31 Dec 2023

Reaksi Pembaca Beta – VK Ezhilarasi Velautham

Saya berpeluang membaca bahagian awal cerpen Guruji dari Jaisalmer” sebagai salah seorang “pembaca beta”. Cerpen ini berbentuk biografi, jadi saya tidak mengharapkan pengenalan yang menarik. Saya lebih memikirkan tentang apakah cerita sebenar di sebalik kisah ini dan adakah seseorang guruji palsu disindir menerusi karya ini? Saya juga rasa olahan bahagian pengenalan (beberapa perenggan awal) cukup jelas dalam memperkenalkan cerita dan menarik minat pembaca.

Saya tidak menyedari bahawa petikan awal cerpen ini tiada dialog sehingga ditanya tentang hal itu oleh penulis (Uthaya Sankar SB). Saya suka membaca apa-apa jua bahan. Saya membaca dan cuba memahami apa yang saya baca. Mka, saya tidak berasa bosan walaupun beberapa halaman awal cerpen ini langsung tidka ada dialog.

Saya juga berfikir bahawa watak Prashamsaneeji sebenarnya wujud. Kemungkinan besar ada guruji yang mengajar ajaran sesat dan menipu orang ramai. Mungkin tujuan penulis adalah untuk membuka mata orang ramai (kaum India) yang jahil dan mudah mempercayai orang sebegini. 

Walau bagaimanapun, pada pendapat saya, sebagai pengikut tegar sejak lahir, watak utama (“Saya”) tidak mungkin terikut-ikut dengan hasutan orang yang berniat jahat. Sudah tentu watak itu kenal benar tentang guruji yang disanjunginya. Tempoh 21 tahun yang diluangkan memuja guruji tidak mungkin hilang dengan sedikit hasutan. 

Apa yang akan berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Andaian saya ialah, watak “Saya” akan kecewa apabila selesai menjalankan kajian kerana mengetahui pelbagai fakta yang memburukkan Prashamsaneeji dan menyedari bahawa guruji itu seorang individu yang menyalahgunakan kepercayaan orang ramai. Mungkin watak “Saya” akan memecahkan tembelang guruji agar orang ramai tidak tertipu dengan ajaran sesat yang disebarkan. 


[VK Ezhilarasi Velautham Krishnan berasal dari Segamat, Johor dan belajar di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan. Hasil karya beliau turut termuat dalam antologi Busana Bahasa (2019) dan Landasan Hidup (2020). Ezhilarasi giat dalam aktiviti Kavyan seperti Baca di Anak Baba (September 2023), Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), serta Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023). Ezhlarasi merupakan Ahli Jawatankuasa Kavyan mulai 2023. Karyanya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]