15 Jul 2010

Kriket di Stadium Durban

Stadium Moses Mabhida di Durban yang turut menjadi tumpuan sepanjang Piala Dunia 2010 dijangka menjadi tempat berlangsungnya Kejohanan Kriket Antarabangsa Twenty20 pada Januari 2011.
.

Persatuan Kriket Afrika Selatan (CSA) bercadang mengambil langkah itu bagi memastikan Stadium Durban – nama yang diberikan semasa Piala Dunia 2010 – tidak menjadi gajah putih selepas berakhirnya pertandingan bola sepak Piala Dunia pada Ahad lalu.

.

Keputusan mengadakan pertandingan kriket antara Afrika Selatan dan India di Stadium Moses Mabhida pada Januari 2011 dijangka akan membuka jalan ke arah menggunakan stadium-stadium lain di Afrika Selatan bagi tujuan sama.

.

Sembilan stadium lain yang menjadi lokasi pertarungan dalam Piala Dunia 2010 adalah Soccer City dan Stadium Ellis Park di Johannesburg, Stadium Cape Town, Stadium Loftus Versfeld di Pretoria, Stadium Peter Mokaba di Polokwane, Stadium Mbombela di Nelspruit, Stadium Nelson Mandela Bay di Port Elizabeth, Stadium Royal Bafokeng di Rustenburg dan Stadium Free State di Bloemfontein.

.

“Kos besar dikeluarkan untuk menyediakan stadium dan kemudahan bertaraf dunia dan tentulah sia-sia jika kesemuanya terbiar begitu sahaja selepas Piala Dunia.

.

“Kami juga membawa misi memperkenalkan kriket kepada orang ramai supaya ia mungkin menjadi terkenal seperti bola sepak,” kata Ketua Eksekutif CSA, Gerald Majola.

.

Stadium Kriket Kingsmead boleh menampung 25,000 penonton manakala Stadium Moses Mabhida menampung 62,760 orang semasa Piala Dunia 2010 serta boleh menampung 72,000 penonton pada waktu lain dengan 88 peratus tempat duduk berbumbung.

.

Tempat duduk di stadium itu juga boleh diubah menjadi 54,000 kerusi untuk acara tempatan dan sehingga 80,000 tempat bagi Sukan Olimpik.

.

Upacara pecah tanah Stadium Moses Mabhida dilakukan pada 2006 dan ia dibuka secara rasmi pada 28 November 2009 selepas kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan. Kos pembinaannya sekitar AS$450 juta.

.

Stadium Durban mempunyai saiz 320m x 280m x 45m manakala bahagian lengkung berada 106 meter di atas padang. Inspirasi bagi lengkung itu diperoleh daripada bendera Afrika Selatan; untuk menggambarkan negara yang dahulu terpisah tetapi kini bersatu.

.

Stadium Moses Mabhida yang dinamakan sempena bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Afrika Selatan, Moses Mabhida (1923-1986), menjadi tempat bagi lima permainan kumpulan, satu pertemuan pusingan kedua (Belanda-Slovakia) dan satu pertarungan separuh akhir (Jerman-Sepanyol) Piala Dunia 2010.

...

(Sinar Harian, 15 Julai 2010)