Walaupun bahagian awal cerpen “Guruji dari Jaisalmer” mungkin tidak menarik untuk segelintir pembaca, saya rasa bahagian tersebut penting untuk memberikan konteks yang cukup kepada pembaca untuk memahami cerita selanjutnya. Bahagian awal cerpen ini memberikan saya maklumat latar belakang watak Prashamsaneeji, maka saya cadangkan bahagian ini dikekalkan seadanya.
Walaupun tiada dialog pada petikan awal yang saya baca sebagai “pembaca beta”, petikan cerpen ini cukup untuk menimbulkan persoalan-persoalan seperti siapakah watak Prashamsaneeji ini, apakah ajarannya yang begitu radikal sehingga ada rintangan daripada ahli komunitinya sendiri. Dialog boleh digunakan untuk memberikan impak yang berupa peribadi kepada pembaca. Petikan cerpen ini belum lagi sampai ke babak yang mempunyai impak peribadi. Maka, mungkin akan ada dialog pada bahagian seterusnya.
Saya rasa gaya penulisan yang digunakan pada petikan awal cerpen ini meyakinkan kewujudan Prashamsaneeji terutamanya melalui penceritaan mengenai sebuah institusi pengikutnya yang sedang merancang sambutan ulang tahunnya. Asal-usulnya yang terperinci juga membantu meyakinkan para pembaca tentang kewujudan Prashamsaneeji sebagai individu yang benar-benar wujud.
Pada pandangan saya, watak utama iaitu “Saya” perlu meneruskan kajiannya dengan minda yang terbuka. Dia patut mengkaji kebenaran hujah-hujah pihak pengikut Prashamsaneeji dan juga pihak penentangnya. Ada kemungkinan “hasutan” beberapa orang mengandungi kebenaran, maka watak utama itu perlu menyiasat hujah-hujah mereka berdasarkan bukti, logik, dan juga berdasarkan kitab agama Hindu dan agama Jain.
Pada
andaian saya, watak utama (“Saya”) akan mendapat tahu bahawa Prashamsaneeji bukanlah
seorang individu yang telah mencapai pencerahan (enlightenment) seperti
yang termaktub dalam kitab agama Hindu dan Jain. Watak “Saya” mungkin akan
mendapat tahu bahawa Prashamsaneeji seorang yang bijak mempergunakan kejahilan
beberapa penganut agama Hindu dan Jain.