Kapal berkenaan yang menggunakan bendera Bolivia sepatutnya telah berlayar dari Pelabuhan Tripoli menuju ke Cyprus sebagai permulaan misi menuju ke Gaza.
Penganjur misi bantuan kemanusiaan itu sedang mengadakan rundingan dengan Turki dan Greece bagi memastikan Mariam dapat meneruskan pelayaran menggunakan perairan negara-negara berkenaan.
Jurucakap pihak penganjur, Samar al-Hajj berkata, keputusan positif dijangka dapat dicapai dalam masa terdekat.
“Kami dimaklumkan pada Khamis lalu bahawa Cyprus tidak membenarkan kapal Mariam menggunakan perairannya selepas rejim Israel mengugut akan menggunakan sebarang bentuk kekerasan untuk menghalang misi kemanusiaan ini,” katanya di Tripoli.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Gabriela Shalev mengirim surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan menuduh Lubnan sengaja mahu melanggar sekatan yang dikenakan ke atas Gaza.
Penganjur misi kemanusiaan ini pada mulanya tetap bercadang meneruskan pelayaran dari Tripoli, tetapi pada 21 Ogos 2010, Menteri Pengangkutan Lubnan, Ghazi Aridi mengeluarkan arahan menghalang kapal Mariam meninggalkan Lubnan kerana Cyprus tidak bersedia menerima kapal itu di perairannya.
Misi bantuan kemanusiaan yang dirancang ini melibatkan 50 aktivis wanita yang mahu membawa bekalan makanan dan perubatan kepada penduduk Palestin di Gaza.
Sebuah lagi kapal, Naji al-Ali, bercadang berlayar melalui Cyprus menuju ke Gaza, tetapi turut dihalang meninggalkan Lubnan atas alasan sama.
Pada 31 Mei 2010, sembilan aktivis kemanusiaan dibunuh tentera Israel semasa menyertai flotila enam kapal yang membawa 10,000 tan makanan kepada penduduk di Gaza.
Serangan ke atas kapal Mavi Marmara dilakukan tentera Zionis di perairan antarabangsa dan siasatan masih dijalankan berhubung keganasan itu.
Kapal Rachel Corrie pula ditahan di perairan antarabangsa pada 5 Jun 2010 dan dipaksa berlabuh di Pelabuhan Ashdod, Israel.
Pada 14 Julai 2010, kapal Amalthea yang membawa 2,000 tan bantuan kemanusiaan dari Libya terpaksa berlabuh di Pelabuhan El Arish, Mesir selepas diberi amaran oleh tentera Israel.