29 Aug 2010

Memoir Tony Blair

Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, sudah menghasilkan buku kenangan berbentuk memoir dan akan dilancarkan pada September 2010.
.

Hasil jualan buku berjudul Tony Blair: A Journey akan disalurkan kepada Battle Back Challenge Center, sebuah pusat kebajikan yang akan dibuka pada 2012 bagi tentera Britain yang cedera parah dalam peperangan.

.

Penerbit Random House dilaporkan membayar hampir AS$7.8 juta (RM24.5 juta) kepada Blair bagi memoir itu yang memuatkan pengalaman peribadinya sepanjang menjadi Perdana Menteri dari 2 Mei 1997 hingga 27 Jun 2007.

.

Jurucakap kepada bekas Perdana Menteri itu, Matthew Doyle mengesahkan bahawa bayaran pendahuluan yang diterima oleh Blair akan turut didermakan kepada Battle Back Challenge Center.

.

Walaupun belum mula dijual, buku berkenaan kini menduduki tangga ketujuh buku paling banyak ditempah melalui Amazon.com.

.

Pada 2007, sebaik sahaja Blair melepaskan jawatan, Robert Harris, seorang bekas wartawan dan penganalisis politik, menulis novel berjudul The Ghost (2007) yang mengisahkan mengenai seorang bekas Perdana Menteri Britain bernama Adam Lang.

.

Novel berkenaan turut dijadikan filem berjudul The Ghost Writer (2010) yang menampilkan gandingan mantap Ewan McGregor dan Pierce Brosnan.

.

Skrip ini disiarkan di halaman Global akhbar Sinar Harian pada 23 Ogos 2010.