23 Feb 2025

Apabila Surau Jadi Lubuk Pedofilia

Seorang penceramah bebas, Ustaz Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, didakwa merogol, melakukan amang seksual dan hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja perempuan berumur 14 tahun antara Jun 2021 dan Februari 2022 di dalam sebuah kereta di hadapan surau dan di parkir Dataran Eco World selain dalam sebuah hotel di sekitar Bandar Puncak Alam.

Seorang pengawal keselamatan, Ab Rashid Abdullah, 39, dituduh mencabul dan cuba meliwat seorang murid lelaki berumur 12 tahun di surau sebuah sekolah rendah agama di Tanah Merah, Kelantan pada 20 Mei 2022.

Seorang imam, Ashar Sabtuawan, 60, didakwa melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berumur 4 dan 13 tahun dengan meraba bahagian alat sulit mangsa di sebuah surau di Limbongan, Melaka pada 28 Mei 2022.

Kes di atas bukanlah yang pertama dan bukan juga yang terakhir. Kita boleh menyemak akhbar arus perdana (bercetak atau dalam talian) untuk membaca pelbagai berita seperti ini.

Seorang pelajar sebuah kolej, Muhammad A’azib Darwish Rosli, 19, menggigil di Mahkamah Sesyen Muar ketika prosiding menjatuhkan hukuman atas kesalahan merogol rakan berumur 13 tahun di sebuah surau pada Mac dan April 2024.

Muhammad Haiqal Zarith Abdullah, 22, didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan mencabul remaja perempuan OKU berumur 16 tahun pada 3 Jun 2024 di Surau Taman Bukit Larang Indah dengan cara meramas payudara dan kemaluan mangsa bagi maksud seksual.

Kita dapat melihat satu trend yang amat jelas dan juga amat membimbangkan serta menimbulkan pelbagai pertanyaan berkaitan lokasi kejadian kes-kes ini.

Seorang buruh, Muhammad Irfan Adnani Adnan, 20, didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan merogol seorang remaja berumur 13 tahun di tempat mengambil wuduk wanita sebuah surau di Bachok, Kelantan pada 6 Ogos 2024.

Mohd Faizal Man, 45, mengaku melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berumur 14 tahun di bilik tidur dalam surau Madrasah Tahfiz di Air Papan, Mersing, Johor dari Mei 2024 hingga Oktober 2024. 

Seorang warga asing, Shaikh Faroouqe Nabisaheb, 59, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berumur 10 dan 12 tahun di sebuah surau di Segamat, Johor pada 4 Januari 2025.

Kesemua insiden yang dijadikan contoh di atas melibatkan surau. Mengikut definisi dalam Kamus Dewan, “surau” merujuk kepada “bangunan yang lebih kecil daripada masjid tempat orang-orang Islam beribadat (seperti bersembahyang, belajar agama).

Ada juga peribahasa Melayu iaitu “Bagai bertandang ke surau” yang membawa makna “bertandang ke rumah orang yang tidak memberi apa-apa kepada tetamunya” atau “tidak mendapat apa-apa”.

Menerusi rencana bertajuk “DBP Ketinggalan Hurai Asal Usul Perkataan Bahasa Melayu” (Utusan Malaysia, 30 November 2024), saya sudah membuktikan kegagalan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan kamus yang menghuraikan etimologi istilah bahasa kebangsaan.

Malah, DBP sendiri menerusi kenyataan media pada 3 Disember 2024 memberi maklum balas kepada rencana berkenaan dengan menyatakan badan itu “komited untuk menambah bilangan kata masukan yang bermaklumat etimologi” serta “menambah baik kandungannya” dalam edisi seterusnya.

Maka, kita tidak perlu membazir masa mencari asal usul, sejarah, dan perkembangan makna kata “surau” dalam Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan (2024).

Jadi, apakah makna asal serta asal usul (etimologi) perkataan “surau”? Dalam kalangan penganut agama Hindu iaitu agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia, rumah ibadat dikenali dengan pelbagai nama.

Antaranya ialah kovil (Tamil) yang diserap masuk dalam budaya Melayu sebagai “kuil”. Istilah lain ialah alayam dan devastanam. Istilah lain ialah mandir yang lebih kerap digunakan penutur bahasa Hindi, dan juga pura yang lebih popular di Bali, Indonesia.

Walau apapun istilah digunakan, dalam konsep Hinduisme, ia membawa makna “tempat Tuhan bersemayam”. Puak yang kurang cerdik mungkin mengemukakan pertanyaan yang kurang cerdik juga: “Adakah Tuhan agama Hindu tinggal di dalam bangunan rumah ibadat itu?”

Kita usah membazir masa menghuraikan konsep “bersemayam” kepada puak bangang kerana otak mereka terletak di lutut, manakala mulut mereka terletak di dubur.

Berbalik kepada perkataan “surau” yang dikaitkan dengan agama Islam dalam bahasa orang Melayu. Dari segi etimologi, perkataan “surau” berasal daripada kata Sanskrit iaitu suraukas.

Perkataan suraukas (Sanskrit, सुरौकस्) bermakna “an abode of the God” iaitu “tempat tinggal Tuhan” atau “tempat Tuhan bersemayam”. Dalam konsep Hinduisme juga wujud dewa-dewi yang merupakan manifestasi Tuhan. Konsep ini tentulah tidak akan difahami puak bangang (otak di lutut, mulut di dubur); maka kita tidak perlu mengharapkan pemahaman mereka.

Jika anda membaca buku Khanda Puranam (2022) maka akan mengetahui kisah purana berkaitan sura dan asura. Saya tidak akan menghuraikan secara lanjut di sini kerana orang ramai boleh membaca secara terperinci dalam buku berkenaan.

Istilah sura merujuk kepada golongan dewa-dewi dalam Hinduisme. Rumah atau tempat sura bersemayam (tinggal) digelar suraukas. Istilah Sanskrit itu digunakan dalam budaya orang Melayu-Hindu, Jawa-Hindu, dan sebagainya di Nusantara jauh sebelum kedatangan Kristian dan Islam.

Walaupun kini dalam Bahasa Malaysia, perkataan “surau” sinonim dengan agama Islam, tentulah kita wajar memahami, menghayati, dan menghormati asal usul atau etimologi “tempat Tuhan bersemayam” itu.

Sebagai penganut Hindu dan pengamal multifaith (kecuali Islam), tentulah saya kecewa apabila suraukas digunakan sebagai tempat oleh puak tertentu untuk memuaskan nafsu seks—termasuk nafsu homoseksual dan pedofilia.

[Rencana ini ditulis pada 23 Februari 2025 khusus untuk membincangkan etimologi perkataan “surau”. Uthaya Sankar SB lahir di Taiping, Perak. Beliau mendapat pendidikan di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, dan SM King Edward VII, Taiping sebelum mengikuti pengajian sarjana muda dan sarjana sastera di Universiti Malaya. Baca biodata penuh di sini.]