Pada pendapat saya, bahagian awal cerpen “Guruji dari Jaisalmer” telah pun memberikan idea yang cukup menarik mengenai watak Prashamsaneeji dan mempunyai cangkuk naratif yang cukup bagus untuk menarik perhatian pembaca.
Memang tidak ada langsung sebarang dialog pada petikan yang saya baca sebagai “pembaca beta”. Namun begitu, bagi saya, dialog tidak semestinya perlu ada dalam sesebuah petikan. Dalam cerpen ini, misalnya, dialog tidak memainkan peranan yang penting kerana jalan cerita memaparkan kisah, malah pengalaman yang berlaku pada diri watak utama (“Saya”) sudah cukup menarik dan penuh dengan maklumat baharu untuk pembaca seperti saya.
Saya sungguh tertarik dengan watak bernama Prashasaneeji dalam cerpen ini dan juga gaya penulisan yang digunakan oleh Uthaya Sankar SB kerana gambaran watak Prashamsaneeji dalam cerpen ini diangkat sebagai pilihan utama atau karakter yang pembaca suka atau teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Saya rasa watak utama (“Saya”) tidak patut menghentikan kajian mengenai Prashamsaneeji hanya kerana bimbang dengan hasutan puak-puak tertentu. Sebaliknya dia harus mendalami kajian itu dengan lebih terperinci untuk mendapatkan lebih banyak maklumat yang mungkin masih dirahsiakan.
Apa
yang mungkin akan berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Kemungkinan besar
penulis akan membongkarkan lebih banyak rahsia atau kebenaran mengenai
pengajaran Prashamsaneeji yang terpadam atau sengaja dirahsiakan selama ini
oleh para pengikut fanatik. Watak “Saya” akan mampu membezakan antara kebenaran
sumber sahih dan fakta rekaan.
[Malini Lakshmi Bai lahir dan membesar
di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, beliau menyambung pengajian tinggi dalam jurusan
Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris di Universiti Tunku
Abdul Rahman (UTAR). Beliau meminati bidang kesusasteraan sejak bangku
sekolah. Pada tahun 2009, Malini mewakili sekolah dan daerah dalam beberapa
forum pelajar, pertandingan debat, dan syarahan. Kini, beliau berkerjaya
sebagai guru bahasa Inggeris dan penyelia di sebuah pusat pembelajaran bahasa. Malini
juga menggalas jawatan penolong setiausaha dalam Pertubuhan Sasterawan Kaum
India (Kavyan).
Hasil karya beliau termuat dalam antologi Lakaran
Diri (2022) dan di portal
Sastera Kavyan. Karya bahasa Inggeris pula
diterbitkan di laman Eksentrika. Tulisan beliau di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]