Vietnam selaku negara pengeksport beras kedua terbesar dunia menghadapi masalah kerana Delta Mekong (“Delta Sungai Sembilan Naga” dalam bahasa tempatan) dilanda musim kemarau paling buruk sejak beberapa dekad lalu.
Sungai Mekong sepanjang 4,350 kilometer (merentas Tibet, China, Myanmar, Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam) yang mengairi sawah pula dipenuhi air masin dari laut dan tidak sesuai bagi padi sedangkan lebih daripada separuh jumlah padi Vietnam dihasilkan di Delta Mekong.
Petani yang bergantung hidup dengan bersawah di delta itu melahirkan kebimbangan kerana tidak tahu nasib dan masa depan mereka.
Musim kemarau sepatutnya sudah berakhir tetapi hujan belum turun; sekali gus menandakan kesan pemanasan global semakin terasa di Vietnam.
Negara berkenaan mengalami kemarau, banjir, taufan, ombak besar dan kenaikan paras laut di luar jangkaan.
Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), paras air laut di Vietnam akan naik semeter menjelang tahun 2100 dan membuatkan tanah seluas 31,000 kilometer persegi ditenggelami air.
Delta Mekong yang menempatkan 17 juta penduduk berhadapan malapetaka besar apabila keadaan itu berlaku.
Sejak 50 tahun lalu, paras laut sudah naik 20 sentimeter dan dijangka berlaku pada kadar lebih cepat disebabkan masalah pemanasan global yang semakin membimbangkan.
Terdapat 13 wilayah di Delta Mekong. Bagi petani di wilayah Ben Tre dan Long An, khasnya, mereka mula beralih daripada penanaman padi kepada penanaman kelapa dan penternakan udang kerana sumber air dari Sungai Mekong semakin dipenuhi air masin dari laut.
(Sinar Harian, 15 Julai 2010)