30 Oct 2020

Punjabi Juga Kaum India


Pada awal tahun 2018, sejumlah 1.5 bilion unit Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) diperuntukkan khusus bagi kaum India. Bagaimanapun, komuniti Punjabi menghadapi masalah untuk membeli saham berkenaan kerana sistem yang diguna pakai oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) hanya membenarkan kaum “India” membuat permohonan (rujuk sumber). Mujurlah masalah teknikal itu berjaya diselesaikan.

Mengikut perangkaan tahun 2016, jumlah penduduk kaum India di Malaysia adalah 1.8 juta orang dan majoriti merupakan orang Tamil. Akan tetapi, terdapat juga orang Malayali (170 ribu), Telugu (113 ribu) dan Punjabi (65 ribu) yang memiliki identiti bahasa, budaya, pakaian, dan perayaan tersendiri.

Sejak dahulu, komuniti Punjabi sering dilihat secara berasingan daripada kaum India. Misalnya, dalam iklan, selain daripada individu Tamil (yang dipastikan berkulit gelap), akan cuba ditampilkan lelaki berserban mewakili orang Punjabi.

Ramai juga dalam kalangan kita yang masih merujuk kepada orang Penjabi sebagai “Benggali”. Amalan ini ada kaitan dengan sejarah kedatangan migran India ke negara ini lebih seratus tahun dahulu. Orang Tamil dan Telugu dibawa dalam jumlah yang besar menaiki kapal laut dari pelabuhan di bahagian selatan negara India.

Orang Punjabi dari wilayah Punjab di bahagian utara negara India pula berkumpul di Teluk Bengal sebelum menaiki kapal laut. Maka, mereka dirujuk sebagai orang “Benggali”. 

Rencana penuh boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

[Rencana ini adalah versi asal yang ditulis pada 20 Oktober 2020 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 24 Oktober 2020. © Uthaya Sankar SB. Baca juga —Kita Makin Renggang  “Mari Kita BercintaUniknya Sastera KitaElakkan FobiaMalaysia Prihatin Satukan Kepelbagaian Melayu Sudah Hilang Jati Diri?Generasi Muda Tidak Lupa OnamKrisis, Bencana Tonjol Sikap KitaSumbangan Penulis Tamil ke Arah PerpaduanChetti Melaka Khazanah Unik NegaraCerita Gadis Dari EstetHargai Keunikan Orang Asli”]