Hidupan primitif menyerupai span itu dipercayai hidup di kawasan batu karang sekitar 650 juta tahun dahulu.
Imej digital hidupan itu menunjukkan saiznya hanya satu sentimeter panjang, tidak mempunyai rupa fizikal yang jitu dan mempunyai saluran di dalam tubuh yang berkulit.
Sebelum ini, fosil tertua yang ditemui adalah organisma di kawasan batu karang yang dipercayai berusia 550 juta tahun.
Pengkaji juga menemui fosil haiwan bertubuh lembik yang dikatakan hidup antara 577 juta dan 542 juta tahun dahulu.
Fosil terbaru ini pula ditemui oleh pakar geologi dari Universiti Princeton, Adam Maloof (foto) dan Catherine Rose semasa mereka membuat kajian berhubung Zaman Ais di Australia.
Maloof mengakui bahawa mereka tidak dapat memberi kepastian 100 peratus bahawa fosil itu milik haiwan.
“Organisma itu agak besar dan tentu bukan bakteria. Bentuknya tidak simetri dan tentu bukan ulat. Organisma itu mempunyai saluran di dalam tubuh, sama seperti span yang hidup di laut sekarang,” kata Maloof.
Kajian mengenai penemuan terbaru ini disiarkan dalam jurnal Nature Geoscience keluaran 17 Ogos 2010.
Skrip ini disiarkan di halaman “Sains Global” akhbar Sinar Harian pada 22 Ogos 2010.