3 Mar 2010

Nagesh, Pelakon dan Mayat

Nagesh – atau nama sebenarnya C. Krishna Rao Gundu Rao – tetap dikenang sebagai pelakon komedi lelaki terhebat dalam industri filem Tamil.
.

Pelakon veteran ini meninggal dunia pada 31 Januari 2009 dan filem terakhir lakonannya adalah Dasavataram (2008). Agak menarik juga bahawa Kamal Haasan sering memberi peluang kepada Nagesh dalam filem-filem terbitannya.

.

Misalnya, sewaktu Nagesh semakin malap pada pertengahan tahun 1980-an, Kamal Haasan menampilkan Nagesh menerusi watak jahat yang begitu berkesan dalam filem Apoorva Sagotrargal (1989). Pasti ramai yang masih terbayang akan aksi Nagesh yang tidak berperikemanusiaan dalam filem berkenenaan.

.

Sekali gus, mengingatkan bagaimana pada pertengahan tahun 1970-an, berikutan perbezaan pendapat, pelakon dan ahli politik Tamil Nadu, MGR tidak membenarkan Nagesh berlakon dalam filem-filemnya.

.

Terdahulu, pada tahun 1964, filem Server Sundram berjaya melonjakkan nama Nagesh bukan hanya sebagai pelakon komedi tetapi pelakon serba boleh. Malah, filem berkenaan dikatakan adalah gambaran kisah keperitan hidupnya sendiri secara penuh kias.

.

Selepas kejayaan Server Sundram, Nagesh semakin laris; berlakon 35 filem setahun.

.

Dalam filem itu, Nagesh berlakon bersama-sama K R Vijaya. Mereka bertemu semula dalam Dasavataram; Nagesh sebagai Sheikh (bapa kepada Khalifullah Mukhtaar lakonan Kamal Haasan) dan K R Vijaya sebagai isterinya, Megha.

.

Nagesh juga berlakon dalam beberapa filem Kamal Haasan. Kamal Haasan ternyata faham bahawa Nagesh menghadapi masalah kewangan dan memerlukan peluang.

.

Sekadar contoh terbaik, dalam filem Magalir Mattum (1994), Nagesh muncul sebagai mayat!