Rejim Zionis membuat keputusan pada 23 Julai 2010 untuk membenarkan kapal Mavi Marmara, Gazze dan Defne-Y kembali ke Turki berikutan tekanan antarabangsa.
Kapal Gazze kembali ke Turki pada 7 Ogos 2010 manakala Defne-Y berlabuh di Iskenderun pada 6 Ogos 2010.
Kapal Gazze milik Yayasan Hak Asasi Manusia dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) membawa 2,104 tan simen, 600 tan besi pembinaan, 50 tan jubin, 13 anak kapal dan lima aktivis kemanusiaan dari Antalya, Turki ke Gaza pada 22 Mei 2010 sebelum ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa pada 31 Mei 2010.
Dalam serangan komander tentera Israel ke atas kapal Mavi Marmara di Lautan Mediterranean pada 31 Mei 2010, sembilan aktivis kemanusiaan dari Turki terbunuh manakala 50 lagi cedera.
Tentera Zionis juga menahan 700 aktivis kemanusiaan dari 42 negara yang menyertai misi itu sebelum membebaskan mereka tanpa membenarkan mereka pergi ke Gaza.
Kapal Mavi Marmara terpaksa ditunda pulang pada 5 Ogos 2010 dari Pelabuhan Haifa, Israel ke Iskenderun, Turki kerana kesemua motor tidak berfungsi.
Kapal itu telah dicat semula oleh pihak Israel untuk menyembunyikan kesan serangan, tembakan dan kerosakan lain.
Sementara itu, Yayasan Hak Asasi Manusia dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) tidak menolak kemungkinan menghantar misi bantuan kemanusiaan yang baru ke Gaza menggunakan kapal Mavi Marmara, Gazze dan Defne-Y sekiranya sekatan rejim Israel masih berterusan.
Ahli Lembaga IHH, Huseyin Oruc percaya bahawa beberapa kapal baru akan turut serta dalam misi baru itu nanti sebagai bukti masyarakat dunia menentang sekatan dan penindasan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin.
Sebelum tentera Israel membebaskan ketiga-tiga kapal berkenaan yang ditahan di perairan antarabangsa pada 31 Mei 2010, rejim Zionis meminta IHH berjanji tidak akan menghantarnya semula ke Gaza tetapi IHH tidak bersetuju dengan syarat itu.
“Kami membeli Mavi Marmara, Gazze dan Defne-Y khusus untuk digunakan bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Maka, jika timbul keperluan, tentulah kami akan menggunakannya untuk membawa aktivis kemanusiaan, makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan kepada penduduk Palestin di Gaza,” kata Oruc di Iskenderun pada 8 Ogos 2010.
Dalam perkembangan berkaitan, aktivis kemanusiaan di Ireland membuat persiapan untuk membeli sebuah kapal bagi membawa 50 aktivis, ahli politik, penulis dan wartawan menyertai konvoi baru ke Gaza.
Penganjur flotila dari Ireland bercadang membeli kapal baru di Greece atau Turki untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Oktober 2010 yang akan turut disertai sekurang-kurangnya sepuluh kapal lain.
Salah seorang aktivis kemanusiaan terbabit, Dr Fintan Lane memaklumkan bahawa kerja-kerja mengumpulkan dana sedang giat dilakukan serta mendapat sokongan yang amat menggalakkan.
“Kami bercadang membawa bahan-bahan pembinaan dan bantuan perubatan yang amat diperlukan penduduk Palestin di Gaza,” kata lelaki itu yang telah menyertai konvoi pertama pada Mei 2010.
(Skrip ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 9 Ogos 2010. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat misi kapal Mariam.)