31 Mar 2010

Mengapa Saya Menulis ...

Apabila saya mendedahkan mengapa sebenarnya saya menulis karya kreatif, pendedahan saya pasti tidak lari daripada membuatkan sesetengah pihak terkilan, marah dan semacam kurang senang; khususnya kerana saya tegas dengan pendirian saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” dan saya lebih berani mati di hujung pedang daripada mati kena tendang.
..

Namun, apa yang ingin saya perkatakan adalah kebenaran dan tidak ada alasan mengapa saya harus menyembunyikannya; apatah lagi apabila saya memang berniat menceritakan mengapa saya menulis karya kreatif.

..

Ada beberapa perkara asas yang merangsang saya untuk menulis karya kreatif. Saya tidak ingat kesemuanya. Dan saya juga tidak dapat memastikan mana yang datang dulu dan mana yang datang kemudian.

.

Sila KLIK DI SINI jika berminat untuk mengetahui sebahagian daripada perkara yang merangsang saya untuk menulis.

30 Mar 2010

Gaya Penulisan Sinar Harian

Tugas utama semasa saya sebagai Sub-Grafik Kanan di akhbar Sinar Harian adalah menyunting berita-berita Bernama. Mungkin ada yang bertanya, apa yang perlu disunting pada berita yang datang dari Bernama.
.

Bagaimanapun, hakikatnya adalah bahawa bahan-bahan berita yang diterima itu perlu dikemaskan mengikut “Gaya Penulisan Sinar Harian”.

.

Malah, banyak juga kandungan yang perlu disemak dan dipastikan betul serta tepat sebelum diterbitkan untuk tatapan umum.

.

Misalnya, laporan mengenai ‘bacaan buku’ di PWTC pada 28 Mac 2010 dan catatan mengenainya boleh dibaca DI SINI.

.

Saya paparkan dua versi bagi satu bahan berita untuk dibandingkan supaya mendapat gambaran lebih menyeluruh mengenai apa yang saya maksudkan. Sila KLIK DI SINI untuk membacanya.

29 Mar 2010

PM Jayakan Program Bacaan Buku

“Konsep ‘bacaan buku’ anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang diadaptasi ketika menyertai Frankfurt International Book Fair di Jerman, adalah aktiviti intelektual yang menjadi amalan di kebanyakan negara Barat tetapi tidak pernah dilaksanakan dalam skala formal pada mana-mana acara di Malaysia.”
..

Demikian perenggan kedua sebuah berita yang ditulis wartawan Bernama mengenai program ‘bacaan buku’ yang julung kali diadakan sebagai kemuncak pengisian aktiviti sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 28 Mac 2010.

..

Reaksi pertama saya adalah bahawa wartawan berkenaan tidak tahu mengenai Kumpulan Sasterawan Kavyan! Tidak mustahil bahawa wartawan itu meniru bulat-bulat daripada kenyataan media yang diedarkan pihak penganjur.

..

Bagaimanapun, ada sebuah akhbar di seluruh negara yang menyiarkan maklumat yang betul. Tahniah dan terima kasih!

..

Sila KLIK DI SINI untuk membaca berita itu.

Genius

Apa gunanya saya bercerita kepada anda? Anda hanyalah sebahagian daripada kelompok manusia yang sekadar mahukan hiburan; memilih untuk membaca kisah remeh-temeh dan separa porno dalam majalah-majalah murahan yang langsung tidak mengharapkan penglibatan khalayak yang mampu menggunakan otak.
..

Saya adalah jenis sasterawan (penulis karya sastera) yang tidak teragak-agak memulakan cerpen dengan intro seperti di atas.

..

Ciri-ciri narrative hook pernah saya terangkan melalui siri tulisan dalam akhbar Mingguan Wawasan pada Mac-Julai 1998. Namun, telah juga saya sebutkan bahawa ada kalanya penulis boleh melanggar syarat narrative hook dan masih mampu menarik minat pembaca.

..

Pelanggaran seperti ini sering saya lakukan dalam karya kreatif.

..

Gaya penulisan yang menggunakan teknik intro seperti ini bukanlah sesuatu yang muncul secara mendadak. Sebaliknya ia telah melalui suatu proses yang cukup panjang sebelum saya mula menulis, malah.

..

Kisah bagaimana saya melibatkan diri dalam penulisan secara amatur dan kemudian secara profesional telah saya terangkan di beberapa tempat sebelum ini. Saya ceritakan juga ringkasan mengenai proses kreatif saya.

..

Sila KLIK DI SINI untuk membacanya; jika berminat.

28 Mar 2010

Citra 3

Pada 26 Julai 2009, Sani Sudin dari kumpulan Kopratasa mengirim SMS untuk memaklumkan bahawa bayaran RM500.00 sudah dideposit ke akaun bank saya.
.

Bayaran itu adalah sebagai honorarium bagi sajak “Citra 3” yang dijadikan lagu puisi oleh Kopratasa.

.

Sebelum itu, pihak Kopratasa memang telah menghubungi saya melalui telefon untuk meminta izin secara lisan dan memaklumkan bahawa sajak “Citra 3” akan dijadikan lagu puisi.

.

Tentu sahaja saya bersetuju! Selepas bertahun-tahun khusyuk mendengar lagu-lagu puisi seperti “Masihkah Kau Ingat,” “Tetamu Senja” dan “Kekasih” tentulah sesuatu yang membanggakan apabila sajak saya sendiri dijadikan lagu puisi.

.

Apatah lagi, oleh kumpulan Kopratasa yang amat disegani.

.

Sajak “Citra 3” saya tulis sempena Ratib Seribu Syair anjuran Gapena pada 2-3 November 2001.

.

Bagaimanapun, hanya “Datukku Bahasa Malaysia” dan “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” dideklamasikan pada acara itu. Sajak “Citra 3” dimuatkan dalam antologi Ratib Seribu Syair (Gapena: 2005).

.

Selepas membaca “Citra 3,” mungkin ada yang mahu membaca sajak “Citra” dan “Citra 2”.

.

Sebenarnya, sajak “Citra” dan “Citra 2” tidak wujud!

.

Sajak saya berjudul “Gelap 3” disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia pada 8 November 1992. Sajak ini juga sama kes kerana “Gelap” dan “Gelap 2” tidak wujud.

.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca “Citra 3”.

27 Mar 2010

Mengimbau Sejarah Awal Kavyan

Hari Keluarga Kavyan akan berlangsung pada 28 Mac 2010 di Taman Tasik Shah Alam.
..

Menjelang tarikh pertemuan “keluarga” itu, saya melayari Internet pada 27 Mac 2010 dan berusaha mengesan pelbagai laporan dan maklumat mengenai Kavyan dan aktiviti Kavyan sejak 1999.

..

Segala maklumat itu ada dimuatkan di ruang siber tetapi laman sesawang itu “tidak wujud” sejak 26 Oktober 2009; seperti yang diceritakan DI SINI.

..

Bagaimanapun, rupa-rupanya, segala maklumat yang dimuat naik ke laman sesawang Kavyan di Geocities sejak 2001 masih “wujud” di ruang siber; tersebar merata-rata.

..

Maka, saya berusaha menyalin maklumat aktiviti Kavyan di blog yang dijadikan tempat arkib (dokumentasi).

..

Menjelang Hari Keluarga Kavyan pada 28 Mac 2010, ada baiknya sejarah awal penubuhan Kavyan direnung kembali. Sila KLIK DI SINI untuk membaca bahan dokumentasi berkenaan.

Sinappapal

Lama sebelum saya membaca novel Sangeetha (DBP: 2006) karya Azizi Haji Abdullah, saya pernah membeli senaskhah novel remaja karya beliau berjudul Sinappapal (DBP: 1993) dengan harapan dapat menghayati budaya kaum India melalui kaca mata seorang penulis kaum Melayu yang bukan calang-calang orang.
..

Umum mengetahui bahawa karya-karya Azizi kebanyakannya diakhiri dengan tragedi. Jadi, melalui novel Sinappapal, saya ingin juga tahu jika akan berlaku sesuatu seperti itu di akhir novel setebal 101 halaman ini.

..

Saya juga membuat catatan ringkas pada setiap kali selesai membaca setiap bab. Jadi, catatan yang saya hasilkan lebih merupakan pengalaman membaca novel pasca colonial, tanpa dipengaruhi apa-apa teori kritikan yang khusus.

..

Catatan berdasarkan pengalaman membaca itu saya jadikan sebuah makalah berjudul “Proses Pembacaan Novel Sinappapal: Suatu Pengalaman Pasca Kolonial” dan tersiar di akhbar Mingguan Watan (30 Julai 1995 & 6 Ogos 1995) dan di www.suaraanum.com (15 September 2002).

..

Sila KLIK DI SINI untuk membaca catatan dan proses pembacaan itu.

26 Mar 2010

Petikan Cerpen

Hari ini, hari jadi saya yang ke-14. Hari ini, hari yang penuh bermakna dan meninggalkan pengalaman indah yang sukar dilupa.
.

Tahun lalu, sempena hari jadi saya, ayah dan ibu mengatur sambutan yang agak besar-besaran.

.

Ayah membuat tempahan kek dua tingkat dengan corak anak patung menyerupai seorang puteri berpakaian serba merah jambu.

.

Emak pula menempah pelbagai juadah istimewa daripada Mak Cik Timah yang tinggal tidak berapa jauh dari rumah kami.

.

Tugas abang pula membuat perhiasan di ruang tamu menggunakan belon pelbagai warna dan kertas warna yang dibeli khas.

.

Ringkasnya, sambutan hari jadi saya pada tahun lalu memang amat meriah dan secara besar-besaran.

.

Bagaimanapun, tidak ramai kawan saya yang datang tahun lalu. Masing-masing memberi alasan ada kelas tambahan atau ada urusan lain pada tarikh yang ditetapkan.

.

Mereka ada memberikan kad ucapan hari jadi yang dibeli di kompleks beli-belah. Memang cantik dan tentu mahal. Akan tetapi, saya berasa sedikit sedih kerana mereka hanya memberi kad tetapi tidak dapat hadir ke jamuan hari jadi yang diadakan.

...

(Cerpen penuh boleh dibaca dalam majalah e@siswa keluaran April 2010. Majalah terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd itu sudah ada di pasaran. Nota: Majalah berkenaan terbit kali terakhir pada November 2010.)

Nama Pena, Nama Samaran

Saya menggunakan nama-nama pena Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Leonard Loar dalam penulisan kreatif. Kebanyakan khalayak sastera sudah sedia mengetahui nama-nama pena ini. Jadi ia bukannya “nama samaran”.
..

Saya menggunakan nama-nama pena ini mengikut kesesuaian. Shafie Uzein Gharib biasanya saya gunakan apabila menyiarkan cerpen-cerpen berunsur Islam manakala Hanuman O bagi cerpen-cerpen parodi daripada epik Ramayana.

..

Akan tetapi selepas beberapa tahun berkarya, rakan-rakan editor mula meminta saya mengekalkan nama sebenar pada by line. Kata mereka, ada demand bagi karya-karya yang ditulis oleh “Uthaya Sankar SB”!

..

Sila KLIK DI SINI untuk membaca catatan saya mengenai nama pena dan nama samaran di akhbar Mingguan Malaysia pada 21 Januari 1996.

25 Mar 2010

Cerpen Sulung 2010

Sah! Cerpen “Selamat Hari Jadi, Sayang” yang saya tulis pada 8 Mac 2010 disiarkan dalam majalah e@siswa keluaran April 2010.
.

Saya sempat melihat cetakan awal majalah berkenaan yang ditunjukkan oleh Editor Pengurusan Unit Akademik, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Saharom Abd Aziz pada petang 25 Mac 2010.

.

Sedikit catatan mengenai cerpen ini boleh dibaca DI SINI dan saya amat mengharapkan reaksi ikhlas daripada para pembaca yang berpeluang membaca cerpen berkenaan.

.

Untuk makluman, “Selamat Hari Jadi, Sayang” adalah cerpen pertama saya bagi tahun 2010; selepas sengaja tidak menulis sebarang cerpen baru pada 2008 dan 2009.

E-mel kepada Dato’ Hussamuddin, 18 Mac 2010

Tahniah dan syabas kerana akhbar Sinar Harian edisi Johor akan menjadi realiti dalam masa terdekat.
.

Selepas menjadi sebahagian anggota keluarga Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd bermula 1 Februari 2010, izinkan saya mengemukakan sedikit cadangan ikhlas; khusus bagi Sinar Harian Johor.

.

Cadangan ikhlas saya adalah supaya sebelum Skuad Cakna dihantar ke daerah masing-masing di Johor, satu “Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian” diadakan secara intensif sekurang-kurangnya selama lima hari (Isnin-Jumaat).

.

Bengkel itu nanti wajib disertai sepenuhnya oleh wartawan (skuad), ketua wartawan, sub-grafik, sub-editor dan editor Sinar Harian Johor yang kini berada di Shah Alam; sama ada sudah berpengalaman puluhan tahun atau baru setahun jagung; sama ada akan dihantar ke daerah-daerah di Johor atau akan bertugas di Shah Alam.

.

Pada “Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian” nanti, kesemua individu terbabit perlu dibimbing semula secara intensif mengenai gaya penulisan berita Sinar Harian, etika kewartawanan, objektiviti, perundangan, komunikasi inter-personal, cara mendapatkan bahan berita, penggunaan Bahasa Malaysia yang betul/standard, anti rasuah dan sebagainya.

.

Dato’ sendiri (bukan versi rakaman!) perlu hadir dalam satu slot pada “Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian” ini untuk menyampaikan visi serta meniupkan “roh” Sinar Harian ke dalam jiwa keluarga Sinar Harian Johor. (Jangan lupa mengazankan ke dalam telinga “anak-anak” yang baru lahir ini!)

.

Maka, seluruh “unit” Sinar Harian Johor akan mempunyai “gaya” yang sama; bermula daripada Skuad Cakna sehingga kepada editor. Gaya “pemikiran” kesemua mereka juga akan selari dan sehaluan dengan “Gaya Sinar Harian” – ada “kiblat”nya.

.

Selepas seminggu bersama-sama mengikuti “Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian”, saya percaya akan wujud juga keakraban dan semangat kekeluargaan dalam kalangan kesemua mereka yang terlibat dalam Sinar Harian Johor: wartawan (skuad), ketua wartawan, sub-grafik, sub-editor dan editor.

.

Apabila skuad sudah bertolak ke daerah masing-masing dan memulakan tugas, agak sukar untuk kesemua mereka (wartawan, ketua wartawan, sub-grafik, sub-editor dan editor) bertemu dan bersemuka. Komunikasi lebih banyak melalui telefon dan e-mel; serta kurang komunikasi bersemuka.

.

Bagaimanapun, keakraban dan “kesamaan fikiran” yang dibentuk semasa bengkel “Gaya Penulisan Sinar Harian” pasti membantu mewujudkan semangat kekeluargaan dan “gaya penulisan” yang sama dalam kalangan kesemua mereka. Kesemua mereka juga mempunyai “kiblat” yang sama.

.

Saya optimis bahawa langkah penganjuran “Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian” secara intensif sebelum Sinar Harian Johor mula beroperasi mampu membawa perubahan besar dalam kalangan “anggota keluarga” Sinar Harian Johor; sekali gus merealisasikan wawasan Dato’ dalam memulakan akhbar Sinar Harian.

.

Demikian cadangan ikhlas saya. Semoga mendapat perhatian Dato’ tetapi sila abaikan jika difikirkan tidak penting.

.

Nota: Reaksi segera Dato’ Hussamuddin – “Saya setuju 100 peratus idea saudara. Nanti saya minta dilaksanakan.”

24 Mar 2010

Dirgahayu Bahasa Malaysia!

Masihkah saudara ingat akan sajak Pe(r)juang(an) Bahasa II yang mengakibatkan tsunami di negara kita sebelum ini?
.
Catatan ini mula-mula dipaparkan di laman sesawang saya pada 24 Jun 2008 – TEPAT setahun selepas sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (24 Jun 2007).
.
[Saya paparkan semula di blog ini bagi tujuan dokumentasi selepas laman sesawang asal “hilang” – baca DI SINI.]
.
Pelbagai pandangan dan komen disiarkan di media cetak dan media alternatif sejak sajak itu tersiar di Mingguan Malaysia pada 24 Jun 2007. Tidak kurang juga SMS dan e-mel kecaman yang saya terima (dan masih saya simpan sebagai dokumentasi rasmi).
.
Antaranya, komen dan pandangan oleh Salbiah Ani, Nassury Ibrahim, Ibnu Ahmad al-Kurauwi, Aidil Khalid. (Sila klik pada nama untuk membaca komen yang dimaksudkan.)
.
Bagaimanapun, tahukah saudara bahawa sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” bukan sajak yang baru ditulis pada tahun 2007? Sajak berkenaan dikarang pada 18 Disember 2002 dan merupakan kesinambungan kepada sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa”!
.
Kedua-duanya disiarkan di laman Komuniti Penyair kendalian Dr Irwan Abu Bakar pada Disember 2002 selain dimuatkan dalam surat berita Kavya keluaran Januari 2003.
.
Mungkin juga sesiapa yang tahu (baca: ambil tahu) senario berkaitan isu Bahasa Malaysia @ Bahasa Kebangsaan pada waktu itu (penghujung tahun 2002) lebih memahami “semangat” dan “atma” sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II”.
.
Dalam pada kita memperkatakan mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak beberapa tahun lalu, mungkin kita lupa akan “kejutan” yang diterima para pejuang bahasa pada Mei 2002 apabila Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Muhamad mengumumkan cadangan awal bahawa PPSMI akan dilaksanakan mulai Januari 2003. [BACA DI SINI]
.
Saya sebagai pencinta dan pejuang Bahasa Malaysia tidak “mengeluh,” “melalak” atau “melatah” walaupun saya memang “terkejut” dengan keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada Julai 2002.
.
Sebaliknya, saya “membayangkan” suasana apabila PPSMI dimansuhkan “suatu hari nanti” dan Bahasa Malaysia kembali didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu.
.
Lalu, saya mengarang sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa” dan “Pe(r)juang(an) Bahasa II”.
.
Menjelang perarakan anti-PPSMI pada 7 Mac 2009, Jimadie Shah dari Malaysiakini menghubungi saya melalui telefon pada 6 Mac 2009 dan bertanya adakah Kumpulan Sasterawan Kavyan akan menyertai Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, yang juga Penasihat Agung Kavyan, dalam perarakan itu.
.
Saya menjelaskan bahawa “Kavyan tidak pernah berdemonstrasi bagi membantah dasar kontroversi itu” dan laporan lengkap boleh dibaca DI SINI.
.
Pada 8 Julai 2009, saya turut menunggu dengan penuh debar pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pemansuhan PPSMI.
.
Harapan saya adalah supaya “semangat” yang dicetuskan oleh “Pe(r)juang(an) Bahasa II” pada 24 Jun 2007 – sebenarnya sejak Disember 2002 di ruang siber – tidak luntur dalam kalangan Bangsa Malaysia!
.
Sila maklum bahawa saya adalah pejuang dan pencinta bahasa. Apabila saya berjuang untuk mendaulatkan Bahasa Malaysia, tidak pula bermakna saya memperlekeh martabat Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin dan bahasa-bahasa lain.
.
Dalam pada itu, sila klik DI SINI untuk membaca ulasan “Pe(r)juang(an) Bahasa” dan “Pe(r)juang(an) Bahasa II” oleh Nakhoda di laman Komuniti Penyair pada 26 Disember 2002.

23 Mar 2010

Habt keine Angst, in eurem eigenen Häuschen zu wohnen

Pada 9 Mac 2010, saya menerima e-mel daripada Pengarah Goethe-Institut Malaysia, Dr Volker Wolf yang memaklumkan bahawa proses menterjemah sebuah sajak saya ke Bahasa Jerman sudah selesai.

Beliau kini sedang menyemak manuskrip Contemporary Malaysian and German Poems yang memuatkan sajak-sajak beberapa penyair Malaysia dan diterjemah sekumpulan pakar Bahasa Jerman untuk diterbitkan dalam masa terdekat.

Sebenarnya, saya dihubungi Dr Wolf pada 8 Mei 2009 melalui e-mel dan beliau memaklumkan bahawa pihak Goethe-Institut Malaysia berminat menterjemah sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” yang termuat dalam antologi Ratib Seribu Syair (Gapena: 2005).

Sajak berkenaan saya tulis khas untuk disampaikan sempena Ratib Seribu Syair anjuran Gapena pada 2-3 November 2001 dan acara itu tercatat dalam The Malaysia Book of Records.

Sajak ini turut dideklamasi pada Deklamasi Penyair Merdeka pada 28 Ogos 2004 di Dataran Karyawan, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam.

Versi ringkas sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” saya deklamasikan bersama-sama sekumpulan kanak-kanak sempena majlis pelancaran antologi Salam Malaysia (DBP: 2006) di Auditorium DBP pada 13 April 2007 atas undangan Norazian Ahmad.

Beberapa tahun sebelum itu, deklamasi sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” pernah juga dirakam di sebuah studio di IBC, Angkasapuri, Kuala Lumpur; tetapi saya fikir pihak berkenaan sedikit “gentar” untuk menyiarkannya kepada umum.

Kini, saya gembira kerana “semangat” dan “atma” yang terkandung dalam sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” akan dapat dinikmati khalayak antarabangsa.
 
Tambahan: Sajak "Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri" turut dimuatkan dalam Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka (2013) yang dilancarkan pada 19 September 2013 di Putrajaya.

22 Mar 2010

Dirgahayu Bahasa Malaysia!

Prime Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob took the opportunity to clarify that it is not “Bahasa Malaysia” that Malaysia wishes to promote as the language of Asean, but “Bahasa Melayu” (Malay language), which was also used in other countries in Asean.

“Some did not understand, they thought that we want to elevate Bahasa Malaysia as the Asean language, some of our friends from neighbouring countries criticised us but maybe because they have misunderstood,” he explained. (source)

“Tukar sahaja nama itu dari[pada] ungkapan Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. … Saya tidak faham mengapa terlalu taksub pada [istilah] bahasa Melayu. … Apa salahnya kita gunakan Bahasa Malaysia, keputusan itu sudah dibuat Kabinet pada 2007,” kata Dr Kamaruddin M. Said, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN). (sumber)

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tidak pernah terlintas di fikiran kerajaan untuk menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ASEAN.

Sebaliknya, jelas Perdana Menteri, hasrat yang ingin dirintis beliau ialah menjadikan bahasa Melayu yang turut diguna pakai di beberapa negara jiran sebagai bahasa pengantar. (sumber)


Maka, sudah terbukti bahawa “Bahasa Malaysia” dan “bahasa Melayu” adalah dua bahasa yang berlainan. Bukan saya cakap! Apa-apa pun, harap maklum bahawa bahasa yang saya gunakan ialah Bahasa Malaysia, bukan bahasa Melayu. [Baca makalah penuh]


Kerajaan tidak akan berganjak dengan keputusan menjadikan Bahasa Malaysia bahasa pengantar sepenuhnya di semua sekolah dalam [mulai] 1982, tegas Pemangku Perdana Menteri, Tun Hussein Onn (Utusan Malaysia, 8 September 1973). Inilah Bahasa Malaysia yang saya gunakan sejak lahir.

“Perdana Menteri Tengku Abdul Rahman, pada 21 October [1966] mengusulkan supaya Bahasa Kebangsaan ditukarkan sebutannya kepada Bahasa Malaysia. Istilah Bahasa Melayu kurang membawakan pengertian harmoni” (Berita Harian, 1 November 1966). Inilah juga pegangan saya sejak lahir.

Sementara itu, saya turut terlibat dalam “Mesyuarat Maklum Balas Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris” di Kementerian Pelajaran, Putrajaya pada 3 Ogos 2009, di mana, antara lain, ditegaskan bahawa keputusan Kabinet pada Mei 2007 berhubung penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” perlu dipatuhi semua, khususnya dalam bidang pendidikan, termasuk subjek Bahasa Malaysia di sekolah..

Tentu sahaja kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom disambut dengan reaksi negatif oleh kebanyakan “tokoh” yang diundang ke mesyuarat berkenaan. [BACA DI SINI]


Bagaimanapun, terdahulu, semasa sesi perkongsian idea dan pandangan, saya mewakili Kumpulan Sasterawan Kavyan menegaskan bahawa penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” adalah betul, benar dan sah; seperti yang saya tegaskan sejak dahulu. [BACA DI SINI]




Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Haji Termuzi Adul Aziz juga pernah mengeluarkan kenyataan tidak rasmi bahawa pihak DBP [kembali] menerima penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”. Kenyataan rasmi beliau pula boleh dibaca DI SINI. Pengesahan rasmi DBP pada Julai 2012 pula boleh dirujuk DI SINI.


Apabila ke Kedai Koperasi DBP pada 16 Mac 2010, saya sempat melihat buku-buku teks sekolah rendah terbitan DBP yang kembali menggunakan “Bahasa Malaysia”.


Malah, saya menyelak majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa keluaran Januari, Februari dan Mac 2010 lalu mendapati penggunaan semula istilah “Bahasa Malaysia” – paling nyata pada sisipan khas di kedua-dua majalah berkenan.



Segera saya teringat akan kata-kata saya kepada Dr Chong Fah Hing pada 22 Mac 2002: “Akan tiba masa apabila mana-mana pihak yang menafikan kewujudan istilah Bahasa Malaysia serta cuba menghalang hak saya menggunakan istilah berkenaan benar-benar menyesal atas kebodohan tindakan mereka!” [BACA DI SINI]

Dalam pada itu, sebelum ini, majalah e-baca dan e@siswa terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” tetapi sejak hampir setahun lalu, saya dapati majalah-majalah berkenaan tidak [lagi] menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”.

Namun, saya optimis bahawa perubahan akan berlaku dalam masa terdekat. [Nota: Bermula Mei 2010, pembetulan sudah dilakukan. Terima kasih.]


Dirgahayu Bahasa Malaysia; meminjam ayat dalam sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” (Mingguan Malaysia, 24 Jun 2007) yang pernah difitnah sekumpulan “tokoh” sebagai sajak berciri anti-Melayu.


Baca juga artikel "Tentang Bahasa Malaysia" yang disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 Januari 2012. Baca "DBP dan Bahasa Malaysia" di blog.


Latar belakang Bahasa Malaysia boleh dibaca DI SINI manakala kaitan antara isu bahasa dan Peristiwa 13 Mei 1969 boleh dibaca DI SINI.




Pada Jun 2015, muncul dakyah "menghapuskan" Bahasa Malaysia. Saya menulis mengenainya dalam makalah ini: Dirgahayu Bahasa Malaysia! 


Tulisan dalam Bahasa Inggeris: "Speaking in Tongues", "The Right to Write in Bahasa Malaysia", "My Right to Use Bahasa Malaysia", "Straight from the Heart", "But Then Again" & "Bahasa Malaysia Writer". Namun, ada juga pihak yang berpendirian bahawa "bahasa Melayu" dan "Bahasa Malaysia" adalah dua bahasa yang berbeza! Contoh kekhilafan itu boleh dirujuk DI SINI.