11 Feb 2009

Naan Kadavul

Kita hanyalah lembu dan kambing yang boleh dijual-beli dan diperlakukan sesuka hati oleh pemilik kita.

Saya menonton filem “Naan Kadavul” (Saya Tuhan; I Am God) setelah anak saya, Ganesan Duraisamy memaklumkan bahawa filem itu sesuai dengan citarasa saya yang suka akan filem-filem yang membawa kelainan.

Filem berkenaan saya tonton pada Rabu, 11 Februari 2009, pukul 12:00 tengah hari di pawagam Sri Intan, Klang.

Ternyata filem “Naan Kadavul” mempunyai kelainan yang tersendiri. Kisah kanak-kanak dan golongan cacat (atau dijadikan cacat!) yang dipaksa menjadi peminta sedekah mengingatkan saya pada filem “Slumdog Millionaire” yang diadaptasi daripada novel “Q & A” karya Vikas Swarup.

Vikas Swarup dalam suatu wawancara (yang ada juga disiarkan dalam akhbar Sunday Star, 25 Januari 2009) dilaporkan berkata: “I don’t know if it’s true that there are begger masters who blind children to make them more effective when they beg on the streets”.

Filem “Naan Kadavul” turut mengangkat kisah mengenai golongan peminta sedekah yang dipergunakan (baca: diperhambakan) oleh “pemilik” atau “tuan” mereka.

Seperti dikatakan oleh beberapa watak dalam filem ini, mereka umpama lembu dan kambing yang boleh dijual-beli dan diperlakukan sesuka hati oleh pemilik mereka.

Namun, dalam segala penderitaan itu, mereka masih mampu menghibur hati dan melalui kehidupan seharian dengan cara tersendiri.

Bagi saya, watak Rudra yang dilakonkan oleh Arya kurang penting berbanding watak wanita buta (Hamsavalli) lakonan Pooja serta watak-watak pengemis yang begitu meninggalkan kesan pada jiwa dan pemikiran.

Lakonan Pooja jauh lebih baik berbanding lakonan Jothika sebagai wanita buta dalam filem “Perazaghan” (bersama Surya). Kalau dewasa ini ramai pelakon wanita yang tampil semata-mata untuk mempertonton tubuh mereka, Pooja pula tampil dalam “Naan Kadavul” untuk mempertonton bakat lakonan.

Saya tidak tahu siapa pelakon yang bernama Pooja ini. Saya juga tidak tahu jika saya pernah menonton filem-filem lain lakonan Pooja. Namun, apa yang pasti, Pooja berjaya membuktikan keupayaannya berlakon melalui pembawaan watak Hamsavalli secara yang amat berkesan melalui filem “Naan Kadavul”.

Hamsavalli seorang wanita buta bersuara merdu yang mengemis untuk mendapatkan wang, dan kemudian diculik oleh sebuah sindiket untuk mengemis di kawasan sebuah kuil. Selepas itu, mahu pula dijual kepada seorang lelaki berwajah amat hodoh untuk dijadikan isteri.

Apabila Hamsavalli melarikan diri, dia diseksa dengan amat kejam. Sehingga akhirnya wanita buta itu memutuskan bahawa kematian adalah lebih baik daripada kehidupan di dunia.

Banyak babak dan dialog yang dipotong dan ditapis dalam filem ini. Terpulang pada imaginasi penonton untuk mengisi “kekosongan” itu. Khabarnya sebuah lagu juga dipotong sepenuhnya.

Bagi sesiapa yang mahu mempersoalkan tema dan persoalan yang dikemukakan dalam filem ini – sama ada berkaitan judul filem ini sendiri atau mengenai tindakan watak tertentu mahu membunuh diri – tontonlah filem ini terlebih dahulu dengan jiwa kemanusiaan.

Sebenarnya “Naan Kadavul” bukan mengenai seorang individu yang mengaku dirinya Tuhan, tetapi mengenai manusia terseksa yang mengharapkan belas kasihan Tuhan.

Dapatkan maklumat lanjut di laman www.naankadavul.com