1 Sept 2010

Kisah Ilustrasi Onam

Entah macam mana foto saya pula dijadikan hiasan bagi cerpen “Onam di Pulau Cinta”!

Manuskrip cerpen itu siap pada 22 Julai 2010 dan saya kirim kepada editor majalah e@siswa, Azli Halim melalui e-mel secara lampiran. Sebaik cerpen diluluskan untuk siaran, beliau meminta saya mencadangkan gambaran ilustrasi.


Maka, saya mencari tiga foto/ilustrasi di Internet yang paling hampir kepada apa yang saya bayangkan dalam cerpen berkenaan: watak “Saya” berbincang bersama Ravana berkepala sepuluh dan Rama berkulit biru sambil minum kopi luwak di Pulau Cinta.


Ketiga-tiga foto yang saya cadangkan itu ada juga saya paparkan di blog [LIHAT DI SINI]. Saya meminta supaya Rama dan Ravana digambarkan “tradisional” manakala “Saya” moden.


Pada 23 Ogos 2010 – tarikh sambutan Onam – saya membeli majalah e@siswa keluaran September 2010 dan terkejut melihat ilustrasi yang dipaparkan bagi cerpen “Onam di Pulau Cinta”.


Apabila saya bertanya kepada Azli Halim, beliau berkata, “Kita bagilah penghormatan kepada si penulis”.


Untuk makluman, ilustrasi watak “Saya” yang menyerupai saya (Uthaya Sankar SB) pasti sahaja dibuat berdasarkan foto saya yang pertama kali disiarkan di akhbar theSun pada 16 Julai 2009 [LIHAT DI SINI] dan kemudian saya muatkan juga di blog dan Facebook. Cuma, dua bentuk cincin pada jari-jemari saya ditiadakan; tinggal satu sahaja.


Tarikh sambutan “Onam 1Malaysia” pada 2010 datang dan pergi. Ternyata para pemimpin yang begitu sibuk dan khusyuk menyambut segala 1Macam-macam sejak April 2009 sudah lupa semua itu selepas hampir setahun gagasan 1Malaysia dicanangkan.


Maka, nampaknya Mahabali telah mengalihkan perhatiannya kepada Pulau Cinta untuk menyambut “Onam Pulau Cinta”.


Kisah mengenai putera Mahabali, iaitu Mahabali III, boleh dibaca dalam cerpen “Pulau Pendatang” manakala isteri Mahabali, iaitu Wanita Farsa, boleh dibaca dalam faksyen "Wanita Farsa".