5 Jan 2024

Reaksi Anak Bunian – M. Mahendran

Apabila saya baca tajuk cerpen “Anak Bunian” pun sudah menarik minat untuk teruskan pembacaan. Kisah-kisah tentang orang bunian sudah saya baca sejak sekolah rendah lagi. Sebagai “pembaca beta”, timbul pertanyaan dalam diri, Uthaya Sankar SB akan tulis apa tentang orang bunian ini? Sedangkan kisah tentang orang bunian dan alam bunian masih misteri hingga kini.

Watak “Saya” dalam cerpen ini digambarkan sebagai anak sulung kepada seorang wanita hasil hubungan dengan lelaki bunian. Hal ini diketahui daripada watak Opah iaitu nenek kepada watak utama. Lagipun, laporan akhbar sejak tahun 1950-an yang ditemui oleh watak “Saya” di perpustakaan  serta perbualan “Saya” dengan orang kampung cukup meyakinkan pembaca tentang kewujudan orang halus dan alam bunian.

Uthaya menulis mengenai laporan akhbar tentang kisah orang bunian pada tahun 1950-an, namun tidak dinyatakan nama akhbar-akhbar tersebut. Hal ini mengundang perasaan sangsi tentang kesahihan laporan-laporan itu. Mungkin tidak pernah dilaporkan sebegitu, cuma penulis menambah secara kreatif untuk meyakinkan pembaca. Mungkin sahaja.

Pada pandangan saya, watak “Saya” masih sangsi akan wujudnya keturunan bunian ini. Dia mungkin mengharapkan alam ghaib seperti yang digambarkan oleh Opah rekaan semata-mata. Watak “Saya” mungkin berharap Apak ialah bapanya yang sebenar. Namun begitu, apa yang didengar dan dan ditambah pula cara layanan Apak terhadapnya membuatkan “Saya” hampir percaya memang dia anak bunian. Maka, dia perlu mendapatkan lebih banyak maklumat.

Selepas membaca petikan awal cerpen ini, saya cuba membayangkan apa yang mungkin berlaku seterusnya. Watak “Saya” mungkin berpeluang menemui bapa ghaibnya yang sebenar di mana wajahnya mirip watak “Saya”. Atau pun watak “Saya” akan membuat ujian DNA dan mendapati Apak memang bapa kandungnya. Lagipun, semasa majlis berkhatan, ada orang mengatakan wajah watak “Saya” mirip Apak.

[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung beliau dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya Mahendran di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]

Baca juga reaksi mereka — [Komen Anuradha Chelliah] – [Komen Murali Mohan] – [Komen VK Ezhilarasi] – [Komen Rushida Abdul Wahid] – [Komen Rupa Subramaniam] – [Komen Malini Lakshmi Bai] – [Komen Razlina Razali

Reaksi pembaca beta bagi “Guruji dari Jaisalmer” – [Komen Malini] – [Komen Sri Vignaraajah] – [Komen Mahendran] – [Komen Ezhilarasi] – [Komen Thivyajayanthi] – [Komen Jeffry] – [Komen Anuradha]