Soalan seumpama ini sering diajukan kepada saya oleh wartawan dan rakan-rakan; malah oleh para peserta bengkel penulisan yang saya kendalikan.
Biasanya saya akan memilih untuk tidak menjawab soalan seperti itu. Bukan kerana saya ego atau megah diri, tetapi kerana saya rasa terkilan dan kecewa dengan pertanyaan seperti itu. Malah, saya rasa semacam dihina.
Apa yang menghairankan jika saya mampu menguasai Bahasa Malaysia – secara lisan mahupun bertulis? Apa yang pelik? Bagi saya, tidak ada apa-apa yang menghairankan jika saya mampu bertutur dan menulis Bahasa Malaysia dengan baik.
Namun, pertanyaan wartawan dan rakan-rakan membuatkan saya berfikir tentang pandangan dan tanggapan orang terhadap kemampuan rakyat Malaysia menguasai bahasa kebangsaan.
Katakanlah saya boleh bertutur bahasa asing – Bahasa Jerman misalnya – dan wartawan kagum dengan keupayaan saya; lalu mereka bertanya bagaimana saya mampu menguasai Bahasa Jerman sedangkan saya bukan orang Eropah. Pertanyaan seperti itu sangat logik dan wajar.
Tetapi betapa menghairankan – malah memalukan – apabila seorang wartawan hairan dengan keupayaan seorang rakyat Malaysia menguasai Bahasa Malaysia. Apatah lagi selepas lebih 40 tahun negara merdeka dan Bahasa Malaysia diiktiraf sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.
Nampaknya masyarakat kita masih menganggap Bahasa Malaysia (atau “Bahasa Melayu”) sebagai bahasa orang/kaum Melayu sahaja. Oleh itu, apabila kaum lain meguasainya, timbul rasa kagum dan hairan – mungkin juga sedikit rasa cemburu dan rasa tercabar.
Pada masa yang sama, apabila dua orang kaum India, misalnya, bertutur menggunakan Bahasa Tamil di tempat awam, ada pula pihak yang mengatakan mereka tidak ada semangat kebangsaan.
[Walhal hak dua orang kaum India yang bertutur Bahasa Tamil sebenarnya termaktub dalam Perkara 152 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 pula menyebut “Bahasa Melayu” sebagai bahasa rasmi; sebelum Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970 memperkenalkan istilah “Bahasa Malaysia”.]
Saya sering menghadapi “tuduhan” begini apabila menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Tamil sewaktu berbual dengan rakan-rakan kaum India dan Cina. Kononnya saya tidak berjiwa Malaysia.
Tanggapan dan pendirian masyarakat terhadap penggunaan Bahasa Malaysia nampaknya masih berbelah bagi. Bahasa Malaysia masih belum “diterima” sepenuhnya sebagai bahasa seluruh rakyat Malaysia.
Kita masih terpegun melihat orang “Bukan Melayu” bertutur Bahasa Malaysia dengan cukup fasih; sedangkan orang itu lahir di Malaysia dan belajar menggunakan Bahasa Malaysia sejak Darjah Satu.
Anak-anak saudara saya yang berumur antara tiga hingga sembilan tahun fasih berkomunikasi secara spontan menggunakan Bahasa Malaysia. Semoga apabila mereka dewasa, tidak akan ada lagi pihak yang “menghina” mereka dengan pertanyaan “Bagaimana saudara mampu menguasai Bahasa Malaysia sedangkan saudara bukan orang Melayu?”