5 Jan 2024

Reaksi Anak Bunian – Malini Lakshmi Bai

Bahagian awal cerpen “Anak Bunian” memiliki cangkuk naratif kerana mampu menarik minat dan perhatian saya sebagai seorang “pembaca beta”. Bukan itu sahaja, bahagian awal cerpen ini membuatkan pembaca seperti saya teruja untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai orang bunian.

Walau bagaimanapun, saya tidak begitu yakin dengan maklumat tentang bunian yang dinyatakan dalam petikan cerpen ini. Bagi saya, mungkin ada maklumat yang tidak sahih dan sengaja diada-adakan untuk dijadikan perbualan orang ramai.

Pada pendapat saya, “laporan berita di akhbar” yang dimasukkan dalam cerpen ini bukan sekadar bermotif menyedapkan cerita tetapi untuk memberi keyakinan kepada para pembaca bahawa memang pernah ada kes orang hilang angkara perbuatan orang bunian.

Saya tidak menganggap tindakan watak “Saya” mencari pelbagai maklumat selepas mendengar cerita “Opah” (nenek) sebagai membazir masa. Sebaliknya, memang patut watak “Saya” cuba mencari jawapan yang benar atau fakta yang sahih mengenai orang bunian tanpa hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh nenek.

Kemungkinan besar, watak “Opah” merahsiakan sesuatu daripada watak “Saya” supaya watak “Saya” tidak mengetahui hal yang sebenar. Cerita rekaan berkaitan orang bunian pula mungkin diada-adakan untuk menutup aib pihak terbabit.

Saya percaya bahawa watak “Saya” akan terus mencari maklumat lanjut berkaitan kes-kes yang melibatkan orang bunian dan manusia. Justeru, watak itu juga akan banyak bertanya orang kampung di sekeliling mengenai asal usul ibu kandung dan “Apak” (bapa).

Saya mengandaikan bahawa watak “Saya” akan membongkar rahsia yang sebenar di sebalik misteri skelahirannya. Dia juga akan membuktikan bahawa kisah ibunya dihamilkan oleh orang bunian adalah tipu helah semata-mata untuk menutup aib keluarga dan menutup mulut orang kampung.

[Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya sebagai guru bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini juga menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan di portal Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula diterbitkan di laman Eksentrika. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]

Baca juga reaksi mereka — [Komen M. Mahendran] – [Komen Anuradha Chelliah] – [Komen Murali Mohan] – [Komen VK Ezhilarasi] – [Komen Rushida Abdul Wahid] – [Komen Rupa Subramaniam] – [Komen Razlina Razali

Reaksi pembaca beta bagi “Guruji dari Jaisalmer” – [Komen Malini] – [Komen Sri Vignaraajah] – [Komen Mahendran] – [Komen Ezhilarasi] – [Komen Thivyajayanthi] – [Komen Jeffry] – [Komen Anuradha]