24 Aug 2010

Semangat Merdeka

Benar. Saya tidak memasang Jalur Gemilang – kecil mahu pun besar – pada kereta saya.
.

Dahulu, semasa di Radio Televisyen Malaysia (RTM), selalu juga diadakan kempen mengibarkan Jalur Gemilang mini pada kereta. Tentulah akan ada pegawai tertentu – saya tidak ingat rupa, nama dan jawatan – yang dikerumuni jurukamera semasa berjalan sekitar tempat letak kereta sambil melekatkan bendera kecil (yang ada pemegang plastik) pada cermin hadapan kereta.

.

Saya segera mengelak dengan memindahkan kereta saya ke tempat lain sebelum gerombolan manusia itu sempat menghampiri kawasan saya meletakkan kereta.

.

Bagi saya, semangat cinta akan negara dan penghayatan kemerdekaan bukan hanya dilakukan dengan cara memasang Jalur Gemilang mini pada kereta sepanjang Sambutan Bulan Kemerdekaan. Cara itu selalunya hanyalah lakonan sementara bagi golongan yang pandai berpura-pura.

.

Kalau tidak percaya: 1) Lihat sekeliling. 2) Tanya diri sendiri.

.

Saya amat sakit hati apabila melihat Jalur Gemilang mini yang dipasang pada cermin hadapan kereta menjadi lusuh, kotor, koyak dan tidak terpelihara. Mungkin itulah tanda “penghormatan” si pemilik kereta terhadap Jalur Gemilang dan kemerdekaan negara.

.

Lebih parah apabila bendera kecil itu bertaburan di atas jalan raya. Tidak perlulah diceritakan tahap kebersihan jalan-jalan raya di negara bertuah ini. Entah sudah berapa puluh kali hati saya pilu apabila tidak berpeluang untuk mengelak lalu terpaksa “memenyekkan” Jalur Gemilang mini yang bertaburan di atas jalan.

.

Saya lebih suka memasang Jalur Gemilang mini di dalam kereta; pada bahagian dashboard. Walaupun ia tidak berpeluang untuk “berkibar megah” semasa saya memandu, sekurang-kurangnya ia kekal terpelihara dan bermaruah.

.

Namun, bagi saya, pemasangan Jalur Gemilang mini bukan syarat untuk membuktikan cinta terhadap negara; seperti sering dikatakan Badut Paul Lathic yang tidak tahu makna patriotisme.

.

Ada dua Jalur Gemilang bersaiz biasa dipasang pada cermin pintu dan tingkap di rumah saya. Bukan gimik Bulan Kemerdekaan tetapi dipasang secara kekal sejak 2003.

.

Bagi saya, tidak perlulah “menunjuk-nunjuk” semangat patriotisme dan penghayatan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada Bulan Kemerdekaan.

.

Semua basikal dan motosikal yang pernah saya miliki adalah buatan Malaysia. Kereta pertama saya buatan Malaysia. Kereta kedua saya buatan Malaysia. Begitu juga kereta ketiga dan keempat. Tidak timbul keperluan untuk saya “menempel” Jalur Gemilang padanya untuk membuktikan semangat cinta pada negara.

.

Saya memperjuangkan penggunaan Bahasa Malaysia yang betul dalam urusan seharian.

.

Saya tidak perlu mengibarkan Jalur Gemilang mini pada cermin hadapan kereta untuk membuktikan apa-apa kepada sesiapa.