16 Jul 2010

Tere Bin Laden

Filem komedi terbaru dari Bollywood, Tere Bin Laden, akan ditayangkan di seluruh dunia bermula hari ini (16 Julai 2010), tetapi Pakistan mengambil keputusan mengharamkan filem itu, kelmarin.
.

Keputusan itu diambil Lembaga Penapisan Filem Pakistan bagi mengelakkan kemungkinan serangan militan Taliban dan al-Qaeda di negara yang sudah sedia bergolak itu.

.

Filem Tere Bin Laden yang membawa maksud Tanpamu, Laden (Without You, Laden) mengisahkan Ali Hassan, seorang wartawan dari Pakistan yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan visa ke Amerika Syarikat.

.

Watak lakonan Ali Zafar itu berpura-pura berjaya mengadakan wawancara eksklusif bersama Osama bin Laden, lalu disiarkan menerusi stesen televisyen.

.

Ali Zafar seorang penyanyi popular di Pakistan dan pernah muncul dalam siri televisyen Lunda-Bazar, Kanch Ke Par dan drama komedi Kollege Jeans, manakala Tere Bin Laden adalah filem pertama lakonannya.

.

Pemuzik, pelakon, pelukis bertauliah dan model yang mendapat julukan The Prince of Pop ini lahir pada 18 Mei 1980 di Lahore, Pakistan. Antara lagu terkenal nyanyiannya adalah “Channo”, “Rangeen” dan “Chal dil Merey” dalam album Huqa Pani (2003) serta “Dekha”, “Masty” dan “Sajania” dalam album Masty (2006).

.

Ali Zafar berkahwin dengan Ayesha Fazil pada 28 Julai 2009 dan pada 7 Mac 2010, mereka mendapat anak sulung yang diberi nama Azaan Zafar.

.

Dalam filem Tere Bin Laden tulisan dan arahan Abhishek Sharma, Ali Zafar berlakon bersama-sama Barry John, Pradhuman Singh, Sugandha Garg dan Rahul Singh. Tayangan di Australia, Britain, Singapura, Malaysia dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) bermula 16 Julai manakala tarikh tayangan di Amerika Syarikat belum diketahui.

.

Walaupun kisah dalam filem ini berlatarkan Karachi, Pakistan, penggambaran dilakukan di India; tanpa mengabaikan aspek-aspek menyerupai budaya, bahasa dan latar di Karachi. Malah, lokasi menyerupai Karachi dibina bagi tujuan penggambaran.

.

Muzik bagi filem ini ditangani Shankar Mahadevan, Ehsaan Noorani dan Loy Mendonca manakala lirik oleh Jaspreet Singh. Ali Zafar pula menggubah lagu, menulis lirik dan menyanyikan lagu “Bus Ek Soch” selain menyanyikan “Welcome to Amreeka”, “I Love Amreeka” dan “Ullu Da Pattha”.

.

Pakistan sudah mengharamkan filem Tere Bin Laden kerana bimbang serangan militan. Kita tidak perlu hairan jika rusuhan turut berlaku di India berikutan tayangan filem ini. Begitu juga jika beberapa negara lain mengambil keputusan – segera atau lewat – mengharamkan filem ini atas apa-apa alasan.

.

Sila KLIK DI SINI untuk mengakses laman sesawang rasmi filem berkenaan.
..
(Sinar Harian, 16 Julai 2010)