Bahagian awal cerpen “Anak Bunian” gagal menarik perhatian saya. Ceritanya mendatar dan tiada unsur saspens atau sesuatu yang boleh membuatkan “pembaca beta” seperti saya tertanya-tanya apa sebabnya sesuatu hal berlaku. Malah, tidak timbul perasaan tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Pelbagai maklumat tentang bunian sebagaimana dinyatakan dalam cerpen ini juga kurang meyakinkan saya sebagai pembaca. Cerita bunian selalunya bersangkut paut dengan orang Melayu. Ada banyak perkara tidak logik berkaitannya (bunian) dan sering digembar-gembur atau ditokok tambah oleh masyarakat terdahulu. Pada pandangan saya, perlu ada lebih kajian terperinci dengan menemu bual “mangsa” sebenar jika penulis (Uthaya Sankar SB) mahu meyakinkan pembaca.
Pada petikan cerpen ini ditulis tentang “laporan berita di akhbar” yang kononnya berlaku pada Mac 1953 dan Julai 1959. Saya yakin ia hanya rekaan penulis sebab saya telah cuba mencari berita mengenai insiden yang dinyatakan tetapi tidak jumpa apa-apa. Kalau cerita ini hanya rekaan, maka tidak menjadi masalah kerana saya percaya ia ditulis sebegitu sebagai unsur penarik cerita.
Kalau watak “Saya” dalam cerpen ini ingin mengetahui lebih lanjut akan kebenaran cerita Opah, maka dia boleh cuba menggali maklumat dan rujukan lain. Namun begitu, takut pula memikirkan kemungkinan dia akan kemurungan jika hasil kajian nanti tidak seperti apa yang neneknya (Opah) ceritakan.
Apabila difikirkan tentang apa yang mungkin berlaku seterusnya dalam cerpen ini, saya rasa watak “Saya” akan bertemu dengan pelbagai persoalan demi persoalan, sama ada ia membenarkan (mengesahkan) cerita Opah ataupun sebaliknya.
[Rushida Abdul Wahid berasal dari Taiping, Perak dan kini menetap di Klang,
Selangor. Beliau meminati bidang sastera dan penulisan walaupun berkelulusan
dalam bidang sains. Rushida menyertai Projek
Menulis Karya 200 Perkataan dan
cerpen yang terhasil berjudul “Mengertikah Kau Sekarang?”]
Baca juga reaksi mereka — [Komen M. Mahendran] – [Komen Anuradha Chelliah] – [Komen Murali Mohan] – [Komen VK Ezhilarasi] – [Komen Rupa Subramaniam] – [Komen Malini Lakshmi Bai] – [Komen Razlina Razali]
Reaksi pembaca beta bagi “Guruji
dari Jaisalmer” – [Komen Malini] – [Komen Sri Vignaraajah] – [Komen Mahendran] – [Komen Ezhilarasi] – [Komen Thivyajayanthi] – [Komen Jeffry] – [Komen Anuradha]