29 Sept 2026

Bahagian Tiga: Kakabhushundi dan Buku Arumugam Pillai



[Baca Bahagian Dua] Arumugam Pillai tidak mati malam itu. Tetapi Raghavan Chatterjee tiba di rumahnya pada pukul 11:40 malam dan mendapati pintu terbuka.

Rumah papan itu berbau minyak kelapa, ubat sapu, dan kayu reput. Sebuah radio kecil masih berbunyi perlahan. Lagu Tamil lama dimainkan dengan suara penyanyi yang sudah serak akibat usia.

Di dapur terdapat periuk nasi yang belum dibasuh. Di atas meja ada dua cawan. Satu masih hangat.

“Arumugam?”

Tiada jawapan.

“Anna?” Raghavan memanggil lagi.

Di dinding terdapat beberapa foto keluarga. Ada yang sudah pudar dan ada yang tidak lagi mempunyai kaca. Satu foto menunjukkan Arumugam ketika muda, berdiri di hadapan deretan pokok getah dengan senyuman yang jauh lebih besar daripada tubuhnya.

Raghavan pernah mendengar cerita lelaki itu: Tentang estet. Tentang mogok pekerja. Tentang sekolah Tamil. Tentang orang yang datang dari India dengan satu beg dan akhirnya mati dengan empat anak, sebelas cucu, dan sebuah rumah yang masih perlu diperbaiki setiap kali hujan lebat.

“Appa di hospital,” satu suara kedengaran dari belakang.

Raghavan berpaling. Suresh Pillai berdiri di pintu.

“Kenapa?”

“Sesak nafas.”

“Bila?”

“Petang tadi.”

“Kenapa tidak beritahu saya?”

“Dia kata nanti.”

Pemuda berumur dua puluh lima tahun itu menghulurkan sebuah buku.

“Ini untuk encik.”

Raghavan mengambilnya. Kulit buku itu coklat gelap. Bahagian tepi kertas sudah berwarna kekuningan. Terdapat bau khas buku lama; sedikit hapak tetapi menyenangkan.

“Apa ini?” Raghavan ingin tahu.

“Buku catatan Appa.”

“Boleh saya baca?”

“Dia memang suruh bagi kepada encik.”

Raghavan membuka halaman pertama. Tulisan tangan Tamil yang kemas memenuhi kertas.

Cerita tidak mati apabila orang mati. Cerita mati apabila tiada siapa mahu mengingati.

Raghavan membaca lagi. Catatan itu bukan autobiografi. Ia lebih mirip kubur kecil untuk merakam kenangan. Ada nama orang, nama kedai yang sudah tiada, nama sekolah, nama guru, nama pekerja ladang, nama pelukis kolem, nama pemuzik, nama wanita yang pernah memasak puttu untuk pekerja yang mogok. Juga nama seorang lelaki yang hilang selepas keluarga berpindah. Serta nama seorang kanak-kanak yang pernah bertanya mengapa bahasa Tamil yang dituturnya diejek di sekolah.

Raghavan duduk. Suresh berdiri di sebelah.

“Bapa kamu kata semua ini penting?”

“Ya, encik.”

“Kenapa?” Raghavan kurang pasti; kurang faham.

“Appa kata, suatu hari nanti orang akan bertanya.”

“Siapa?”

“Orang yang tidak tahu bahawa mereka pernah berada di sini.”

Raghavan menutup buku catatan. Dia memandang Suresh.

“Bapa kamu selalu fikir begitu?”

“Tidak.” Suresh ketawa kecil. “Dulu dia fikir cerita tidak penting. Appa cuma mahu bekerja, bayar bil, dan hantar kami ke sekolah. Selepas bersara, dia mula takut.”

“Takut apa?”

“Takut semua yang dia ingat akan mati bersamanya.”


[Sokonglah penulis swaterbit—senarai buku di sini]


Raghavan tidak menjawab. Dia teringat dirinya sendiri. Selama bertahun-tahun, dia menulis kerana mahu menghasilkan buku. Mahu karya diterbitkan. Mahu ada pembaca bagi hasil tulisannya. Mahu meninggalkan sesuatu untuk generasi akan datang.

Arumugam pula menulis kerana mahu seseorang tahu bahawa manusia tertentu pernah wujud.

Perbezaannya sangat kecil. Tetapi pada malam itu, perbezaan tersebut terasa seperti dua dunia yang tidak ada jambatan yang mampu menghubungkan.

Di luar, gagak berbunyi. Raghavan keluar. Seekor gagak kelihatan bertenggek pada ranting pokok semambu.

“Bhusunda?”

Burung itu menoleh.

“Ceritakan sesuatu,” pinta Raghavan.

“Yang mana?”

“Sejarah diri engkau.”

Gagak itu terbang turun ke pagar.

“Dalam satu cerita, aku pernah menjadi manusia yang sombong.”

“Kerana tidak menghormati guru?”

“Ya.”

“Dan kemudian?”

“Kutukan.”

“Daripada siapa?” Raghavan mahu tahu.

“Dalam satu riwayat, Shiva. Dalam riwayat lain, cerita itu berubah.”

“Berapa kali engkau lahir?”

“Seribu.”

Raghavan menunggu tetapi sang gagak tidak meneruskan.

“Seribu?” Raghavan mahukan kepastian.

“Ya. Dalam cerita yang engkau baca.”

“Dan cerita lain?”

“Tiada nombor,” sang gagak menjawab spontan.

“Kenapa?”

“Kerana masa bukan pembaris.”

Raghavan bersandar pada tiang.

“Jadi, apa yang berlaku selepas seribu kelahiran?”

“Aku menjadi gagak.”

“Sebagai hukuman?”

“Pada mulanya aku fikir begitu.”

“Sekarang?”

“Aku sedar hukuman kadang-kadang merupakan pintu yang tidak kita mahu buka.”

Raghavan terdiam.

“Aku menjadi saksi,” gagak itu meneruskan.

“Kepada Rama?”

“Kepada Rama. Kepada manusia. Kepada alam. Kepada diri sendiri.”

“Dan engkau tidak mati?”

“Aku mati berkali-kali,” sang gagak membetulkan.

“Bukankah engkau bersifat chiranjivi?” Raghavan mengerutkan dahi.

“Chiranjivi bukan bermaksud tubuh tidak berubah. Ia bermaksud cerita tidak berhenti pada tubuh.”

Ayat itu melekat dalam fikiran Raghavan. Sang gagak terang lalu bersatu dengan kegelapan malam.

Raghavan masuk semula ke rumah Arumugam. Suresh tidak kelihatan. Buku catatan Arumugam terbuka pada halaman yang tidak dibacanya tadi. Terdapat satu ayat dalam Bahasa Malaysia, bukan Tamil.

Jangan hanya tulis apa yang kamu mahu kekalkan. Tulislah apa yang sedang cuba dipadam.

Raghavan menyentuh tulisan itu. Dakwat masih basah. Dia mengangkat kepala. Dari bilik belakang, dia terdengar bunyi seseorang ketawa. Kemudian kedengaran suara memanggil namanya.

“Raghavan.”

Dia mengenali suara itu. Suara Arumugam. Tetapi bukankah Arumugam sedang berada di hospital seperti kata anaknya?

Raghavan berjalan perlahan-lahan ke bilik belakang. Pintu bilik itu tertutup. Di bawah celah pintu, cahaya merah mula keluar. Kemudian, kedengaran suara Arumugam.

“Kalau engkau mahu tahu masa depan, jangan masuk!”

Raghavan berhenti. Dan kerana dia seorang penulis dengan pengalaman lebih tiga puluh tahun, dia tahu satu perkara dengan penuh kepastian: Apabila seseorang berkata “jangan masuk”, maknanya cerita sebenar baru sahaja mahu bermula. … Bersambung … dalam buku pada tahun 2027?

(Fiksyen ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 26-31 Ogos 2026 sebagai sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan secara bersiri di blog. © Uthaya Sankar SB. Sumber imaginasi berdasarkan pembacaan karya-karya klasik India, khususnya berkaitan watak Kakabhushundi dalam Ramacharitmanas, Yoga Vasishtha, Ramayana, dan Mahabharata.)

28 Sept 2026

Analisis: Makhluk Asing di Gurun Gobi



Cangkuk naratif ialah unsur awal yang mencetuskan rasa ingin tahu, persoalan, atau ketegangan sehingga pembaca terdorong untuk mengetahui “apa yang berlaku seterusnya”. Dalam fragmen “Makhluk Asing di Gurun Gobi” (Sastera Kavyan, 18 September 2026), pengarang menggunakan cangkuk yang berlapis: Bermula dengan suasana luar biasa, berkembang kepada kemunculan objek misteri, kemudian menghasilkan pertembungan manusia dengan makhluk asing. Kekuatan fragmen ini terletak pada hakikat bahawa persoalan muncul sebelum jawapan diberikan.

Ayat pembukaan “Langit malam di Gurun Gobi bukan lagi seperti yang pernah dirakam dalam buku-buku Geografi abad ke-20” sudah menjadi cangkuk yang berkesan. Pembaca segera berdepan dengan perubahan terhadap sesuatu yang dianggap stabil dan diketahui.

Penjelasan tentang atmosfera yang semakin nipis akibat perubahan iklim pula memberikan latar saintifik yang meyakinkan. Namun, bahasa seperti “bintang-bintang kelihatan lebih tajam dan lebih kejam” mengubah fakta kepada pengalaman imaginatif. Di sinilah prinsip defamiliarisation yang diperkatakan oleh Viktor Shklovsky sangat relevan: Seni menjadikan sesuatu yang biasa kelihatan asing supaya persepsi pembaca dapat diperbaharui.

Cangkuk kedua muncul melalui objek bercahaya yang “tidak menyerupai meteor biasa”. Teknik ini menggunakan misteri dan penangguhan maklumat. Pembaca tahu sesuatu telah berlaku, tetapi belum mengetahui hakikatnya. Objek itu kemudian diberikan sifat biologi—“memiliki ritma biologi”—sehingga persoalan mula berkembang: Adakah ia benar-benar objek? Kapal angkasa? Organisme? Makhluk hidup? Setiap jawapan atau andaian segera melahirkan persoalan baharu.

Kemunculan watak Sarnai dan komuniti nomad memperkuat cangkuk melalui konflik antara ketakutan dan rasa ingin tahu. Mereka tidak terus mendekati lokasi kerana tradisi mengajar mereka supaya berhati-hati. Namun, akhirnya “rasa ingin tahu manusia” mengatasi ketakutan.

Ini merupakan titik perubahan naratif yang penting. Dari sudut Poetics, Aristotle menegaskan bahawa plot yang baik bergerak melalui rangkaian tindakan yang mempunyai hubungan sebab-akibat, manakala kejutan paling berkesan ialah kejutan yang kemudian (secara retrospektif) dapat dilihat sebagai munasabah dalam perkembangan cerita.

Cangkuk paling kuat berlaku apabila kepompong terbuka dan watak Aruvan muncul. Penulis sengaja mengelakkan gambaran stereotaip makhluk asing berbentuk humanoid. Tubuh yang tidak simetri, membran lutsinar, dan pusat deria bercahaya menghasilkan unsur uncanny iaitu sesuatu yang dapat dikenali sebagai “makhluk” tetapi tidak dapat dikategorikan dalam pengalaman manusia. Unsur ini bukan sekadar visual, sebaliknya membina persoalan ontologi—apakah maksud “hidup”, “makhluk”, malah “manusia”?

Kemudian berlaku reversal yang lebih menarik. Makhluk yang sepatutnya ditakuti ternyata berkata, “Jangan … takut.” Konflik luaran bertukar menjadi konflik moral. Aruvan meminta “perlindungan”, lalu manusia pula menjadi pihak yang menentukan sama ada makhluk asing itu patut dipercayai. Prinsip craft yang diperkatakan Ursula K. Le Guin dalam Steering the Craft (1998) amat berguna di sini kerana beliau menekankan, naratif bukan hanya bergantung pada peristiwa tetapi juga pada bahasa, suara, sudut pandangan, dan cara maklumat disampaikan.

Sesuatu yang amat menarik ialah ayat penutup fragmen iaitu “Aruvan mula mengasingkan diri … bergerak jauh ke dalam gurun tanpa penjelasan.” Inilah cangkuk tertangguh (delayed hook) yang sebenar. Janji Aruvan untuk tidak menyakiti sesiapa telah diletakkan berhadapan atau bertentangan dengan perubahan tingkah lakunya.

Pembaca kini mempunyai sekurang-kurangnya beberapa kemungkinan bagaimana cerita akan bergerak. Aruvan mungkin sedang berkomunikasi dengan spesiesnya; mungkin sedang mengalami transformasi biologi; mungkin mencari sesuatu yang tersembunyi di Gurun Gobi; atau mungkin “perlindungan” yang dimintanya sebenarnya mempunyai makna yang berbeza daripada sangkaan manusia.

Kemungkinan yang lebih dramatik ialah Aruvan bukan pelarian, sebaliknya pendahulu kepada sesuatu yang lebih besar. “Kolektif” yang disebutnya mungkin sedang mencari atau memburu dirinya. Jika demikian, tindakan nomad menyembunyikan Aruvan akan menjadi punca konflik yang lebih besar.

Alternatif lain ialah Aruvan sedang mempelajari manusia secara pantas dan terancang. Kemampuan meniru bahasa mungkin akhirnya berkembang menjadi kemampuan meniru ingatan, emosi, atau identiti manusia.

Dengan demikian, kekuatan cangkuk naratif fragmen cerpen “Makhluk Asing di Gurun Gobi” bukan semata-mata pada kemunculan makhluk asing. Cangkuk sebenar terletak pada perubahan persoalan daripada “Apakah benda itu?” kepada “Siapakah Aruvan?” dan kemudian kepada “Mengapa dia memerlukan perlindungan?” dan akhirnya persoalan “Apakah yang sebenarnya sedang dilakukannya di gurun?”

Fragmen ini berjaya memenuhi fungsi cangkuk naratif yang utama—bukan memberikan jawapan, sebaliknya mencipta persoalan yang cukup kuat sehingga pembaca merasakan bahawa mereka perlu terus membaca untuk mendapatkan jawapan bagi pelbagai persoalan.

27 Sept 2026

Ada Apa Pada Tajuk Sebuah Cerpen?



Sebuah cerpen bermula sebelum pembaca membaca ayat pertama. Ia bermula pada tajuk. Beberapa patah perkataan yang membentuk tajuk cerpen boleh menjadi pintu masuk kepada dunia yang belum dikenal, menimbulkan persoalan, memberikan bayangan tentang watak atau konflik, malah sengaja mengelirukan pembaca sebelum segala-galanya terungkap.

Sejak awal April 2026, Uthaya Sankar SB menyiarkan petikan 28 buah cerpen baharu yang sedang diusahakan—tidak termasuk empat cerpen yang dimuatkan dalam antologi Caritra (2026). Cerpen-cerpen ini akan diundi dan akhirnya 15 cerpen dijangka diterbitkan dalam sebuah buku, sebagaimana diterangkan di sini.

Tajuk-tajuk cerpen yang disenaraikan memperlihatkan kecenderungan yang menarik: Ada tajuk bersifat misteri, ada yang provokatif, ada yang berakar pada mitologi dan tradisi, ada tajuk yang menggunakan nama tempat sebagai penanda, manakala sebahagian lagi sengaja bermain dengan ironi.

Sekiranya diteliti, kebanyakan tajuk cerpen tidak memberikan maklumat seluruh jawapan. Sebaliknya, tajuk cerpen mencipta soalan yang memaksa pembaca meneruskan pembacaan; membaca petikan awal cerpen yang juga memiliki cangkuk naratif tersendiri.

“Bayangan Guruji” ialah tajuk yang sederhana pada permukaan tetapi mempunyai ruang tafsiran yang luas. “Bayangan” bukan sekadar sesuatu yang kelihatan apabila cahaya terhalang. Dalam cerpen ini, watak Guruji hadir sebagai tokoh yang menguasai fikiran, ketakutan, dan tindakan orang lain, sementara watak Rajan cuba menyelidik sisi gelap sebuah kultus yang dikelilingi dakwaan dan ugutan.

Bayangan itu akhirnya boleh dibaca sebagai pengaruh, ancaman, ketakutan, atau suatu misteri yang terus mengikuti manusia walaupun tidak kelihatan pada mata kasar. Watak Rajan bukan sekadar menulis tentang Guruji; dia menulis sambil terpaksa berhadapan dengan akibat (kesan) daripada tulisannya sendiri. Justeru, tajuk cerpen ini menarik kerana ia tidak mendedahkan rahsia, sebaliknya mencipta suasana bahawa ada sesuatu yang sedang mengintai dari sebalik cerita.


Sindirin Sosial Tersirat

Tajuk “Kutti Masuk Kandang Babi” pula mempunyai kekuatan yang berbeza. Ia segera menghasilkan sebuah gambaran yang pelik, lucu, dan sedikit kasar di mana seekor kambing bernama Kutti berada di tempat yang sepatutnya bukan miliknya. Keanehan visual menjadi umpan yang sangat berkesan kerana pembaca secara spontan mahu mengetahui bagaimana dan mengapa Kutti boleh masuk ke kandang babi.

Pada masa sama, tajuk ini mempunyai lapisan alegori yang menjadikan “kandang” bukan lagi sekadar kandang, manakala haiwan-haiwan di dalamnya boleh dibaca sebagai gambaran masyarakat dan kuasa. Tajuk ini berjaya kerana ia boleh dinikmati pada tingkat cerita haiwan yang ganjil sebelum pembaca menyedari adanya sindiran sosial yang lebih tajam.

Tajuk “Penyembah Batu Hitam” memiliki daya tarikan melalui dua unsur yang sangat mudah divisualkan iaitu penyembah dan batu hitam. Keputusan membuang perkataan “berhala” daripada tajuk asal menjadikannya lebih kuat kerana pembaca tidak lagi diberitahu terlebih dahulu bahawa batu itu ialah objek sembahan.

Maka, “batu hitam” menjadi objek misteri, sementara “penyembah” menimbulkan persoalan tentang manusia yang sanggup memberikan kepercayaan kepada objek tersebut. Tajuk ini juga memiliki unsur mitos dan keagamaan tanpa perlu menerangkan sistem kepercayaan yang menjadi latar cerita. Ada sesuatu yang gelap, keras, dan tidak bergerak pada “batu” tetapi manusia di sekeliling (“penyembah”) yang memberikannya kuasa. Di situlah letaknya daya tarikan pada tajuk ini.

“Lelaki Bertanduk di Synagogue Lane” barangkali antara tajuk cerpen yang paling segera menghasilkan gambaran dalam fikiran pembaca. “Lelaki bertanduk” sudah cukup untuk menimbulkan persoalan, lalu penambahan “Synagogue Lane” menjadikan gambaran itu lebih khusus, bersejarah, dan aneh. Pembaca tidak diberikan ‘lelaki biasa’ di ‘jalan biasa’. Sebaliknya, pembaca dibawa ke sebuah lokasi yang namanya sendiri mempunyai getaran sejarah dan budaya.

Kemudian, muncul pula sosok seorang lelaki dengan ciri fizikal yang luar biasa. Gabungan manusia, lokasi, dan keanehan fizikal menjadikan tajuk cerpen ini seolah-olah permulaan sebuah legenda bandar (urban legend). Ia mempunyai daya tarikan misteri yang sangat kuat kerana pembaca ingin mengetahui sama ada “tanduk” itu benar-benar wujud, apakah maknanya, dan mengapa lelaki itu berada di situ.

Tajuk “Free the Bitches!” mempunyai tenaga yang sama sekali berbeza. Ia berbunyi seperti slogan demonstrasi, seruan aktivis, atau tulisan pada sepanduk demonstrasi jalanan. Perkataan “bitches” pula sengaja membawa konotasi kasar dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam cerita ia mempunyai hubungan literal dengan anjing betina dan pada masa sama membuka ruang pembacaan simbolik tentang kuasa, tubuh, dan penindasan.


Menyentuh Emosi dan Pancaindera

Kejayaan tajuk ini terletak pada unsur provokasi di mana pembaca mungkin berasa geli, terhibur, atau tertanya-tanya, tetapi pada masa sama sukar untuk tidak berhenti seketika apabila melihat tajuk ini. Tanda seru menambahkan nada pemberontakan. Ini bukan tajuk yang meminta pembaca duduk diam; sebaliknya seolah-olah menjerit kepada pembaca sebelum cerita bermula.

Tajuk “Bacha-ye Khoshtip” pula memilih jalan yang berbeza kerana ia tidak menerangkan dirinya (makna tajuk) kepada pembaca. Frasa yang berasal daripada lingkungan bahasa dan budaya Afghanistan menjadi sebahagian daripada pengalaman watak Zaryab, seorang lelaki Afghanistan yang bekerja di Taiping, Perak.

Di sini, istilah/frasa bahasa asing bukan sekadar hiasan eksotik. Sebaliknya dipilih secara sengaja agar menjadi pintu masuk kepada persoalan identiti, bahasa, budaya, dan pengalaman peribadi watak Zaryab. Pembaca yang tidak mengetahui maknanya terpaksa memasuki dunia Zaryab dengan rasa ingin tahu.

Dalam konteks ini, ketidakfahaman awal bukan kelemahan, sebaliknya satu strategi cangkuk naratif (narrative hook). Tajuk ini sendiri memberitahu kita bahawa cerita ini tidak akan sepenuhnya tunduk kepada keselesaan pembaca; pembaca perlu bersedia mendekati dunia watak yang berbeza.

Tajuk “Menikmati Pau di Svarga” memiliki keanehan yang hampir lucu sebelum cerita mula dibaca. Pau ialah makanan orang Cina yang sangat biasa dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, sedangkan svarga membawa bayangan alam kayangan atau alam kebahagiaan dalam tradisi India-Hindu. Apabila dua dunia itu digabungkan, terhasil satu tajuk yang absurd tetapi memikat.

Mengapa pau berada di svarga? Siapa yang menikmatinya? Mengapa makanan biasa diberikan kedudukan yang begitu tinggi? Pertentangan antara objek (makanan) biasa dengan svarga yang kosmik memberikan tajuk cerpen ini daya humor dan keanehan. Pada masa sama, makanan dalam cerita mungkin bukan sekadar makanan. Ia boleh menjadi objek keinginan, ingatan, dan simbol. Tajuk yang ringan ketika pertama kali dilihat, kemudian membuka ruang yang lebih luas sebaik cerita mula dibaca.

Tajuk “Abu Jadi Abu, Debu Jadi Debu” membawa pembaca ke medan makna yang lebih purba dan lebih berat kerana menyentuh soal kematian, pembakaran, jasad, dan kefanaan. Pengulangan frasa tersebut mempunyai rentak seperti ungkapan ritual atau pengakuan tentang hakikat bahawa manusia akhirnya kembali menjadi unsur bumi; seperti konsep agama Kristian dan Hindu.

Maka, tajuk ini tidak perlu dipaksa menjadi lebih moden atau lebih misteri. Kekuatannya terletak pada gema kematian yang sudah terkandung dalam kata “abu” dan “debu”. Apabila pembaca kemudian berhadapan dengan kisah kehilangan dan akibat daripada insiden yang dianggap telah berakhir, tajuk ini memperoleh lapisan emosi yang lebih dalam. Ia mengingatkan kita bahawa manusia boleh cuba menyembunyikan sesuatu, tetapi kematian dan kehilangan mempunyai cara sendiri untuk meninggalkan kesan.


Menyajikan Kepelbagaian

“Belon Merah di Pentas” merupakan tajuk yang kuat kerana ia memilih satu imej khusus daripada dunia cerita dan bukan sekadar menerangkan bahawa cerita berlaku dalam sebuah drama kanak-kanak seperti pada tajuk asal (“Di Pentas Drama Kanak-kanak”). Belon merah mempunyai sifat visual yang segera: kecil, terang, ringan, dan mudah terapung.

Namun, apabila diletakkan “di pentas”, benda yang pada asalnya ceria (“belon merah”) boleh berubah menjadi simbol, petunjuk, atau imej yang mengganggu. Warna merah pula tidak perlu ditafsirkan secara tunggal. Ia boleh membawa makna kegembiraan, darah, bahaya, kenangan, atau kehilangan. Tajuk ini menarik kerana pembaca melihat belon itu terlebih dahulu, tetapi belum mengetahui apa sebenarnya yang sedang berlaku di sekelilingnya.

Tajuk cerpen “Rawan: The Untold Story” memperoleh kekuatan melalui lapisan intertekstual. Frasa “The Untold Story” mengingatkan pembaca kepada bahasa promosi filem biografi dan mungkin secara khusus menjadi satira (atau penghormatan) kepada filem propaganda sebenar berjudul Anwar: The Untold Story (2023). Dengan itu, tajuk ini sengaja meminjam bunyi sebuah karya yang sudah dikenali untuk menghasilkan permainan makna baharu.

Nama “Rawan” pada tajuk cerpen membawa pembaca ke dunia watak dan cerita, sementara “The Untold Story” menjanjikan bahawa apa yang bakal dibaca mungkin bertentangan dengan versi rasmi, popular, atau apa yang selama ini diketahui umum. Tajuk ini berfungsi sebagai pintu kepada cerita, malah pada masa sama sebagai jenaka sastera yang hanya benar-benar terasa apabila pembaca mengenali rujukan intertekstual.

Tajuk “Hidup Dikandung Tanah” ada sifat puitis yang menarik kerana “tanah” pada tajuk ini tidak lagi sekadar merujuk kepada permukaan bumi. Tanah menjadi tempat kehidupan dikandung, tempat sejarah berakar, dan tempat manusia bertembung dengan soal identiti, pemilikan, serta kuasa.

Tajuk ini juga mempunyai gema ungkapan lama tentang manusia yang akhirnya kembali kepada tanah, tetapi susunan “hidup dikandung tanah” memberikan arah yang berbeza kerana tanah bukan hanya tempat manusia mati, tetapi juga tempat kehidupan bermula. Cerita yang mengaitkan tanah, masyarakat, dan konflik pemilikan tanah menjadikan tajuk ini ada makna literal dan simbolik.

“Maka Kami, Rakyat …” mungkin antara tajuk yang paling menarik dari segi bentuk. Tanda elipsis pada hujung tajuk amat penting. Tajuk ini kelihatan seperti permulaan sebuah deklarasi, manifesto, atau dokumen kenegaraan, tetapi ia sengaja tidak diselesaikan. Pembaca dipaksa bertanya: “Maka kami, rakyat … apa?”


Tiada Batas Mitos, Legenda, Sejarah

Tiga titik itu (elipsis) menjadi ruang kosong yang perlu diisi oleh cerita. Tajuk ini juga mempunyai nada kolektif yang besar, sedangkan pembaca belum tahu siapa “Kami” dan siapa yang bercakap bagi pihak “Rakyat”. Kekuatan utama ialah ia menjadikan pembaca sebahagian daripada proses melengkapkan makna. Tajuk belum selesai kerana persoalan dalam cerita juga belum selesai.

Tajuk “Apa yang Telah Kau Lakukan, Karuppar?” memilih bentuk pertanyaan yang lebih langsung dan emosional. Penggunaan kata ganti “kau” menjadikan tajuk terasa seperti seseorang sedang berhadapan dengan Karuppar dan menuntut jawapan daripadanya. Pertanyaan itu juga mengandaikan bahawa sesuatu telah berlaku.

Pembaca tidak perlu mengetahui dahulu apakah kesalahan, pengkhianatan, atau rahsia yang sedang dipersoalkan; sebaliknya, cukup dengan perkataan “apa” untuk mencetuskan rasa ingin tahu. Nama “Karuppar” pula membawa unsur budaya dan mitologi yang tersendiri. Tajuk ini tidak bertanya siapa Karuppar, tetapi apa yang telah dilakukannya. Dengan itu, rasa bersalah atau kecurigaan sudah wujud sebelum cerita disajikan.

Tajuk “Puteri Manora dari Bachok” menarik kerana menggabungkan dunia legenda dengan geografi yang sangat khusus. “Puteri Manora” membawa bayangan seni persembahan tradisional, mitos, dan dunia istana, sedangkan “dari Bachok” meletakkannya di sebuah ruang tempatan yang nyata. Pertembungan antara mitos dan tempat sebenar menjadi umpan (bait) utama.

Pembaca mungkin mengenali manora atau menora sebagai sebahagian daripada warisan budaya di rantau ini, tetapi tambahan “dari Bachok” mencipta persoalan baharu iaitu siapakah puteri itu dan bagaimana sebuah figura yang hampir mitologis boleh dikaitkan dengan Bachok, Kelantan? Tajuk ini berjaya kerana ia tidak mengasingkan tradisi daripada realiti tempatan; kedua-duanya hidup dalam satu frasa.

Tajuk “Dari Celah Dinding Lokap” mempunyai kekuatan dari segi sudut pandangan. Pembaca seolah-olah diberikan mata yang sama dengan pencerita untuk melihat dunia bukan dari ruang terbuka, sebaliknya dari celah dinding. Frasa “celah dinding” segera memberikan perasaan terhad, tersembunyi, dan tidak lengkap. Kita tidak melihat keseluruhan dunia; hanya melihat apa yang dapat dilihat melalui ruang sempit itu.

Tambahan pula, “lokap” membawa konotasi penahanan, kesalahan, dan rahsia. Tajuk cerpen ini tidak menjelaskan siapa yang berada di sebalik dinding atau apa yang dilihat pencerita. Ia hanya membuka sebuah ruang pemerhatian yang sempit, lalu membiarkan pembaca tertanya-tanya apakah kebenaran yang boleh dilihat dari situ.


Makna Perkataan Tidak Perlu Dijelaskan

“Mengangkat Syiar Kod Suci Empayar” pula mempunyai bunyi yang sengaja megah dan rasmi. Kata “syiar”, “kod suci”, dan “empayar” menghasilkan bahasa yang seolah-olah datang daripada teks keagamaan atau dokumen propaganda sebuah kuasa besar. Justeru, tajuk ini sendiri sudah membawa nada ideologi.

Apabila cerita memperlihatkan bagaimana bahasa suci dan istilah besar boleh digunakan untuk memperakukan kekerasan, tajuk cerpen ini memperoleh ironi yang semakin jelas. Ia menarik bukan kerana menjanjikan cerita pengembaraan semata-mata, tetapi kerana pembaca boleh mengesyaki bahawa apa yang dipanggil “suci” mungkin menyembunyikan sisi yang jauh lebih gelap.

Tajuk “Nyanyian di Ladang” lebih lembut berbanding beberapa tajuk lain dalam perbincangan ini, tetapi kelembutan itu memiliki kekuatan tersendiri. “Nyanyian” boleh merujuk kepada suara manusia, bunyi alam, bunyi alat menoreh, kenangan, atau sesuatu yang tidak dapat dikenal pasti. “Ladang” pula memberikan ruang fizikal yang luas tetapi juga membawa sejarah sosial, ekonomi, dan pengalaman pekerja.

Dua perkataan itu—nyanyian dan ladang—mencipta suasana (situation) tanpa menerangkan plot (jalan cerita). Pembaca dapat membayangkan pokok, tanah, bunyi pagi, dan manusia yang bekerja, tetapi belum tahu apakah “nyanyian” yang akan mereka dengar. Tajuk seperti ini mampu memancing pembaca melalui suasana, bukan kejutan.

Cerpen “Paramatma” memilih satu perkataan yang berat dengan muatan falsafah sebagai tajuk. Ia tidak menerangkan watak, tempat, atau konflik secara langsung. Sebaliknya, tajuk ini membuka persoalan tentang diri, jiwa, Tuhan, kematian, dan hubungan antara individu dengan kuasa yang lebih besar daripada dirinya.

Dalam cerpen yang membicarakan persoalan kematian dan kesedaran selepas kematian, istilah tersebut menjadi lebih daripada nama atau konsep; ia menjadi kunci untuk memahami perjalanan batin cerita. Daya tarik tajuk ini terletak pada misterinya. Pembaca yang mengetahui makna perkataan paramatma akan segera tertarik kepada dimensi falsafah; pembaca yang tidak mengetahui maknanya pula ada alasan untuk mencari makna dengan membaca cerpen ini sepenuhnya.

Cerpen “Satyaseelan” pula menggunakan nama watak sebagai tajuk. Pada pandangan pertama, ia mungkin kelihatan sederhana, tetapi nama watak menjadi semakin bermakna apabila pembaca mengikuti perjalanan hidupnya.

Satyaseelan ialah pegawai penjara muda yang memasuki sistem dengan latar dan harapan tertentu sebelum berhadapan dengan realiti kuasa, rasuah, dan penyeludupan. Nama itu kemudian tidak lagi sekadar pengenalan individu; ia menjadi sebahagian daripada persoalan moral cerita.


Makhluk Asing dan Manusia Bumi

Tajuk berupa nama orang atau watak mempunyai kelebihan kerana pembaca mahu mengetahui siapakah individu itu, apakah yang akan berlaku kepadanya, dan sejauh mana dia mampu mempertahankan diri dalam sistem yang mengujinya dari pelbagai sudut.

Tajuk “Makhluk Asing di Wang Kelian” mempunyai narrative hook yang sangat jelas. “Makhluk asing” terus membawa pembaca ke wilayah fiksyen sains, tetapi “Wang Kelian” mengheret imaginasi itu kembali ke lokasi yang dikenali di Malaysia. Gabungan global dan tempatan itulah kekuatan pada tajuk ini.

Lebih menarik lagi, “makhluk asing” dalam cerita tidak semestinya hanya berfungsi untuk menghasilkan rasa kagum terhadap kehidupan luar. Lokasi dan sejarah manusia yang dibawa ke dalam cerita memungkinkan pembaca memikirkan semula siapa sebenarnya yang “asing”.

Adakah makhluk dari luar lebih asing daripada kekejaman yang dilakukan manusia sendiri? Tajuk cerpen ini cukup jelas untuk memancing minat pembaca tetapi masih cukup terbuka untuk membolehkan cerita mengembangkan makna “asing” itu sendiri seterusnya.

Tajuk “Abhirami Anthathi” pula mempunyai kekuatan yang sangat berbeza kerana tajuk itu sendiri sudah membawa pembaca ke lingkungan tradisi Tamil. “Abhirami” mengingatkan kepada dewi dan tradisi pemujaan, manakala “Anthathi” merujuk kepada bentuk puisi Tamil yang mempunyai struktur khas.

Bagi pembaca yang mengenali tradisi tersebut, tajuk cerpen ini segera membangkitkan dunia agama, puisi tradisional, dan budaya. Bagi pembaca yang tidak mengenalinya, istilah itu menjadi misteri yang perlu diteroka. Cerita yang berkaitan dengan kuil, hutang, hubungan manusia, dan tragedi menjadikan tajuk ini bukan sekadar rujukan budaya, malah sebahagian daripada rangka simbolik cerita.

Sementara itu, “Karuppan: After the Rain” menggunakan tajuk dwibahasa dengan kesan sinematik tersendiri. Nama “Karuppan” memberikan identiti manusia dan budaya, sementara “After the Rain” mencipta suasana. Hujan biasanya membawa makna pembersihan, kesegaran, atau permulaan baharu, tetapi dalam cerita yang dibayangi misteri dan kematian, keadaan selepas hujan mungkin boleh membawa makna yang lebih gelap.

Suatu peristiwa mungkin telah berlaku ketika hujan turun dan apa yang tinggal selepas itu adalah kesan, rahsia, atau bukti. Justeru, “After the Rain” bukan sekadar penanda masa. malah menimbulkan persoalan: Apakah yang sebenarnya tinggal selepas hujan berhenti?


Unsur Ganjil dan Absurd

Tajuk cerpen “Menunggu Tuan Datuk” menggunakan kata kerja yang sangat biasa tetapi menjadikannya pusat persoalan: menunggu. Menunggu siapa? Mengapa Tuan Datuk perlu ditunggu? Adakah Tuan Datuk benar-benar akan datang? Dan apakah yang akan berlaku sekiranya dia tidak datang? Adakah akan berlaku seperti dalam drama pentas Waiting for Godot oleh Samuel Beckett?

Bagi sebuah cerpen yang meletakkan watak di ruang yang mempunyai unsur ganjil dan absurd, tajuk ini memang menjadi lebih menarik kerana sesuatu yang biasa berubah menjadi persoalan eksistensial. Frasa “Tuan Datuk” pula mempunyai nada sosial yang khas. Gelaran itu boleh membawa bayangan kuasa, status, dan penghormatan, tetapi pembaca belum tahu sama ada tokoh tersebut benar-benar berkuasa atau hanya satu nama yang terus ditunggu.

Tajuk “Dari Stonewall Inn ke Kuala Lumpur” memiliki kekuatan melalui konsep perjalanan. Dua lokasi yang muncul dalam tajuk itu bukan sekadar titik pada peta. Stonewall Inn membawa sejarah tertentu berkaitan perjuangan hak dan identiti seksual, manakala Kuala Lumpur membawa pembaca kepada konteks sosial dan budaya Malaysia.

Frasa “dari … ke …” menjanjikan perjalanan atau perpindahan, namun pembaca juga boleh menjangkakan perpindahan pengalaman, pemikiran, dan identiti. Tajuk ini juga menarik kerana ia tidak memberitahu apakah yang berlaku sepanjang perjalanan tersebut. Sebaliknya hanya menetapkan dua kutub dan membiarkan cerita mengisi jarak di antara kedua-duanya.

Tajuk “Makhluk Asing di Gurun Gobi” tetap menarik walaupun terdapat satu lagi cerpen berjudul “Makhluk Asing di Wang Kelian” dalam perbincangan ini. Pengulangan struktur tajuk itu sebenarnya boleh menjadi daya tarikan tersendiri. Kedua-dua cerita tersebut tidak ada hubungan naratif tetapi persamaan frasa menghasilkan gema yang menarik.

Wang Kelian dan Gurun Gobi ialah dua ruang yang sangat berbeza kerana satu ialah lokasi sempadan yang dekat dengan pengalaman Malaysia, manakala satu lagi ialah kawasan gurun yang luas dan asing. Pembaca mungkin secara spontan membandingkan kedua-dua cerita, lalu bertanya apakah yang dimaksudkan dengan “asing” dalam setiap satu.

Pengulangan frasa “makhluk asing” tidak semestinya kelemahan; sebaliknya boleh berfungsi sebagai motif yang membuat pembaca berhenti dan membuat perbandingan. Namun begitu, sama ada kedua-dua cerpen ini akan termuat dalam kumpulan cerpen yang sedang diusahakan adalah bergantung kepada undian oleh penyumbang modal sosial.

Tajuk cerpen “Perjanjian dalam Gelap” mempunyai permainan makna yang halus. Pada lapisan pertama, “perjanjian” merujuk kepada Perjanjian Marrakesh, manakala “gelap” merujuk kepada pengalaman watak-watak yang buta.


Lapis Demi Lapis Makna

Tetapi tajuk ini tidak berhenti pada makna literal. “Gelap” juga boleh dibaca sebagai keadaan sesuatu yang tidak kelihatan, tidak diketahui, atau berlaku di luar pandangan umum. Justeru, tajuk ini menggabungkan isu hak membaca dan akses kepada bahan penerbitan dengan pengalaman fizikal watak yang tidak dapat melihat.

Keistimewaannya ialah kedua-dua lapisan itu tidak perlu dijelaskan dalam tajuk cerpen. Pembaca hanya akan menyedari hubungan antara “perjanjian” dan “gelap” apabila memasuki cerita. Dalam hal ini, tajuk yang ringkas ini sebenarnya menyimpan struktur idea yang agak kompleks.

Tajuk “Wanita Tua yang Datang Bersama Gagak” memuatkan ciri yang sangat sesuai dengan fiksyen aneh. Ia mengambil dua imej yang pada asalnya biasa iaitu seorang wanita tua dan seekor gagak. Namun, apabila kedua-duanya digabungkan dalam bentuk “datang bersama”, hubungan kedua-duanya menjadi pelik. Apakah gagak itu haiwan biasa? Apakah wanita itu sekadar wanita tua? Adakah kedatangan mereka kebetulan atau petanda?

Tajuk cerpen ini tidak memberikan jawapan, malah sengaja mengekalkan ketidakpastian. Gagak sendiri mempunyai sejarah panjang sebagai lambang kematian, petanda, kebijaksanaan, dan hidupan yang berada di antara dunia manusia dan dunia yang tidak diketahui. Oleh itu, tajuk ini sudah menyediakan suasana (situation) sebelum cerita bermula.

[Baca juga fiksyen spekulatif “Kaka Smriti” dan “Kakabhushundi”]

Akhir sekali, tajuk “Tuan Maxwell dan Surat Chiri” mempunyai daya tarikan yang bersumber daripada sejarah, misteri, dan pertemuan antara manusia dengan dokumen lama. Surat Chiri bukan sekadar surat biasa. Dalam catatan William Edward Maxwell, ia dikaitkan dengan kepercayaan bahawa dokumen misteri itu merupakan sebahagian daripada khazanah diraja Perak dan keselamatan kerajaan bergantung kepadanya. Maxwell turut merekodkan bahawa dokumen itu—Surat Chiri—dibaca ketika pelantikan pemegang jawatan penting negeri.

Dengan itu, tajuk sebuah fiksyen yang mempertemukan “Tuan Maxwell” dengan “Surat Chiri” terus membuka pintu kepada dunia kolonial, istana, manuskrip, kepercayaan lama, pembesar Melayu, dan rahsia yang hampir hilang daripada ingatan. Ia mempunyai daya tarikan khusus kerana kedua-dua unsur dalam tajuk itu benar-benar mempunyai sejarah, walaupun cerpen spekulatif ini mungkin menggali ruang yang belum diterokai di antara fakta, legenda, dan imaginasi.


Menawarkan Sisa dan Serpihan

Jika kesemua 28 tajuk ini dilihat bersama, kekuatan yang paling ketara ialah kepelbagaian cara Uthaya mencengkam minat pembaca. Tajuk seperti “Bayangan Guruji” menggunakan misteri, “Kutti Masuk Kandang Babi” menggunakan absurditi, “Lelaki Bertanduk di Synagogue Lane” menggunakan imej ganjil, “Free the Bitches!” menggunakan provokasi, “Bacha-ye Khoshtip” menggunakan bahasa dan identiti budaya, “Menikmati Pau di Svarga” menggunakan percanggahan yang lucu, “Abu Jadi Abu, Debu Jadi Debu” menggunakan gema kematian, “Maka Kami, Rakyat …” menggunakan ayat yang sengaja tidak diselesaikan, manakala “Apa yang Telah Kau Lakukan, Karuppar?” menggunakan pertanyaan yang sudah mengandungi tuduhan.

Lebih menarik lagi, Uthaya tidak takut menggunakan nama, tempat, dan istilah yang khusus. Tajuk seperti “Puteri Manora dari Bachok”, “Makhluk Asing di Wang Kelian”, “Makhluk Asing di Gurun Gobi”, “Dari Stonewall Inn ke Kuala Lumpur”, dan “Tuan Maxwell dan Surat Chiri” membuktikan bahawa lokasi boleh menjadi sebahagian daripada daya imaginasi pada tajuk cerpen.

Bagi Uthaya, tempat bukan sekadar latar; sebaliknya tempat memberikan identiti kepada cerita. Apabila Wang Kelian dipertemukan dengan makhluk asing, atau Gurun Gobi dipertemukan dengan makhluk yang sama-sama asing, pembaca mula melihat tempat itu melalui lensa baharu.

Kesemua tajuk cerpen yang diperkatakan ini juga mempunyai satu persamaan yang penting: Rata-rata tidak cuba memberitahu (tell) pembaca segala-galanya. Sebaliknya, tajuk menawarkan sisa atau serpihan. Sebuah bayangan. Seekor kambing di dalam kandang babi. Batu hitam. Lelaki bertanduk. Seekor gagak. Belon merah. Sepucuk surat. Satu dokumen perjanjian. Sebuah gurun. Seorang puteri. Seorang lelaki yang ditunggu. Serpihan-serpihan atau sisa-sisa inilah yang membina rasa ingin tahu. Pembaca belum mengetahui keseluruhan cerita tetapi sudah diberikan bahan untuk dibayangkan—sebelum membaca perenggan pertama.

Dalam dunia penerbitan yang sering bergantung kepada tajuk yang mudah dijelaskan, kekuatan cerpen-cerpen Uthaya terletak pada keberanian membiarkan sebahagian tajuk kekal ganjil, asing, atau tidak selesai. Lihat juga tajuk-tajuk cerpen dalam buku Cerpen (2024), Sebelas Amanat Swamiji (2025), dan Siapa Bunuh Veer Singh? (2026) sebagai contoh.

Tajuk cerpen yang baik tidak semestinya tajuk yang menjelaskan cerita dengan tepat. Kadang-kadang, tajuk yang baik ialah tajuk yang mampu membuat pembaca berhenti seketika, mengerutkan dahi, tersenyum, berasa pelik, atau bertanya-tanya dalam hati: Apa sebenarnya yang berlaku di sini?

Apabila tajuk sebuah cerpen berjaya menimbulkan soalan seperti itu, tugas pertama sastera sudah selesai: Pembaca sudah membuka pintu dan sedia memulakan pembacaan serta meneroka dunia yang menakjubkan.

Nota: Daripada 28 buah cerpen ini, sejumlah 15 buah sahaja dijangka dimuatkan dalam kumpulan cerpen yang sedang diusahakan. Pemilihan dilakukan secara demokrasi meneusi undian oleh penyumbang modal sosial—maklumat di sini.

26 Sept 2026

Analisis—Kultus Keamanan



Cerpen “Kultus Keamanan” (Sebelas Amanat Swamiji, 2025) bukan sekadar kisah tentang sebuah kumpulan ajaran sesat yang dipimpin oleh Datuk Swamiji. Cerpen ini merupakan kritikan sosial terhadap penyalahgunaan agama, kepercayaan, ketaksuban, dan kuasa oleh seorang pemimpin yang memanipulasi pengikut demi kepentingan diri.

Melalui watak Swamiji, pengarang memperlihatkan bagaimana seorang individu yang tidak mempunyai kewibawaan ilmu boleh mencipta imej sebagai tokoh agama, membina pengaruh, dan akhirnya mengawal pemikiran serta tingkah laku pengikut.

Manipulasi pertama yang jelas ialah penipuan terhadap autoriti ilmu. Swamiji mendakwa, semua perkara yang disampaikannya merupakan fakta yang terbukti secara saintifik, sedangkan dia sendiri mengakui bahawa hujahnya bukan saintifik dan dia bukan ahli sains. Lebih ironis, dalam cerpen ini, dia digambarkan sebagai seorang yang buta huruf.

Apabila pengikut bertanya tentang dinosaur, Swamiji dengan mudah menafikan kewujudannya kerana perkara itu tidak tercatat dalam buku-bukunya. Apabila ditanya tentang planet dan kehidupan di luar Bumi pula, dia mengelak daripada memberikan jawapan dan mengarahkan pengikut membeli buku yang ditulis oleh pengikutnya.

Teknik ini menunjukkan satu bentuk pseudoautoriti. Swamiji tidak membuktikan kebenaran dakwaannya melalui ilmu atau bukti, sebaliknya meminta pengikut menerima kata-katanya kerana dia ialah pemimpin. Lebih berbahaya, dia menggunakan keyakinan yang keterlaluan untuk menutup kelemahan pengetahuan sendiri. Apabila sesuatu persoalan tidak dapat dijawab, persoalan itu pula dianggap tidak penting atau tidak wujud.

Manipulasi kedua ialah memutarbelitkan sumber agama dan sejarah. Watak Swamiji mengambil cerita daripada pelbagai tradisi, termasuk Hindu, Kristian, dan Greek, kemudian mengolahnya semula untuk membina naratif yang menguntungkan kultusnya. Kisah Jesus, misalnya, diubah menjadi cerita bahawa Jesus akan lahir semula sebagai avatara untuk mengiktiraf dan mempromosikan kultus Swamiji. Malah, Swamiji membuat dakwaan yang lebih melampau bahawa ajarannya merupakan sumber kepada kitab Hindu, Buddha, dan Kristian.

Di sini berlaku penyelewengan autoriti tradisi. Swamiji meminjam kewibawaan teks dan tokoh agama yang sudah dikenali masyarakat untuk memberikan legitimasi kepada dirinya sendiri. Pada masa sama, dia menampilkan dirinya sebagai individu yang mempunyai hubungan istimewa dengan para dewa. Dengan cara itu, pengikut didorong mempercayai bahawa tindakan menentang Swamiji bererti menentang sumber ketuhanan yang kononnya memberikan ilmu kepadanya.

Manipulasi seterusnya ialah mencipta rasa eksklusiviti dan kepatuhan kelompok. Ceramah tertentu hanya dibuka kepada pengikut terpilih yang sudah lama menyertai kultus. Penggunaan istilah seperti “ceramah khas” dan pertemuan tertutup mewujudkan tanggapan bahawa pengikut tertentu memiliki pengetahuan yang tidak diketahui orang luar. Dalam keadaan sedemikian, seseorang pengikut mungkin berasa dirinya istimewa dan semakin terikat dengan kelompok.

Swamiji juga memanfaatkan ketakutan (fear). Dia menggambarkan sesiapa yang menentang kultus sebagai musuh yang perlu ditentang dan dihapuskan. Pada masa sama, dia mengaitkan kultus dengan pengaruh kongsi gelap, pihak berkuasa, dan politikus tertentu.

Cerpen “Kultus Keamanan” menggambarkan bagaimana pengaruh sedemikian digunakan untuk mengatasi bantahan atau larangan. Keadaan ini menghasilkan suasana psikologi yang menyebabkan pengikut berasa bahawa tindakan meninggalkan atau mendedahkan kelemahan kultus mungkin membawa akibat buruk kepada diri.

Apa yang lebih serius ialah manipulasi moral. Swamiji secara terbuka membenarkan pengikut berbohong apabila sumpah tersebut dibuat demi kepentingan kultus. Dia malah mendakwa para dewa akan mengampunkan dosa mereka kerana pembohongan itu dilakukan untuk melindungi organisasi.

Dengan demikian, sempadan antara benar dan salah sengaja dihapuskan. Prinsipnya mudah: Apa-apa tindakan boleh dianggap betul sekiranya menguntungkan kultus.

Watak Swamiji turut memanipulasi keinginan seksual pengikut. Dia membenarkan kewujudan gundik, pertukaran pasangan, dan pelbagai hubungan seksual dengan syarat semuanya dirahsiakan daripada masyarakat luar.

Dalam konteks kultus, kuasa seksual seperti ini bukan sekadar soal moral peribadi. Ia memperlihatkan bagaimana pemimpin kultus menggunakan kedudukannya untuk menentukan sempadan tingkah laku pengikut dan memberikan dirinya sendiri kuasa untuk mendefinisikan apa yang dianggap “dibenarkan”, “dihalalkan”, atau “diharamkan”.

Akhir sekali, watak Swamiji menggunakan ganjaran ghaib dan ancaman akhirat. Dia menjanjikan svarga kepada mereka yang berjuang menyebarkan kultus, sementara orang yang tetap berpegang kepada Sanatana Dharma (Hinduisme) kononnya akan dihantar ke naraka. Dengan menjadikan “keselamatan selepas kematian” sebagai ganjaran, Swamiji mengubah kepercayaan agama menjadi alat kawalan terhadap pengikut kultus berkenaan.

Adakah keadaan seperti digambarkan dalam cerpen “Kultus Keamanan” boleh berlaku dalam realiti? Ya, secara prinsipnya boleh berlaku. Kultus tidak semestinya bermula dengan pemimpin yang kelihatan jahat. Ia boleh bermula dengan seseorang yang mendakwa mempunyai pengetahuan istimewa, menawarkan jawapan mudah kepada persoalan kehidupan, dan secara beransur-ansur membina hubungan kebergantungan dengan pengikut.

Manipulasi menjadi semakin berbahaya apabila pemimpin kultus menuntut ketaatan mutlak, menghalang kritikan, mengasingkan pengikut daripada pandangan luar, dan meyakinkan mereka bahawa hanya kumpulan sendiri mempunyai kebenaran, manakala orang di luar kultus adalah “salah” dan “jahat”.

Oleh itu, pengikut mana-mana kumpulan ajaran, agama, atau kultus perlu mengekalkan pemikiran kritis. Dakwaan agama, saintifik, atau sejarah tidak sepatutnya diterima hanya kerana disampaikan oleh tokoh yang mempunyai gelaran atau pengikut yang ramai.

Sumber sahih perlu diperiksa, pertanyaan perlu dibenarkan, dan pemimpin perlu bersedia menerima kritikan. Sebarang unsur penipuan, keganasan, eksploitasi seksual, pemerasan, ancaman, atau penyalahgunaan kuasa pula perlu dianggap sebagai tanda amaran yang serius bahawa kultus itu sebenarnya ajaran sesat yang membinasakan.

Dalam cerpen ini, watak Swamiji berjaya membina kultus bukan kerana dia mempunyai ilmu yang benar, sebaliknya kerana dia mahir mengeksploitasi kelemahan manusia: Keinginan untuk mempunyai jawapan, rasa ingin menjadi istimewa, ketakutan, nafsu, kepercayaan kepada kuasa ghaib, dan kecenderungan untuk menurut kelompok.

Maka, mesej utama yang disampaikan secara tersirat menerusi cerpen “Kultus Keamanan” ialah hakikat kepercayaan tanpa pemikiran kritis boleh berubah menjadi alat penindasan. Apabila seorang pemimpin kultus menuntut agar dirinya tidak boleh dipersoalkan, pada saat itulah pengikut wajar berhenti mengikut dan mula bertanya sama ada dia seorang pemimpin atas seorang penipu.