31 Dec 2023

Reaksi Pembaca Beta – M. Mahendran

Pembacaan pada peringkat awal cerpen “Guruji dari Jaisalmer” adalah seperti membaca tentang perihal seorang Guru agama dari India yang sungguh berpengaruh. Oleh kerana saya tidak pernah membaca atau mendengar tentang Prashamsaneeji, jadi timbul rasa ingin tahu lebih lanjut kisah guruji ini.

Dalam 3 halaman awal cerpen ini yang saya baca sebagai “pembaca beta”, tidak ada sebarang dialog. Saya tahu bahawa pasti akan ada dialog dan aksi selepas halaman 4 dan saya sudah bersedia untuk membaca terus cerpen ini walaupun ia lebih menyerupai  sebuah esei pada peringkat awal.

Cerpen ini 100% seperti mengisahkan tentang seorang Guru Hindu bernama Prashamsaneeji yang lahir di India pada tahun 1870 dan begitu berpengaruh. Bagi saya, watak guruji ini memang wujud di muka Bumi dan mungkin tidak diketahui ramai serta tidak sepopular Sai Baba. Mungkin kematiannya pada  tahun 1932 di Malaya (Malaysia) dianggap sudah terlalu lama dan tidak penting. Lagipun, ada disebut judul buku yang dijadikan rujukan para pengikut.

Jika watak utama (“Saya”) meneruskan kajian tentang guruji ini, mungkin dia akan mendapati segala ajaran Guru dan kisah di sebalik Guru ini begitu bercanggah dengan apa yang diketahuinya selama ini. Watak “Saya” pasti akan menyebarkan kisah “sebenar” sempena hari sambutan ulang tahun kematian dan ulang tahun kelahiran Prashamsaneeji.

Saya rasa, watak “Saya” akan sedih apabila mengetahui kisah sebenar Guru tersebut dan menjadi “pengkhianat” kepada agama dan kaum sendiri. Watak “Saya” adalah seorang yang lurus; jadi dia akan akur kepada “kebenaran” dan akan bergabung dengan pihak yang cuba menghasut.


[M. Mahendran dilahirkan di Bentong, Pahang. Beliau berkecimpung dalam bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987. Karupaya (2018) adalah kumpulan cerpen sulung beliau dalam Bahasa Malaysia manakala Thalaivar (2021) kumpulan cerpen Tamil. Mahendran salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999 dan beliau dipilih memegang jawatan pengerusi pada tahun 2023. Karya Mahendran di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]