31 Aug 2010

Bekukan Perumahan Yahudi

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memberi amaran keras bahawa rundingan damai secara bersemuka antara Israel dan Palestin yang dijadualkan di Washington, Amerika Syarikat pada 2 September 2010 akan gagal jika rejim Zionis itu tidak terus membekukan pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat.
.

Pembekuan yang dikenakan sekarang akan berakhir pada 26 September 2010 dan Abbas melahirkan kebimbangan bahawa kerja-kerja pembinaan perumahan bagi penduduk Yahudi akan dimulakan dengan segera jika tidak ada tindakan tegas daripada kerajaan Israel bagi menghalangnya.

.

Abbas menyatakan perkara itu dalam surat yang dikirim kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama; Presiden Rusia, Dmitry Medvedev dan wakil Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton,

.

“Adalah mustahil untuk meneruskan rundingan damai sekiranya Israel masih menceroboh wilayah Palestin dan membangunkan kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat,” kata Abbas dalam surat itu.

.

Keputusan berhubung pembekuan pembinaan perumahan Yahudi di Tebing Barat dijangka menjadi isu utama yang perlu diberi perhatian serius oleh Amerika Syarikat dan Israel jika mahu meneruskan rundingan damai pada 2 September 2010.

.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pada 22 Ogos 2010 tidak membuat sebarang keputusan berhubung isu itu.

.

Timbalan Perdana Menteri Israel, Dan Meridor pula mempromosi usaha memulakan kerja-kerja pembinaan perumahan Yahudi sejak minggu lalu.

.

“Pembekuan di Itzhar dan Itamar boleh diteruskan selepas 26 September 2010 tetapi kerja-kerja pembinaan tambahan perlu dilakukan di kawasan penempatan sedia ada,” katanya.

.

Pandangan dan gesaan Meridor mendapat sokongan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak walaupun kurang disenangi beberapa menteri lain.

.

Amerika Syarikat belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung cadangan Meridor tetapi Washington dijangka tidak membantah cadangan itu.

.

Wakil perunding Palestin, Saeb Erekat menjelaskan bahawa walaupun Amerika Syarikat tidak memberi sebarang jaminan akan mendesak pembekuan pembinaan perumahan Yahudi itu diteruskan selepas 26 September 2010, Palestin mengharapkan pembekuan kerja-kerja pembinaan itu diteruskan.

.

“Amerika Syarikat telah memberi gambaran awal kepada Palestin bahawa jika rundingan secara bersemuka diadakan, maka lebih mudah untuk mendesak Israel mengekalkan pembekuan itu,” kata Erekat pada 22 Ogos 2010.

.

Perangkaan yang dikeluarkan Pusat Macro Bagi Ekonomi Politik pada Mac 2010 menunjukkan kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat meliputi daripada kawasan seluas 12 juta meter persegi, termasuk jalan raya, perumahan dan kilang.

.

Terdapat juga 32,711 pangsapuri di atas tanah seluas 3.27 juta meter persegi dan 22,997 rumah milik peribadi di atas tahan seluas 5.74 juta meter persegi.

.

Mengenai rundingan damai yang dijadualkan di Washington pada 2 September 2010, Netanyahu memberitahu Mesyuarat Kabinet pada 22 Ogos 2010 bahawa hasil daripada rundingan itu pasti sukar dijangkakan tetapi dia bersedia duduk di meja rundingan dengan fikiran positif.

.

"Perjanjian Oslo ditandatangani 17 tahun lalu dan tentulah tempoh yang lama melahirkan pelbagai keraguan apabila Israel dan Palestin kembali bersemuka di meja rundingan," katanya.

.

Natanyahu juga menekankan isu berkaitan keselamatan, pengiktirafan Israel sebagai negara Yahudi, pelarian di Palestin dan kesediaan Palestin mengakhiri konflik.

.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton akan menjadi orang tengah semasa rundingan damai secara bersemuka antara Israel dan Palestin di Washington.

.

Rundingan damai pada 2 September 2010 diusahakan oleh Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Rusia.

.

Rundingan damai secara bersemuka antara Netanyahu dan Abbas adalah yang pertama sejak 20 bulan lalu.

..

Skrip ini ditulis berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan disiarkan di halaman Global akhbar Sinar Harian pada 25 Ogos 2010.