Abang Lan antara penulis muda yang amat saya kagumi sewaktu kami bertemu pada 1991 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau umpama padi; makin berisi, makin tunduk.
Kali terakhir kami bertemu pada 19 Disember 2009 sempena Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR). Spontan saya memeluk beliau. Rasa terkejut itu ada Abang Lan lahirkan DI SINI.
Berbalik pada buku Abang Lan, karya beliau sering disiarkan di Dewan Sastera dan terbukti “lain daripada yang lain” – jati diri kepengarangan yang saya perhatikan sejak karya awal beliau hampir 20 tahun lalu.
Saya sudah lama berhenti melanggan majalah Dewan Sastera. Sebaliknya, hanya dibelek apabila ke Kedai Koperasi DBP; dibeli hanya apabila ada sesuatu yang “wajib” dibaca.
Maknanya, saya belum membaca kesemua cerpen Abang Lan dalam Dewan Sastera serta majalah/akhbar lain.
Pada 17 Jun 2010, Abang Lan mamuatkan foto manuskrip cerpen Semenanjung Borneo di Facebook dengan catatan “bila agaknya kau akan menjadi buku, encik manuskrip? kau nak biarkan aku mati dengan mata terbuka?”
Pada 15 Julai 2010, melalui paparan di Facebook juga, saya mendapat tahu bahawa Namaku Epal Kuning (DBP, 2010) sudah terbit! Entah, mengapa, saya pula yang terasa amat bangga sebaik mendapat tahu berita gembira itu.
Berbalik pada kisah 17 Julai 2010 ... saya ke Kedai Koperasi DBP sekitar 12:00 tengah hari tetapi ditutup; entah tidak dibuka pada hari berkenaan atau ditutup awal. Saya memandu pulang dengan kecewa kerana tidak dapat menjamah “epal kuning” dengan segera.
Dalam perjalanan pulang, Lebuh Raya Persekutuan sesak seperti biasa. Maka, sebagaimana pada 1 Jun 2010 saya mendapatkan The Ghost, saya singgah di BookXcess, AmCorp Mall untuk melihat koleksi baru. Akhirnya, saya membeli tiga novel, termasuk There’s No Place Like Here (2008) dan The Gift (2009) karya Cecelia Ahern.
Saya juga terpanggil untuk membeli To Kill A Mockingbird karya Harper Lee dalam bentuk CD (dibacakan oleh Sissy Spacek) kerana sama konsep dengan “baca cerpen” yang dipelopori Kumpulan Sasterawan Kavyan sejak 2003.
.