12 Aug 2010

120 Filem Melayu

Sedikit maklumat awal mengenai buku 120 Malay Movies (2010) tulisan Amir Muhamad telah saya catatkan DI SINI dan kebetulan pada sebelah petang hari yang sama (9 Ogos 2010), saya berpeluang bertemu Amir serta tiga rakannya – Rusyan Sopian, Richard Wong dan U-En Ng – di Restoran Sambal Hijau, Kampung Sungai Penchala.
..

Sambil makan dan minum, saya lebih banyak menjadi pendengar kepada topik-topik menarik yang dibicarakan oleh mereka berempat; maklumlah, insan seni bertemu di sebuah kedai makan yang sesak di sebelah sebuah masjid, dua hari sebelum Ramadan.

.

Pada sebelah malam, saya mula membaca membaca buku 120 Malay Movies. Catatan biodata Amir juga menarik dan membuatkan saya tersenyum kerana dinyatakan mengenai dua “banned-in-Malaysia documentaries”. Perkara ini wajar kerana buku ini bukan hanya untuk pembaca di Malaysia.

.

Sebelum saya mula membaca buku itu pada 9 Ogos 2010, saya sudah mencatatkan pada ruangan status di Facebook: “Who should avoid Amir Muhammad’s 120 Malay Movies? Anyone who can’t read or understand English.

.

Pada 10 Ogos 2010, selepas membaca 172 halaman, saya catatkan begini pada ruangan status di Facebook: “Tidak pernah menyangka penelitian terhadap filem-filem Melayu (Singapura) boleh begitu menghiburkan! Buku 12 Malay Movies oleh Amir Muhammad membuatkan saya ketawa bermula halaman 12.”

.

Kenapa halaman 12? Kerana pada halaman itulah bahagian pengenalan (introduction) bermula. Amir menjelaskan beberapa perkara secara telus (dan sarkastik, tentunya!): mengapa memilih hanya 120 filem; sejarah awal studio filem Melayu (Singapura); peristiwa bersejarah yang dipaparkan – atau tidak dipaparkan – dalam filem Melayu; bintang filem Melayu lama; seks dan seksualiti dalam filem Melayu lama; feudalisme dan politik dalam filem Melayu lama; agama dalam filem Melayu lama; pemaparan etnik dalam filem Melayu lama; pengarah Bukan Melayu vs Melayu.

.

Dengan membaca buku ini, kita akan memahami pelbagai perkara yang mungkin tidak kita sedar walaupun telah menonton filem-filem yang dinyatakan itu berpuluh kali. Amir dengan bijak dan bersahaja memberi nafas baru kepada penelitian terhadap filem-filem Melayu (Singapura).

.

Seperti yang saya sudah nyatakan, saya tidak dapat menahan ketawa dengan gaya penulisan serta cara Amir meneliti setiap filem dari sudut kontemporari.

.

Bercakap tentang kontemporari (semasa), khabarnya dalam akhbar New Straits Times bertarikh 7 Ogos 2010, seorang kolumnis melabelkan S Ramanathan dan K M Basker sebagai “pengarah dari India” (bangsa asing) sedangkan kedua-dua mereka lahir di Malaya. Malah, hanya Jamil Sulong disenaraikan oleh kolumnis itu sebagai pengarah filem Melayu yang masih hidup. Mungkinkah saya (dan Amir Muhammad) sahaja yang tidak tahu bahawa L Krishnan sudah tiada?

.

Atau, lebih tepat lagi, sebagaimana dinyatakan secara tersirat oleh Amir dalam 120 Malay Movies, masyarakat umum dan pengkaji filem (khususnya di UiTM dan Finas sendiri) ternyata memiliki minda tertutup dengan melihat filem Melayu (Singapura, dan kemudian Malaya/Tanah Melayu) sebagai produk “oleh Melayu, tentang Melayu, untuk Melayu” sehingga menafikan segala perkara yang tidak masuk dalam acuan Melayu-Islam mengikut fahaman Melayu-Islam di Malaysia. Perkara sama juga sebenarnya ditampilkan dalam kebanyakan filem Melayu yang diulas oleh Amir dalam buku ini!

.

Banyak lagi “fakta” menarik – benar dan memeranjatkan! – menanti kita dalam buku 120 Malay Movies yang, sebagaimana diakui Amir, tidak akan dibeli orang tertentu dalam jumlah yang banyak (1,000 naskhah, walaupun cetakan pertama buku ini hanya 500 naskhah!) untuk dihadiahkan kepada rakan dan taulan.

.

Banyak misteri dan persoalan berkaitan filem Melayu (Singapura, dan kemudian Malaya/Tanah Melayu) akan terjawab dalam buku ini. Antaranya (tetapi tidak terhad kepada):

.

Mengapa watak lakonan Siput Serawak dan S Roomai Noor tidak ditangkap khalwat dalam filem Cinta (1948).

.

Maksud sebenar judul filem Nasib (1949).

.

Kekaguman penduduk Melayu (termasuk UMNO) di Tanah Melayu terhadap segala yang berciri Indonesia terpancar dalam filem Nilam (1949).

.

Punca sebenar Kasma Booty sanggup memaafkan kecurangan Osman Gumanti dalam filem Racun Dunia (1950).

.

Apa yang mungkin berlaku jika watak Banjo lakonan P Ramlee dalam filem Aloha (1950) menjadi akauntan dan bukan pemuzik.

.

Perasaan binatang-binatang yang terpaksa berlakon dalam filem Pembalasan (1950).

.

Filem Hang Tuah (1956) dan Hang Jebat (1961) menampilkan hubungan homoerotik mengatasi “persaudaraan”.

.

Bagaimana sebenarnya Osman Gumanti menjawab pertanyaan “Asmara? Apakah itu?” yang dikemukakan Kasma Booty dalam filem Dewi Murni (1950). Juga hubungan filem ini dengan Perdana Menteri (Bendahara) dan Sultan.

.

Hubungan interteks antara filem-filem Melayu.

.

Filem Perkahwinan Rahsia (1951) adalah sebenarnya filem pertama yang menampilkan pengarah kaum Melayu, tetapi kelahiran Indonesia.

.

Walaupun pada tahun 1950-an, lombong bijih timah di Tanam Melayu dimiliki orang Cina dan British, ada dua lombong bijih timah milik kaum Melayu dalam filem Antara Senyum dan Tangis (1952).

.

Pengarah filem daripada kaum Melayu kelahiran Malaya muncul secara rasmi menerusi filem Permata di Perlimbahan (1952).

.

Pakaian orang misikin yang ditertawakan orang kaya dalam filem Miskin (1952) kemudian menjadi kegilaan ramai selepas Hollywood melahirkan Miami Vice (1984).

.

Filem Mahsuri (1959) yang menampilkan dialog “Muka hang hitam macam belakang kuali” oleh penduduk kampung di Langkawi kepada seorang penduduk kaum India, skripnya ditulis seorang Perdana Menteri!

.

Watak lelaki kaum Cina dalam filem Sergeant Hassan (1958) berjanji kepada seorang wanita Melayu, “Lu sayang sama ngo, ngo tintu tukar nama Ahmad Ali bin Abolollah”.

.

Apa yang saya berikan sebagai contoh di atas hanyalah sebahagian kecil – amat kecil – daripada pelbagai fakta menarik yang menceriakan dan mampu menjadi santapan minda bagi khalayak yang boleh membaca buku Bahasa Inggeris.

.

Saya memperoleh begitu banyak maklumat yang tidak mungkin diperoleh daripada (sekadar contoh tetapi tidak terhad kepada) Finas, Yusof Haslam, Jins Shamsudin dan mana-mana agensi kerajaan.