Bagi saya, kedua-dua karya berkenaan (novel dan filem) amat “menakutkan” kerana mengangkat kisah yang benar-benar boleh berlaku; bukan di “negara orang putih” tetapi di tanah air kita sendiri.
Kisah tragis Nurin Jazlin dan misteri kehilangan Sharlinie, misalnya, mengejutkan seluruh Bangsa Malaysia. Seram, takut, tidak percaya, terkejut dan pelbagai perasaan berbaur dalam jiwa. Membayangkan wajah Nurin dan Sharlinie, atau membaca nama mereka, sudah cukup untuk membuatkan saya seram sejuk: pembunuh/penculik kanak-kanak berada di sekeliling kita; bukan di sebuah negara asing!
Sedikit sifat empati (daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain; bezakan dengan “simpati” – perasaan belas atau kasihan terhadap penderitaan orang lain) akan membantu kita lebih waspada dan berjaga-jaga pada setiap saat. Khususnya jika kita juga ibu bapa yang menghargai anak-anak yang dikurniakan Tuhan.
Filem Tamil berjudul Achamundu Achamundu (2009) – yang turut dialih bahasa ke Telegu dengan judul Bhayam – berlatarkan New Jersey, Amerika Syarikat dan menampilkan “orang putih” (lakonan John Shea) sebagai penculik, perogol dan pembunuh kanak-kanak.
Dua lagi filem berkaitan penculikan dan pembunuhan kanak-kanak yang sempat saya tonton baru-baru ini adalah The Disappeared (2009) dan Stolen (2010). Kedua-duanya tetap “menakutkan” – bukan kerana “seram” tetapi kerana terus mengingatkan saya bahawa iblis bertopengkan manusia berada di sekeliling kita.
The Disappeared sebuah filem Britain arahan Johnny Kevorkian dan menggunakan latar London pada 2005. Kisahnya mengenai seorang remaja, Matthew Ryan (lakonan Harry Treadaway) yang belum pulih daripada rasa terkejut berhubung misteri kehilangan adik berumur lapan tahun, Tom Ryan (lakonan Lewis Lemperuer Palmer).
Stolen arahan Anders Anderson pula sebelum ini pernah dikenali dengan judul The Boy in the Box dan Stolen Lives; serta menampilkan watak dua bapa – lakonan Josh Lucas dan Jon Hamm – dengan perbezaan latar masa 50 tahun; tetapi sama-sama kehilangan anak lelaki (kanak-kanak) yang diculik dan dibunuh.
Filem dan novel bukan hanya untuk hiburan. Dengan pelbagai kes kehilangan kanak-kanak serta keganasan seksual terhadap kanak-kanak yang berleluasa di Malaysia, semoga filem dan novel seperti Mystic River, Lovely Bones, The Disappeared dan Stolen menjadi amaran awal dan peringatan penting kepada kita: sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
.