7 Jun 2010

aSingam

Devishi begitu berminat menonton filem ke-25 lakonan Saravanan “Surya” Sivakumar berjudul Singam (2010), maka Prabhawathy membuat tempahan tiket melalui seorang pelajar yang kakaknya bekerja di pawagam GSC, The Summit, USJ.
.

Kami bertiga menonton filem itu pada 5 Jun 2010, pukul 6:10 petang. Selepas lima minit, saya sudah tahu bahawa filem ini hanyalah pembaziran RM25!

.

Benarlah tanggapan saya (prejudis) kerana filem ini lebih banyak berciri hiburan; seperti beberapa filem Surya sebelum ini. Malah, ramai pelakon berbakat yang terbazir dalam filem ini.

.

Pada mulanya, saya gembira kerana pelakon komedi dalam filem Singam bukan Vadivelu yang terkenal melalui “lawak bodoh”. Malangnya, bakat sebenar Vivek sebagai “pelawak intelek” langsung tiada dalam filem ini.

.

Bakat Nasser, Radha Ravi, Vijayakumar dan Manorama dipersiakan oleh pembikin filem Singam.

.

Tentu sahaja Anushka tidak memerlukan “bakat” kerana apa yang menjadi ukuran semasa dalam filem Tamil adalah berapa kurang pakaian yang mampu “wirawati” pakai! Nampaknya “saingan” dalam kalangan pelakon wanita ke arah itu semakin hebat.

.

Mujurlah Prakash Raj menyelamatkan keadaan! Sebaik sahaja saya melihat kemunculan pelakon berbakat besar itu sebagai watak jahat, saya menarik nafas lega kerana masih ada “harapan” untuk membuatkan saya menonton Singham hingga akhir.

.

Ternyata, tanggapan saya (prejudis) benar kerana tanpa kehadiran Prakash Raj, Singam hanyalah asingam. Durai Singam boleh menjerit, melalak, mengaju bunyi singa, menggenggam tangan, menyanyi, menari, bermimpi dan menjadi ketua panchayat di hadapan balai polis, tetapi tanpa kehadiran Mayil Vaaganam yang bijak, Durai Singam tiada apa-apa kerja – kecuali terus syok sendiri menyanyi lagu ‘Naane Indhiran’.

.

Mungkin Rakta Charitra (2010) di mana Surya tidak memegang watak utama akan lebih berjaya dari segi intelek; seperti Pitha Magan (2003). Atau mungkin ada harapan pada 7aam Arivu (7th Sense) – dengan andaian, filem itu sekurang-kurangnya mencapai tahap intelek 5aam arivu (5th sense).