. Sebagai seorang tokoh pengkaji yang selalu “turun padang” dan melihat sendiri beberapa kuil di seluruh negara, Tang Ah Chai mampu berkongsi maklumat yang benar, tepat, dan sahih mengenai kuil Hindu. Selain daripada menulis secara umum tentang kuil Hindu, beliau menerangkan juga perihal seni bina kuil.

Seterusnya, Tang Ah Chai memanfaatkan hasil lawatan ke kuil-kuil Hindu di Batu Caves, Puchong, Bahau, Jasin, Pulau Pinang, Alor Setar, Sentul, dan sebagainya untuk berkongsi pelbagai maklumat menarik. Tulisan mengenai agama Hindu yang diamalkan di Bali, Indonesia pula boleh membantu pembaca untuk memahami persamaan dan perbezaan yang wujud antara amalan di Malaysia dan Indonesia.

Perayaan Thaipusam dan Deepavali sudah menjadi kebiasaan di Malaysia. Namun begitu, jika difikirkan, orang ramai mungkin tidak memahami makna sebenar dan makna simbolik bagi kedua-dua perayaan itu. Saya pernah menulis mengenai topik-topik ini dalam Bahasa Malaysia serta mendapat reaksi positif daripada pembaca.

Saya percaya langkah Tang Ah Chai menulis secara mendalam tentang sambutan Thaipusam dan Deepavali dapat meningkatkan pemahaman kaum Cina. Tulisan mengenai pottu atau titik pada dahi orang Hindu juga suatu topik yang mungkin kecil tetapi amat penting. Huraian di dalam buku ini boleh membantu menjawab pelbagai pertanyaan dan salah tanggap yang mungkin wujud selama ini. Hasilnya, apabila kaum Cina berbual dengan kaum India, dapatlah juga bercakap tentang topik-topik seperti ini yang dipelajari dalam buku ini.

Selain daripada memperkatakan hal-hal budaya, Tang Ah Chai turut menghuraikan perkara berkaitan kaum India di Malaysia pada Bahagian Keempat. Topik-topik ini dihuraikan secara terperinci dalam buku teks Sejarah di sekolah pada masa dahulu. Malangnya, silibus baharu semakin menghakis maklumat sejarah itu. Maka, apabila Tang Ah Chai menulis secara terperinci sejarah kedatangan kaum India ke Malaya, pembaca dapat memahami secara lebih menyeluruh. Malah, dapat pula para pembaca membandingkan dengan sejarah kedatangan kaum Cina pada masa dahulu.

Walaupun hampir 85 peratus kaum India di Malaysia berketurunan Tamil dan bertutur bahasa Tamil, masih ada kumpulan minoriti seperti Malayali, Telugu, Bengali, dan Punjabi. Dalam hal ini, saya amat gembira dan berterima kasih kepada Tang Ah Chai kerana turut menulis mengenai komuniti Telugu, Punjabi, dan Chetti. Esei-esei ini boleh membantu pembaca lebih memahami keunikan dan kemajmukan yang wujud di Malaysia.

Saya amat yakin bahawa buku ini akan mendapat sambutan daripada masyarakat Cina yang sentiasa dahagakan ilmu serta sentiasa mahu mempelajari sesuatu yang baharu. Buku ini juga wajar diedarkan ke sekolah rendah dan menengah aliran Cina di seluruh negara. Semoga buku ini membantu memupuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

[Uthaya Sankar SB ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Tulisan ini merupakan “Prakata” bagi buku bahasa Cina, The Gorgeous Temple: Anthology of Hinduism and Hindu Temples in Malaysia tulisan Tang Ah Chai. Buku ini terbit pada November 2024 dan edisi kedua pada Januari 2025. Sila hubungi e-mel tangahchai2017@gmail.com untuk urusan pembelian.]