19 Jul 2010

Twilight

Saya menonton DVD Twilight (2008) pada malam 17 Julai 2010 selepas membaca pelbagai ulasan negatif terhadap filem Eclipse (2010) yang sedang ditayangkan di pawagam. Saya juga pernah membaca komen Giggs (Johanthan Nathan) mengenai filem The Twilight Saga: New Moon (2009) di blognya pada 6 Disember 2009.
.

Saya tidak pernah berminat membaca siri novel berkenaan yang dihasilkan Stephenie Meyer; sebagaimana saya tidak pernah berselera membaca siri novel Harry Potter karya J K Rowling. Saya lebih suka menonton Harry Potter versi filem kerana lebih menghiburkan.

.

Tentu sahaja dalam keadaan biasa, saya lebih berminat membaca versi novel daripada filem yang dihasilkan berdasarkan buku itu. Sila KLIK DI SINI untuk catatan lanjut.)

.

Apa yang saya tahu mengenai siri novel Stephanie Meyer adalah bahawa ia berkisar tentang vampire (puntianak? langsiur?) dan serigala jadian (werewolf) yang diadun bersama kisah cinta remaja. Saya juga selalu tertawa melihat foto watak-watak bermuka pucat (“putih”) seperti hantu filem Cina di akhbar dan majalah; lebih “putih” daripada watak Mad Hatter lakonan Johnny Depp dalam Alice in Wonderland (2010). Sekurang-kurangnya Mad Hatter ada ekspresi.

.

Untuk berlaku adil, saya menonton Twilight tanpa prejudis. Sepuluh minit kemudian, saya tertarik pada cara filem itu dihasilkan. Kreativiti pengarahan Catherine Hardwicke (Thirteen, 2003) dan cara Elliot Davis menangani kamera.

.

Terus terang, filem Twilight tidaklah seburuk yang digambarkan orang selama ini. Namun, saya cuba mentafsir mengapa remaja lelaki (17-25 tahun dalam konteks ini) “kurang senang” dengan filem ini.

.

Saya andaikan bahawa kebanyakan remaja lelaki pergi menonton filem Twilight – serta New Moon dan Eclipse – bersama rakan perempuan atau teman wanita; dalam kebanyakan keadaan, saya membayangkan bahawa mereka pergi kerana “terpaksa”.

.

Sepanjang menonton filem Twilight – serta sebelum dan selepas itu – remaja lelaki (ulang: 17-25 tahun dalam konteks ini) berada dalam dilema dan konflik besar.

.

Pertama, pergi menonton filem berkenaan kerana “terpaksa” dan kerana mahu kekal “romantik”. Dua, rakan perempuan atau teman wanita mereka sudah membaca novel berkenaan dan tahu keseluruhan cerita sebelum menonton versi filem.

.

Tiga, penulis siri novel berkenaan adalah wanita dan pengarah Twilight juga wanita. Kisah dalam filem juga disampaikan dari sudut pandangan watak wanita. Maka, terlalu banyak sentuhan wanita. (Pengarah New Moon, Chris Weitz adalah lelaki tetapi “disenangi” remaja wanita menerusi American Pie,1999.)

.

Empat, walaupun pelakon lelaki Twilight bermuka pucat (“putih”), si rakan perempuan dan teman wanita pasti menyukai Edward. Begitu juga watak James, Mike dan Laurent. Pasti sahaja watak-watak itu menjadi “musuh” bagi remaja lelaki.

.

Lima, lanjutan daripada alasan di atas, bayangkan si remaja lelaki (17-25 tahun) terpaksa berhadapan dengan “musuh” berumur lebih 100 tahun, lebih matang, lebih berpengalaman, lebih kacak dan romantik, serta kekal remaja (Edward kekal berumur 17 tahun sejak 1918!)

.

Enam, Edward yang berwajah pucat (“putih”) tetap mengucapkan dialog-dialog romantik yang pasti meleburkan jiwa remaja wanita. Misalnya, apabila Edward mengatakan bahawa dia tidak dapat berada jauh daripada Bella dan tidak dapat hidup tanpa Bella. Edward juga sanggup sentiasa di sisi Bella kerana si puntianak itu tidak tidur.

.

Tujuh, Edward membawa Bella melepak atas pokok tinggi dan melawat tanah tinggi yang menarik. Remaja lelaki pula mungkin hanya mampu membawa ke Genting Highlands.

.

Lapan, Bella rela menjadi vampire! (Nota: Kamus Dewan menterjemahkan “vampire” sebagai “puntianak”. Sebenarnya, “vampire” bukan “puntianak”.)

.

Mungkin ada banyak lagi alasan mengapa remaja perempuan lebih menyukai filem Twilight berbanding remaja lelaki yang melihat puntianak (vampire) sebagai musuh. Bagi golongan lelaki (berumur lebih 25 tahun dan/atau matang), Twilight tidaklah mencabar kelelakian (“kejantanan”) mereka kerana Edward hanya “budak mentah” yang belum ada arah tujuan hidup (walaupun berumur lebih 100 tahun).

.

Dalam konteks alasan kelapan di atas, agak menarik juga untuk diperhatikan bagaimana Edward dengan “bijak” mengelak daripada terpaksa berpasangan dengan Bella sepanjang “hidup”.

.

Bagi saya sendiri – yang selalu mengaku kekal 18 tahun – selain daripada aspek pengarahan dan sinematografi, saya juga tertarik pada konsep “vegetarian” yang diamalkan keluarga Cullen di mana mereka hanya menghisap darah binatang, bukan darah manusia. Pasti sahaja ada penyimpangan daripada konsep asal vegetarianisme.

.

Ringkasnya, Twilight lebih sesuai bagi penonton berfikiran matang tetapi kurang sesuai bagi remaja lelaki (17-25 tahun) yang masih budak kerana “wilayah” mereka mudah tergugat.

.

Saya akan menonton New Moon sementara menanti Eclipse keluar dalam bentuk DVD.

.

Oh, ya! Saya ada menyebut tentang Harry Potter tadi. Watak berkenaan tidak menjadi “musuh” kepada penonton remaja lelaki (17-25 tahun) kerana dalam buku/filem pertama, Harry berumur 11 tahun dan kisahnya “berakhir” tujuh tahun kemudian dalam buku ketujuh (filem kelapan). Malah, 19 tahun kemudian, Harry yang berumur 36 tahun sudah pun berkahwin dan ada tiga anak. Sekali gus, tidak menjadi “cabaran” kepada remaja lelaki yang belum cukup matang hal dunia.