18 Jun 2009

Haram

Katakan saudara berpeluang membaca sebuah buku sebelum buku berkenaan diharamkan oleh pihak berkuasa di negara saudara.

Atau katakan saudara berpeluang menyaksikan pratonton sebuah filem sebelum filem berkenaan diharamkan – atau pada mulanya diluluskan, sebelum kemudian diharamkan.

Atau saudara berada di luar negara dan berpeluang membaca sebuah buku atau menonton sebuah filem yang tidak diharamkan di negara berkenaan, walaupun diharamkan di negara saudara.

Saya percaya, secara sedar atau tidak, apa yang dibaca atau ditonton akan kekal dalam ingatan.

Mustahil untuk “memadam” ingatan itu walaupun pihak berkuasa di negara saudara memutuskan untuk mengharamkan filem/buku itu atas alasan tertentu.

Begitu juga halnya dengan sebuah dokumentari muzikal yang pernah saya tonton sebelum diharamkan.

Saya tidak berminat untuk memperkatakan soal halal-haram di sini; sebaliknya mengenai beberapa perkara yang menyentuh hati/jiwa saya dan masih bermain dalam minda bawah sedar.

[Mungkin akan berhenti “bermain dalam minda” selepas saya tulis di sini.]

Antaranya, melalui dokumentari muzikal itu, saya mendapat tahu bahawa ada tiga jenis petai yang masing-masing digemari masyarakat Melayu, Cina dan India.

Bahawa ada dua jenis limau bali; manis yang digemari penduduk tempatan dan masam yang digemari pelancong barat.

Saya juga tertawa menyaksikan beberapa lagu yang dimuatkan dalam dokumentari muzikal berkenaan; misalnya mengenai suatu fahaman, pelombong bijih timah dan kepentingan kad pengenalan.

Juga seronok dan berdebar apabila jurukamera terjatuh dalam lubang semasa penggambaran di sebuah estet!

Saya tidak mahu bercakap soal halal-haram … eh! Kenapa diulang? Ini bukan iklan, kan?

Apapun, dokumentari muzikal ini membantu menaikkan semangat cinta akan negara dan semangat patriotik dalam jiwa saya.

Juga membuatkan saya bertanya dan tertanya-tanya: adakah kaum India dan Cina turut memperjuangkan kemerdekaan negara pada tahun 1950-an?

Dari segi sinematografi pula … tidak perlulah saya huraikan kerana sudah pernah dihuraikan oleh beberapa tokoh perfileman dan kebudayaan selepas pratonton dokumentari muzikal berkenaan di negara Antah Berantah.