9 Aug 2010

Amir Bikin Buku Filem

Saya peminat filem. Hantu filem. Akan tetapi, saya amat selektif dalam menentukan filem-filem yang saya tonton. Catatan mengenai beberapa filem yang saya tonton boleh dibaca di blog saya.
.

Filem Inggeris, Malayalam, Hindi, Tamil, Mandarin dan bahasa-bahasa lain menjadi pilihan saya; tidak menjadi masalah jika saya tidak memahami bahasa yang digunakan dalam dialog kerana “bahasa filem” tetap universal.

.

Jumlah filem Melayu yang saya tonton jauh lebih kurang daripada filem asing (luar negara). Masalah “roh filem” sering menjadi halangan dan saya tidak rela menipu diri untuk pura-pura menyukai filem-filem yang tidak mencapai tahap mentaliti yang diharapkan.

.

Bagaimanapun, kehadiran buku 120 Malay Movies (Amir Muhammad, 2010, 432 halaman, RM60.00, kulit tebal) menarik perhatian saya kerana beliau seorang aktivis, penulis dan pembikin filem yang lain daripada yang lain; paling penting: tidak tahu berpura-pura (sebagaimana Sasterawan Negara Datuk A Samad Said).

.

Buku berkenaan memuatkan reaksi Amir semasa menonton 120 filem Melayu yang diterbitkan di Singapura dan Kuala Lumpur dari 1948 hingga 1972. Pasti menarik untuk “melihat” semula filem-filem lama melalui kaca mata seorang pembikin filem kontemporari. Contoh beberapa halaman buku berkenaan boleh dilihat dan dibaca DI SINI.

.

Buku 120 Malay Movies yang dicetak dalam edisi terhad (500 naskhah sahaja) dilancarkan di Muzium Seni Singapura (SAM) pada 31 Julai 2010 dan dilancarkan juga di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2010.

.

Buku itu boleh dibeli di Silverfish Books tetapi saya tetap mahu membelinya terus daripada Amir. Sekurang-kurangnya boleh membuli beliau sambil minum teh tarik manis dan berbual mengenai Lelaki Komunis Terakhir, Malaysian Gods, karya terbaru Amir dan hal-hal semasa.
.
Saya sempat menghubungi Amir melalui Facebook untuk membincangkan pertemuan itu. Jika diizinkan Tuhan, kami akan berjumpa sekitar pukul 2:00 petang pada 9 Ogos 2010.