31 Dec 2023

Reaksi Pembaca Beta – Thivyajayanthi Nair

Bahagian awal, iaitu beberapa perenggan awal cerpen Guruji dari Jaisalmer” mendapat perhatian saya apabila penulis (Uthaya Sankar SB) memulakan dengan penerangan tentang watak utama (“Saya”) iaitu seorang pengikut Prashamsaneeji yang bersemangat. Paparan ini membuatkan saya berfikir bagaimana guruji akan mempengaruhi kehidupan watak ini seterusnya.

Kekurangan dialog tidak pula membuatkan saya sebagai “pembaca beta” hilang minat pada cerita tersebut, namun tentulah cerita akan menjadi lebih menarik jika ada beberapa dialog di dalamnya. Teknik dialog mungkin akan membuatkan saya berasa seperti sebahagian daripada cerita, berbanding mendengar dari sudut pandangan orang lain (watak “Saya”).

Gaya penulisan pada petikan awal cerpen ini begitu meyakinkan dan seolah-olah individu bernama Prashamsaneeji memang benar-benar wujud. Jika saya tidak tahu ini adalah sebuah cerpen (fiksyen), saya sebenarnya akan percaya bahawa cereka adalah biografi seseorang yang wujud secara nyata. Peranan guruji dan perincian yang sangat meyakinkan, seolah-olah Prashamsaneeji adalah orang yang sebenar.

Pada pendapat saya, kajian tidak patut dihentikan oleh watak utama (“Saya”) semata-mata kerana pengaruh orang lain. Sebagai pengikut yang bersemangat sejak kecil, dia sepatutnya lebih tahu tentang guruji berbanding mengikuti orang yang tidak percaya. Jika “Saya” menghentikan kerja yang sedang dilakukan kerana “hasutan”, maka watak itu akan menjadi contoh kepada orang lain untuk tidak mengikut ajaran guruji.

Apa yang akan berlaku seterusnya dalam cerpen ini? Pada firasat saya, watak “Saya” akan hampir-hampir dipengaruhi oleh semua orang yang tidak percaya dan menentang guruji serta semua amalan yang diikuti oleh keluarga “Saya” selama ini. Sehinggalah pada suatu hari, ketika watak “Saya” dalam kesusahan, hanya ajaran guruji dan semacam keajaiban (yang dipercayai dilakukan oleh guruji) yang membantu dan menyelamatkannya.


[Thivyajayanthi Nair K Jayan lahir di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 1997 dan membesar di Segamat, Johor. Kini beliau menetap di Cheras, Kuala Lumpur dan bergiat aktif dalam program anjuran Kavyan seperti Bengkel dan Persembahan Drama Pentas Megha Duta (April-Ogos 2023), Lepak Menulis Rencana di Anak Baba (Oktober 2023), Bakat Seni dan Sastera Bangsa Malaysia (Disember 2023), dan Bengkel Penulisan Intensif di Taiping (Disember 2023). Karya Thivya di portal Sastera Kavyan boleh dibaca di sini.]