Perbuatan parasit yang bukan sahaja membunuh perumah secara senyap, malah mampu menguasai minda dan pergerakannya, dikesan berlaku dalam kalangan beberapa spesies binatang.
Penemuan fosil sehelai daun berusia 48 juta tahun dilihat sebagai bukti berlakunya pengawalan minda oleh parasit terhadap satu spesies semut.
David Hughes dari Universiti Harvard, Conrad Labandeira dari Institusi Smithsonian di Washington dan Torsten Wappler dari Institut Steinmann di Bonn menganggap penemuan itu sangat penting.
Hasil kajian mereka disiarkan dalam jurnal dalam talian, Biology Letters, pada 18 Ogos 2010.
“Memang ada parasit yang mampu menguasai minda perumah. Misalnya, protozoa Toxoplasma gondii didapati mampu menguasai minda tikus supaya menyukai kencing kucing agar parasit itu dapat pula mencari perumah baru.
“Kulat Ophiocordyceps unilateralis pula mempunyai kemampuan menguasai minda perumahnya, iaitu semut kayu (carpenter ant), supaya menggigit bahagian bawah daun sejurus sebelum parasit itu membunuh semua berkenaan.
“Kulat itu pula akan tumbuh keluar dari bahagian kepala semut itu dan menyebarkan spora kepada semut-semut lain,” kata mereka dalam hasil kajian berkenaan.
Fosil daun berusia hampir 48 juta tahun dan mempunyai kesan gigitan yang hampir sama ditemui di bekas kawasan hutan separa tropika di Jerman.
“Kami yakin bahawa fenomena parasit yang menguasai minda perumah berlaku sejak jutaan tahun dahulu.
“Malah, hampir separuh daripada keseluruhan hidupan di muka Bumi adalah parasit walaupun tidak semua parasit itu menggunakan kemampuan menguasai minda perumahnya,” kata Hughes.