Tarikh berkenaan diumumkan PBB pada November 2009 dan sejak itu, pelbagai kempen dibuat untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dunia sebagai menghargai sumbangan dan perjuangan negarawan itu yang disanjung atas keberaniannya menentang aparteid.
Di Johannesburg, Afrika Selatan, 21 selebriti menunggang motosikal mewah untuk menyebarkan berita mengenai sambutan “Hari Mandela” kepada orang ramai.
Menurut kenyataan Yayasan Mandela, selebriti itu serta unit sokongan bergerak enam hari menuju ke Cape Town. Antara pelakon terkenal yang terlibat ialah Morgan Freeman (foto) yang memegang watak Mandela dalam filem Invictus (2009); walaupun Freeman tidak menunggang motosikal.
Hari ini (18 Julai 2010), Mandela dijangka menyambut hari jadi ke-92 bersama keluarganya di Houghton, Johannesburg. Menurut cucunya, Zwelivelile Mandela memberitahu wartawan di Pretoria bahawa 95 kanak-kanak dari Myezo, iaitu kampung kelahiran Mandela, dan Ounu akan dibawa ke Hohannesburg untuk sama-sama meraikan hari jadi bersama ikon itu.
Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) turut membuat persiapan awal bagi sambutan. Presiden Jacob Zuma dan pemimpin ANC mengunjungi Mandela di rumahnya, semalam.
Hari ini, pemimpin parti berkenaan dijadualkan terlibat dalam kerja-kerja membaiki sebuah sekolah di Mvezo.
Sambutan hari ini juga pasti meriah memandangkan baru seminggu lalu Afrika Selatan berjaya membuktikan kemampuannya kepada dunia dengan menjadi tuan rumah perlawanan bola sepak Piala Dunia.
Bagi Presiden Fifa, Sepp Blatter, impian Mandela sudah menjadi kenyataan.
“Insan ini telah begitu banyak menderita. Sebaik keluar penjara, Mandela meneruskan perjuangan ke arah keamanan, kemanusiaan dan kemerdekaan. Piala Dunia 2010 menjadi bukti kejayaannya secara kolektif,” katanya.
Ikon antiaparteid itu dipenjarakan pada 1964 dan dibebaskan pada 1990, sebelum menjadi Presiden Afrika Selatan berikutan pilihan raya demokrasi pertama pada 1994.
Segala perjuangan Mandela bakal dikenang seluruh dunia melalui sambutan Hari Mandela pada setiap 18 Julai, bermula tahun ini. Yayasan Mandela menggesa orang ramai melakukan kerja amal selama 67 minit; di mana setiap minit mewakili setiap tahun Mandela berjuang bagi menghapuskan aparteid.
Bersediakah kita untuk melakukan kebajikan dengan semangat perjuangan ikon dunia seperti Nelson Mandela dan Mahatma Gandhi?